Sudah beberapa minggu saya menggunakan Nothing Phone (2a) Plus sebagai telefon kegunaan harian. Apa yang saya boleh katakan ia adalah sebuah iterasi peranti kelas pertengahan premium Nothing OS yang sempurna. Phone (2a) Plus sepatutnya dilancarkan dan bukannya Phone (2a), jadi adakah membeli peranti ini berbaloi atau patut kekal sahaja dengan Nothing Phone (2a)?
SPESIFIKASI DAN REKAAN
Skrin 6.7″ AMOLED, 1084 x 2412 (394 PPI)
Gorilla Glass 5, 30Hz-120Hz, 1300 nitsCip MediaTek Dimensity 7350 Pro (4nm)
2x 3.0 GHz Cortex-A715
6x 2.0 GHz Cortex-A510GPU Mali-G610 MC4 Kamera Belakang 50 MP, f/1.88, OIS & EIS
50 MP, f/2.2
4K 30fps, 1080p 60fps
1080p 120fps (Slo-Mo)
TrueLens Engine, Ultra XDR,
Portrait OptimiserKamera Hadapan 50 MP f/2.2 Audio Speaker stereo Biometri Pengimbas cap jari bawah skrin Perlindungan IP54 Bateri 5000mAh
50WHarga RM1,999 12/256 GB
Tiada beza pada rekaan kecuali pilihan warna peranti. Di belakang Phone (2a) Plus, masih ada tiga jalur LED putih untuk sistem Glyph dan elemen rekaan juga kekal sama iaitu mengambil inspirasi daripada peta sistem kereta api bawa tanah New York. Warna yang saya uji adalah Gray, yang mana nampak lebih kemas dan ada sedikit gaya retro futuristik.

Agak mengecewakan tiada pilihan warna yang lebih ceria atau lampu Glyph RGB kerana ini adalah model Plus. Menurut Nothing, peranti ini adalah untuk mereka yang mahukan peranti Nothing OS yang lebih berkuasa berbanding peranti kelas pertengahan biasa tetapi tidak ingin berbelanja lebih untuk sebuah peranti mercu. Susunan butang-butang fizikal, rekaan skrin, susunan kamera dan lain-lain masih sama dengan Nothing Phone (2a).

Satu lagi pilihan warna adalah hitam yang pada saya kurang menawan kerana ia terlampau gelap membuatkan corak belakang lebih tersembunyi. Nothing turut masih tidak menggunakan kemasan kusam yang menyumbangkan kepada banyak kotoran peluh, minyak dan cap jari pada panel belakang peranti.
SKRIN
Jika anda telah membaca jadual spesifikasi di atas, ya benar – peranti masih menggunakan skrin AMOLED bersaiz dengan resolusi FHD+ bersama perlindungan Gorilla Glass 5, kecerahan 1300 nits dan kadar segar semula adaptif 30Hz-120Hz. Skrin menyokong paparan HDR 10+ tetapi tidak menyokong mana-mana penstriman HDR di platform penstriman. Sebaliknya ia terhad untuk memaparkan video dan gambar Ultra HDR melalui Google Photos sahaja.

Skrin peranti ini agak baik, kualiti OLED yang digunakan juga tiada sebarang masalah dan penggunaan selama beberapa minggu adalah pantas dan lancar. Walaupun tidak menggunakan teknologi LTPO, sistem adaptif dalam Nothing OS adalah cukup baik dalam memaparkan kandungan yang sesuai tanpa mengorbankan penggunaan bateri.

SISTEM BIOMETRI
Walaupun pengimbas cap jari yang sama masih digunakan iaitu jenis optikal, ia terasa lebih pantas berbanding Nothing Phone (2a). Ini mungkin kerana pengoptimasin perisian yang baik.
PENGGUNAAN DAN PERISIAN – NOTHING OS, DIMENSITY 7350 PRO
Saya katakan dalam ulasan Phone (2a), ia adalah peranti yang Bolehlah!. Pada Phone (2a) Plus ini saya yakin ia Semakin Bolehlah!. Tidak banyak perubahan besar diberikan pada Nothing OS 2.6 yang dijalankan selain beberapa widget baharu dan ciri AI baharu yang peranti Nothing lain telah menerimanya dalam kemas kini baharu ketika artikel ini sedang ditulis.

Nothing OS membawakan konsep lebih kurang sama dengan OnePlus, iaitu sistem operasi pada peranti kelas pertengahan membawakan pengalaman penggunaan mirip peranti mercu. Beza paling ketara hanyalah pada tetapan Glyph yang tidak menyokong kecerahan automatik. Memori maya turut kini disokong dengan pengguna sendiri boleh tetapan sehingga 8GB tambahan. Widget News adalah pembaca berita AI yang merumuskan 8 berita terkini berdasarkan topik kegemaran pengguna.

