Ulasan Oppo Find N5 – Telefon Lipat 5 Bintang

TechnologyDigital
21 Feb 2025 • 10:18 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Satu tahu berlalu dan Oppo Find N5 telahpun dilancarkan hari ini. Jangan gosok mata kerana anda memang pandai mengira. Model tahun ini ialah N5 bukan N4 kerana angka empat bukan nombor yang mempunyai konotasi positif di negara Asia Timur. Malahan tahun lalu Oppo tidak melancarkan telefon lipat Find N seperti pesaing mereka yang lain. Selepas setahun berehat dan satu angka dilangkau, Find N5 dilancarkan dan ia adalah sebuah peranti skrin-lipat lima bintang kerana menawarkan penambahbaikan yang diinginkan serta pelbagai ciri tambahan yang menarik.

SPESIFIKASI

Oppo Find N5
SkrinLuar – 6.62″ OLED LTPO 120Hz
Dalam – 8.12″ OLED LTPO 120Hz
Dolby Vision
PemprosesQualcomm Snapdragon 8 Elite 7 Teras (3nm)
Cip2x Oryon V2 Phoenix L 4.32 GHz
5x Oryon V2 Phoenix M 3.53 GHz
Cip GrafikAdreno 830
RAM16GB LPDDR5X
Muatan Dalaman512 GB UFS 4.0
Kamera Utama50MP, f/1.89, OIS (Sudut Lebar)
8MP, f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
50MP, f/2.7, OIS (Telefoto)
Kamera Hasselblad
Kamera SwafotoLuar – 8MP f/2.4
Dalam – 8MP f/2.4
Bateri5600 mAh
Pengecasan berwayar SuperVOOC 80W
Pengecasan nirwayar AirVOOC 50W
SIM/TelefoniNano/5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIPX9
Sistem ImbasanPengimbas cap jari sisi
Harga JualanRM 7999 (16/512GB)

SKRIN

Skrin luar kini lebih besar dan lebar 6.6″ AMOLED LTPO 120Hz serta Dolby Vision. Pada Find N3 ianya hanya sebesar 6.3″ yang membuatkan peminat peranti lebih besar merungut. Ia masih mempunyai nisbah yang sama seperti sebuah skrin candybar biasa yang memberikannya kelebihan berbanding Z Fold6. Oleh sebab itu sepanjang tempoh ulasan jarang sekali saya merasakan perlu membuka skrin dalaman. Ini hanya dilakukan apabila saya ingin menonton YouTube membaca ebuku menerusi Play Books.

image is not available

Skrin dalam pula 8.12″ AMOLED LTPO 120Hz juga dengan Dolby Vision. Sekali lagi skrin dalam ini lebih besar berbanding 7.82″ sebelum ini. Kesan lipatan skrin pada Find N5 masih dapat dilihat pada sudut tertentu. Ia walau bagaimanapun lebih sukar dilihat jika dibandingkan dengan kesan lipatan pada Z Fold6 dan Mate XT Ultimate. Mungkin sudah tidak masanya kita menerima hakikat kesan lipatan tidak dapat dihapuskan 100% cuma boleh dikurangkan sahaja.

image is not available

Pada hemat saya skrin luar nampak lebih jelas di bawah cahaya matahari yang terik. Ini mungkin kerana terdapat lapisan kaca berbanding sekadar lapisan plastik. Kedua-dua skrin juga tiada isu memaparkan kandungan Dolby Vision menerusi aplikasi Apple TV dan Netflix. Satu perkara lagi yang ingin saya berikan pujian ialah sistem haptik yang terasa lebih semula jadi. Ianya sama dengan sistem yang digunakan pada Find X8 yang saya rasakan terbaik pada peranti Android setakat ini.

BIOMETRI

Sistem biometri adalah dalam bentuk pengimbas cap jari terbina pada butang kuasa di sisi kanan dan imbasan wajah. Pengimbas cap jari sisi adalah pantas tetapi dengan peranti kini lebih tinggi, kedudukannya tidak se-ergonomik Find N3. Saya telah terbiasa dengan kedudukan pengimbas Find N3, Z Fold6 dan Magic V3 yang terletak lebih rendah. Ini mungkin antara sedikit kekurangan jika dibandingkan dengan model terdahulu. Oleh itu saya lebih gemar menggunakan sistem imbasan wajah yang juga pantas cuma tidak begitu responsif dalam situasi keadaan sekeliling yang gelap.

image is not available

REKAAN

Dengan skrin luaran 6.6″, rekaannya hampir sama dengan Find X8. Izinkan saya sekali lagi menggunakan Find X8s sebagai peranti rujukan kerana adalah bukti kukuh Oppo kini harus dipandang sebagai pengeluar peranti yang mantap. Sungguhpun rekaan hampir sama, Find N5 hanya beberapa milimeter lebih tebal sedangkan ia sebuah peranti skrin boleh-lipat. Ia jauh lebih nipis jika dibandingkan dengan Z Fold6. Tubuh sungguh nipis ia hanya sedikit lebih tebal berbanding port pengecasan USB-C. Inilah yang terjadi sekiranya Z Fold6 diberikan Ozempic!

image is not available

Ini memberikan kelebihan peranti yang terasa seperti sebuah telefon pintar biasa dan juga tidak terasa begitu berat yang sinonim dengan peranti skrin boleh-lipat lain di pasaran. Proses membuka dan menutup skrin adalah mudah. Tiada bunyi aneh pada engsel dan peranti terasa kukuh walaupun dalam posisi terbuka.

image is not available

Bonggol di belakang juga lebih rendah membuatkan peranti tidak terasa seperti berat di bahagian atas. Model yang diulas mempunyai kemasan belakang seakan marmar yang membuatkannya kelihatan sangat premium. Oppo memberikan sebuah kerangka kulit vegan yang menjadikan peranti nampak lebih eklusif tanpa menambah ketebalan keseluruhan peranti.

image is not available

Terdapat butang laras audio, dan kuasa (merangkap pengimbas cap jari) di sebelah kanan. Turut terletak pada sisi sama cuma pada pintu kiri peranti ialah suis lungsur untuk tetapan berdering, bergetar atau membisukan terus peranti. Ini mungkin kali terakhir suis lungsur ini digunakan kerana sudah kedengaran ura-ura ia akan digantikan dengan butang kawalan kamera bermula tahun depan.

Tubuh yang nipis menyebabkan Find N5 kini hanya dilengkapi sepasang speaker stereo dan bukan lagi tiga seperti Find N3. Kedua-dua speaker diletakkan pada “tingkap kiri” skrin dengan ia menembak ke sisi. Oppo walau bagaimanapun tidak lokek kerana masih menyertakan pemancar infra merah di bahagian atas. Akhir sekali peranti melepasi piawaian kalis air IPX9 yang merupakan perubahan besar kerana Find N3 langsung tidak melepasi sebarang piawaian.

image is not available
Oppo Find N5 dan Samsung Galaxy Z Fold6

PENGGUNAAN Dan PERISIAN

Sistem operasi ColorOS 15 berasaskan Android 15 digunakan dengan ia menawarkan pengalaman penggunaan paling lancar pernah saya nikmati pada sebuah peranti boleh-lipat. Oppo mengesahkan FInd N5 akan menerima 5 versi Android dan tampalan sekuriti selama 6 tahun. Kelancaran luar biasa pada Find X8 telah dipindahkan pada Find N5 walaupun menggunakan cip pemproses berbeza. Membuka aplikasi adalah pantas dengan sokongan sehingga tiga aplikasi boleh dilancarkan serentak pada skrin. Pemasangan aplikasi sepantas kilat kerana menyokong 5G, WiFi 7 dan storan UFS 4.0 yang pantas.

image is not available

Antara ciri paling menarik pada Find N3 ialah sehingga tiga permua boleh dilancarkan serentak tanpa sebarang isu. Find N5 meneruskan kemampuan ini dengan ia dibantu cip pemproses lebih berkuasa dengan memori 16GB RAM yang boleh ditambah menjadi 28GB menerusi ciri RAM Expansion.