Versi Android juga masih lagi 14 dengan Android 15 kini dalam peringkat ujian dalaman serta bersama ahli komuniti terpilih sahaja. Nothing OS 2.6 pada Phone (2a) Plus turut membenarkan Gemini boleh diakses jika mempunyai langganan Google One AI Premium. Tidak banyak perubahan pada Nothing OS sekarang kerana Nothing ingin menyimpan perubahan dalam Nothing OS 3.0 akan datang serta Nothing OS versi AI untuk Phone (3) pada tahun hadapan.

PRESTASI DAN PENANDA ARAS – Dimensity 7350 Pro
Memandangkan Phone (2a Plus) masih lagi peranti kelas pertengahan, prestasi gaming akan masih terhad dan lebih kurang sama dengan Phone (2a). Ia hanya menyokong Geekbench AI, Geekbench 6, AnTuTu 3D serta 3DMark Wild Life Extreme. Lebih menyakitkan hati, markah penanda aras peranti ini dengan cip Dimensity 7350 Pro adalah lebih kurang sama dengan Phone (2a) dengan cip Dimensity 7200 Pro.
Selain itu saya sertakan juga markah penanda aras Dimensity 8200 Ultimate (Infinix GT 20 Pro), dan Dimensity 7200 Ultra (Redmi Note 13 Pro+),

Antutu 3D
- Nothing Phone (2a) Plus – 774,822
- Nothing Phone (2a) – 685,115
- Infinix GT 20 Pro – 933,015
- Redmi Note 13 Pro+ – 757,180
Geekbench 6
- Nothing Phone (2a) Plus – 1175/2604
- Nothing Phone (2a) – 1110/2589
- Infinix GT 20 Pro – 1244/3516
- Redmi Note 13 Pro+ – 1127/2658
Geekbench AI
- Nothing Phone (2a) Plus – 845/841/1650
- Nothing Phone (2a) – N/A
- Infinix GT 20 Pro – N/A
- Redmi Note 13 Pro+ – N/A
3DMark Wild Life Extreme
- Nothing Phone (2a) Plus – 1172
- Nothing Phone (2a) – 1157
- Infinix GT 20 Pro – 1736
- Redmi Note 13 Pro+ – N/A

Nothing OS amat bijak dalam penggunaan memori. Ia tahu apabila ada permua dengan grafik tinggi seperti COD Mobile sedang dimainkan, penggunaan kuasa di latar serta memori dialih kepada permua. Cuma apabila sesi bermain tamat, sistem mengambil sedikit masa tambahan untuk ia pulih dan lancar kembali yang membuatkan peranti sedikit lengah masa apabila kembali ke skrin utama.
TELEFONI DAN GPS
Amat bagus Dimensity 7350 Pro pada peranti ini mempunyai sokongan modem yang baik dan stabil. Sambungan WiFi adalah bagus dengan sentiasa mempunyai isyarat penuh, sementara penggunaan data mudah alih 5G atau 4G turut stabil. Masalah kecil berlaku pada GPS kerana Waze atau Google Maps mengambil masa yang agak lama untuk mengunci lokasi.
KAMERA
Kamera juga hmmm… untuk model Plus ini ia masih lagi menggunakan dwi-kamera 50MP di belakang yang sama. Ini bermakna sokongan gambar Ultra HDR masih boleh dilakukan, gambar mod potret yang baik juga tidak menjadi masalah, zum 2x juga lebih kemas dan paling penting, butiran dapat dipelihara dengan sebaik mungkin. Perubahan besar adalah pada kamera swafoto dengan kini menggunakan sensor 50MP.

Selepas menggunakannya untuk beberapa minggu, saya dapat rasakan yang Nothing cuba mimik profil warna Pixel iaitu memfokuskan kepada HDR tetapi sayang sekali Nothing terlampau berlebihan. Hasil HDR kadangkala terlampau jingga dan kekuningan seakan penuras HDR palsu. Apa-apa pun, mod-mod lain masih kelihatan baik cuma menimbulkan persoalan dengan harga RM1999 adakah kamera Nothing lebih baik atau kamera Zeiss pada vivo V40? Jawapannya, anda boleh lihat sendiri yang walaupun vivo V40 mempunyai Zeiss, ia hanya cantik pada potret dan mod malam sahaja – lain-lain didahului oleh Nothing.











Contoh Rakaman Video
Untuk rakaman video, selepas diuji untuk beberapa kali saya mendapati kualiti keseluruhan masih lebih kurang sama dengan Nothing Phone (2a) dengan tiada satu perubahan drastik pun.
AUDIO
Sistem audio masih kekal dengan stereo serta kerjasama bersama Dolby Atmos. Audio yang dikeluarkan masih seimbang dan lantang apabila berada di tahap 70% dan ke atas. Cuma saya tidak suka yang tahap aras suara pada peranti ini tidak konsisten dengan aplikasi berbeza seperti bawah 70% untuk majoriti aplikasi popular seperti Facebook, TikTok dan YouTube terlampau perlahan tetapi 75% sudah terlampau kuat.
BATERI
Jika pada Nothing Phone (2a) dengan penggunaan ekstrem saya boleh menerima SOT 5 jam dan penggunaan biasa atas 6 jam, Phone (2a) Plus tiada masalah untuk mencapai sehingga 7-9 jam SOT. Walaupun cip hanya sedikit lebih berkuasa, ia adalah lebih efisien. Saya turut bersyukur yang pengecasan pantas 45W telah ditukar kepada 50W memberi sedikit ketenangan mengecas peranti apabila bateri mula lemah.