Taskbar boleh diaktifkan sepanjang masa di bahagian bawah skrin bagi mempercepatkan proses menukar aplikasi. ColorOS 15 memberikan pilihan meletakkan taskbar sepanjang masa di bawah ataupun terapung. Cuma saya kurang gemar hanya 4 pintasan pantas aplikasi dan 3 aplikasi yang sudah dibuka akan dipaparkan di taskbar. Pada Z Fold6, sehingga 7 pintas aplikasi pantas dan sehingga 4 aplikasi yang dibuka boleh dipaparkan.

image is not available

Terdapat ciri Boundless View yang membolehkan tiga aplikasi dilancarkan serentak seakan pada sebuah skrin selepas 15″. Tidak seperti pada sistem tri-tingkap Samsung, Boundless View membolehkan tiga aplikasi tadi dilancarkan dalam saiz skrin penuh apabila diperlukan dan dikecilkan semula bila tidak diperlukan.

image is not available

Tiga aplikasi juga boleh disusun dengan dua di atas dan satu di bawah dalam mod skrin penuh. Dengan Boundless View isu paparan aplikasi yang tirus/kecil tidak berlaku. Pengguna boleh menggabungkan tiga aplikasi kegemaran ke dalam mod Boundless View pada bila-bila masa dengan ia akan disimpan dalam ikon khas di muka depan aplikasi.

Terdapat juga ciri FlexForm Mode yang membahagikan peranti kepada dua skrin apabila diletakkan dalam posisi huruf L. Dalam YouTube dan Netflix misalnya, skrin atas akan memaparkan kandungan video dan skrin bawah pula memaparkan antaramuka kawalan video. Dalam aplikasi pula skrin atas memaparkan viewfinder dan skrin bawah memaparkan pelbagai kawalan kamera.

image is not available

Kerana kita kini di era kecerdasan buatan (AI), tidak sah jika peranti tidak ditawarkan dengan beberapa ciri yang menggunakannya. Terdapat kemampuan melakukan transkrip panggilan telefon yang kemudiannya dirumuskan oleh AI. Mod Translate pula melakukan alih bahasa perbualan secara masa nyata dalam beberapa bahasa terpilih. Gambar juga boleh disunting untuk berubah menjadi seakan adiwira, kartun atau karya seni. Suntingan asas untuk membuang objek atau cela juga kini juga menggunakan AI yang dibangunkan oleh Oppo.

image is not available

Ciri paling menarik serta tak disangka ialah integrasi ekosistem Apple pada sebuah peranti Android. FInd N5 boleh memindahkan fail ke sebuah komputer macOS dengan mudah. Aplikasi O+ Connect digunakan dengan ia berfungsi seperti Link to Windows. Kandungan telefon boleh dibaca dan dipindahkan ke MacBook saya sepantas AirDrop. Lebih menarik ialah penghantaran fail dari telefon ke MacBook turut boleh dilakukan.

image is not available

Ciri paling membunuh ialah saya boleh menjadikan Find N5 sebagai sebuah MacBook. Saya boleh mengawal MacBook daripada Find N5 dengan masa pendam yang agak rendah. Terdapat sokongan semua gestur Trackpad dan juga papan kekunci macOS yang lengkap.

image is not available

Tetapi ada beberapa isu. Pertama sekali ialah O+ Connect pada ketika ini masih dalam ujian Beta dengan ia tidak begitu stabil. Sambungan boleh terputus secara rawak dan berlaku juga situasi ia gagal melakukan sambungan. Kedua ialah O+ Connect meminta akses kepada banyak sistem macOS untuk berfungsi. Ciri mengakses MacBook daripada iPhone sendiri tidak diberikan oleh Apple. Sejauh manakah kepercayaan anda kepada keselamatan komputer Mac anda di tangan perisian Oppo?

PENANDA ARAS

Berikut adalah markah yang dicatatkan dalam ujian penanda aras Geekbench 6, Geekbench AI, Antutu 3D dan 3D Mark Wildlife Extreme. Oppo Find N5 ialah peranti skrin lipat pertama di dunia menggunakan Snapdragon 8 Elit dengan 7 teras CPU berbanding 8 teras pada 8 Elite yang lain Oleh itu saya meletakkan perbandingan prestasi cip ini dengan cip di bawah.

  • Snapdragon 8 Elite for Galaxy – Samsung Galaxy S25 Ultra
  • Dimensity 9400 – Oppo Find X8 Pro
  • Apple A18 Pro – Apple iPhone 16 Pro Max
  • Apple A17 Pro – Apple iPhone 15 Pro Max
  • Snapdragon 8 Gen 3 – Samsung Galaxy Z Fold6

AnTuTu 3D

CipSkor
Snapdragon 8 Elite 7 Teras2,157,718
Snapdragon 8 Elite for Galaxy1,946,864
Dimensity 94002,629,017
Apple A18 Pro1,720,751
Apple A17 Pro1,542,050
Snapdragon 8 Gen 31,016,712

image is not available

Geekbench 6

CipSatu TerasMulti Teras
Snapdragon 8 Elite 7 Teras28667987
Snapdragon 8 Elite for Galaxy29579435
Dimensity 940026638959
Apple A18 Pro33598129
Apple A17 pro27936925
Sanpdragon 8 Gen 319026943

image is not available

Geekbench AI

CipSkor Ketepatan TunggalSkor Ketepatan SeparuhSkor Quantized
Snapdragon 8 Elite 7 Teras220621873710
Snapdragon 8 Elite for Galaxy272727034580
Dimensity 9400172817402147
Apple A18 Pro397577446204
Apple A17 Pro370565155696
Snapdragon 8 Gen 3254320173867

image is not available

3DMark Wildlife Extreme

CipSkor
Snapdragon 8 Elite 7 Teras5507
Snapdragon 8 Elite for Galaxy6135
Dimensity 94006251
Apple A18 Pro4560
Apple A17 Pro3746
Snapdragon 8 Gen 34752

image is not available

Perbezaan prestasi antara 8 Elite dan 8 Elite dengan 7 teras adalah antara 5-15% bergantung kepada aplikasi penanda aras yang digunakan. Sungguhpun begitu saya harus katakan tidak dapat merasakan perbezaan ini semasa menggunakan Find N5 dan S25 Ultra. Kedua-dua peranti mercu Android ini menawarkan pengalaman penggunaan yang setara.

Prestasi permua juga setanding dengan peranti yang dilengkapi cip Snapdragon 8 Elite yang lain. Tidak ada isu pemanasan, boleh dimainkan pada tetapan grafik paling tinggi dan pada kadar bingkai paling tinggi. Permua seperti COD Mobile, COD Warzone Mobile, PUBG dan Asphalt 9 tiada masalah untuk dimainkan. Oppo sendiri mengatakan Find N5 boleh menjalankan permua sehingga 7 jam secara berterusan. Saya tidak sempat mengujinya sendiri tetapi sesi permainan yang panjang tidak menyebabkan peranti menjana panas sehingga tidak selesa dipegang.

image is not available

KAMERA

Berikut adalah sampel gambar yang berjaya diambil menggunakan Find N5 dalam tempoh sekitar seminggu saya sempat mengulasnya. Secara keseluruhan gambar yang diambil menggunakan lensa sudut lebar dan telefoto adalah amat memuaskan dalam apa jua situasi. Gambar daripada lensa ultra sudut lebar yang nampak lebih lembut dengan ia tidak begitu tajam disebabkan oleh saiz sensor yang kecil. Ini amat ketara pada waktu malam kerana lensa ultra sudut lebar Find N5 tidak dilengkapi OIS.

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

BATERI

Bateri sebesar 5600 mAh yang digunakan adalah amat besar untuk peranti yang nipis. Ianya lebih besar berbanding bateri iPhone 16 Pro Max (4685 mAh) dan Galaxy S25 Ultra (5000 mAh). Peranti secara konsisten dapat bertahan sepanjang dalam penggunaan sederhana sepanjang tempoh ulasan. SOT adalah antara 11-12 jam. Ini secara peribadi ialah telefon skrin-lipat dengan hayat bateri paling panjang pernah saya ulas. Dengan pengecas 80W yang disertakan dalam kotak, peranti boleh dicas semula dalam masa sekitar 50 minit. Sokongan pengecasan nirwyar 50W juga disertakan.

image is not available

AUDIO

Dua speaker yang menembak ke sisi berjaya menghasilkan audio yang seimbang tetapi secara keseluruhan audio Find N5 ialah tumit Achilles peranti ini. Bunyi yang dihasilkan terasa rata dan tidak bermaya walaupun pada tetapan tinggi. Tiada dimensi pada audio yang dikeluarkan dengan bass terasa seperti kadbod dan audio frekuensi tinggi tenggelam.

image is not available

Kerana tubuh yang nipis, kebuk audio untuk speaker tidak mempunyai amplitud besar untuk menghasilkan audio bermaya. Terdapat sokongan audio spatial tetapan kesemua kesan khas yang dijanjikan tidak dapat didengari. Tiada sistem Dolby Atmos disertakan dengan Oppo memilih menggunakan sistem audio tersendiri. Adalah lebih baik menggunakan Find N5 dengan sepasang fon kepala ataupun TWS.