PESAING
Nothing Phone (2a) Plus Nothing Phone (2a) vivo V40 6.7″ AMOLED, 1084 x 2412 (394 PPI), 120Hz, HDR10+, 1300 nits, Gorilla Glass 5 6.7″ AMOLED, 1084 x 2412 (394 PPI), 120Hz, HDR10+, 1300 nits, Gorilla Glass 5 6.78-inci AMOLED, 2800 × 1260 (452 PPI), 120Hz, 4500nits, HDR10+, Schott Xensation Alpha MediaTek Dimensity 7350 Pro (4nm)
2x 3.0 GHz Cortex-A715
6x 2.0 GHz Cortex-A510MediaTek Dimensity 7200 Pro (4nm)
2x 2.8 GHz Cortex-A715
6x 2.0 Cortex-A510Snapdragon 7 Gen 3 (4nm)
1x 2.63 GHz Cortex-A715
3x 2.4 GHz Cortex-A715
4x 1.8 GHz Cortex-A510Mali-G610 MC4 Mali-G610 MC4 Adreno 720 12GB LPDDR4X + 8GB Maya 12GB LPDDR4X + 8GB Maya 8-12 GB LPDDR4X +
Sehingga 12GB Maya256GB UFS 2.2 256GB UFS 2.2 512GB UFS 2.2 Kamera Utama
50 MP, f/1.88, OIS & EIS
(Sudut Lebar)
50 MP, f/2.2
(Sudut Ultra Lebar)Kamera Utama
50 MP, f/1.88, OIS & EIS
(Sudut Lebar)
50 MP, f/2.2
(Sudut Ultra Lebar)Kamera Utama
50 MP ZEISS, f/1.88, OIS
(Sudut Lebar)
50 MP ZEISS, f/2.0 (Sudut Ultra Lebar)Kamera Hadapan
50 MP, f/2.2Kamera Hadapan
32 MP, f/2.2Kamera Hadapan
50 MP, f/2.0
ZEISS Group Selfie CameraIP54 IP54 IP68/IP69 Tiada bicu audio Tiada bicu audio Tiada bicu audio Audio Stereo Audio Stereo Audio Stereo 5000 mAh (Berwayar 50W) 5000 mAh (Berwayar 45W) 5500 mAh (Berwayar 80W) RM1999 (12/256 GB) RM1699 (12/256 GB) RM1899 (8/256 GB)
RM1999 (12/256 GB)
RM2399 (12/512 GB)
APA ADA DALAM KOTAK?
- 1x Nothing Phone (2a) Plus
- 1x Kabel USB-C ke USB-C
- 1x Pin SIM
- 1x Set buku panduan dan keselamatan
KESIMPULAN
Untuk harga RM1,999 sebenarnya ia agak mahal untuk sebuah peranti kelas pertengahan yang masih nampak biasa di mata orang ramai. Walaupun ciri Glyph ini berguna, ia masih dikira sebagai gimik kerana tidak ramai pengguna ingin belajar semula cara baharu menggunakan peranti. Ini membuatkan orang tertanya, lebih baik membeli vivo V40 dengan kamera Zeiss juga dengan harga lebih kurang sama. Selepas ujian dan perbandingan dilakukan dalam makmal Amanz, vivo hanya kuat di mod malam dan potret tetapi lain-lain untuk kamera Nothing Phone (2a) Plus masih cantik.

Tidak lupa juga yang Funtouch OS pada vivo juga penuh dengan iklan, berbeza dengan Nothing OS yang cantik dan kemas seakan Android stok dengan sedikit perubahan antaramuka. Untuk rekaan, di mata saya Phone (2a) Plus kelihatan lebih moden dan cantik berbanding vivo. Kemudian sokongan kemas kini pula oleh Nothing adalah 3+4 tahun sementara vivo hanya 50 bulan. Jadi dengan kata lain, untuk penggunaan jangka masa panjang dan pengalaman yang lebih tenang – saya yakin Nothing adalah pilihan bijak.
PRO
- Skrin yang baik dan pantas.
- Rekaan sama, tetapi pilihan warna lebih menarik.
- Glyph berguna.
- Prestasi pantas dan Nothing OS cukup stabil.
- Bateri tahan lebih lama dan kini cas pantas.
KONTRA
- Skrin tidak menyokong penstriman HDR pada kebanyakan platform penstriman.
- Permua tidak cukup pantas.
- Tidak mempunyai pengecasan nirwayar.
- Tiada perubahan drastik, tetapi harga semakin mahal.