PESAING

Oppo Find N5Samsung Galaxy Z Fold6Honor Magic V3
Luar – 6.62″ OLED, 120Hz
Dalam – 8.12″ OLED 120Hz, HDR10+, Dolby Vision
Luar – 6.3″ Dynamic AMOLED 2X, 120Hz
Dalam – 7.6″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz, HDR10+
Luar – 6.43″ OLED, 120Hz
Dalam – 7.92″ OLED, 90Hz, HDR10+, Dolby Vision
Snapdragon 8 Elite (3nm)
2x Oryon V2 Phoenix L 4.32 GHz
5x Oryon V2 Phoenix M 3.53 GHz
Snapdragon 8 Gen 3 (4nm)
1 X 3.39 GHz Cortex X43 X 3.1 GHz Cortex A7202 X 2.9 GHz Cortex A7202 X 2.2 GHz Cortex 520
Snapdragon 8 Gen 3 (4nm)
1 X 3.19 GHz Cortex X2
3 X 2.75 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex 510
Adreno 830Adreno 750Adreno 750
16 GB LPDRR5X12 GB LPDRR5X12 GB LPDRR5X
512 GB UFS 4.0256/512/1000 GB UFS 4.0512 GB UFS 4.0
Kamera Utama
50MP f/1.89, OIS (Sudut Lebar)
8MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
50MP f/2.7, OIS (Telefoto)
Kamera Utama
50MP f/1.6, OIS (Sudut Lebar)
12MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
10MP f/2.4, OIS (Telefoto)
Kamera Utama
50MP f/1.6, OIS (Sudut Lebar)
40MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
50MP f/3.0, OIS (Telefoto)
Kamera Hadapan
8-MP f/2.4
8-MP f/2.4
Kamera Hadapan
10-MP f/2.2
4-MP f/1.8 (UDC)
Kamera Hadapan
20-MP f/2.2
20-MP f/2.2
IPX9IP48IPX8
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
5600 mAh (Berwayar 80W)4400 mAh (Berwayar 25W)5150 mAh (Berwayar 66W)
RM 7999 (16/512GB)RM 7299 (12/256GB)
RM 7899 (12/512GB)
RM 9099 (12/1000GB)
Harga RM 6999

DALAM KOTAK

Berikut ialah apa yang disertakan dalam kotak.

  • 1x Oppo Find N5.
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Pengecas SuperVOOC 80W.
  • 1x Pin SIM.
  • 1x Set kerangka.

image is not available

KESIMPULAN

Oppo Find N5 ialah peranti skrin lipat lima bintang yang bukan sahaja menyelesaikan beberapa isu yang saya hadapi dengan Find N3 tetapi turut menyelesaikan isu yang wujud pada kesemua peranti lipat pengeluar lain. Perisian super lancar, prestasi mercu sebenar, kemampuan kamera memukau, tubuh yang semakin nipis dan bateri tahan lama dengan pengecasan pantas. Isu peranti skrin lipat yang mempunyai banyak kekurangan berbanding peranti candybar biasa ditangani Find N5 dengan cemerlang.

image is not available

Kekurangan masih ada seperti speaker yang langsung tidak bermaya dan juga harga jualan premium membuatkannya berada di luar kemampuan kebanyakan pengguna. Tetapi inilah terjadi apabila ingin menjadi paling nipis dan mercu pada masa yang sama.

Di Malaysia Oppo Find N5 RM7999 sebuah ia memang agak tinggi tetapi masih kompetitif berbanding pesaingnya Samsung Galaxy Z Fold6 (RM7899) dan Honor Magic V3 (RM6999) yang dilengkapi cip tahun lalu.

Pro

  • Spesifikasi mercu.
  • Prestasi ColorOS 15 yang amat lancar.
  • Rekaan lebih nipis dengan kesan lipatan skrin tidak ketara.
  • Pengecasan yang pantas dan bateri tahan lama.
  • Integrasi ekosistem Apple.
  • Kemampuan kamera yang baik.
  • Kalis air IPX9.

Kontra

  • Prestasi speaker kurang memuaskan. Tiada Dolby Atmos.
  • Sokongan 5 versi Android dan 6 tahan tampalan sekuriti sahaja.

image is not available