Pico 4 Ultra telah pun dilancarkan selepas dua tahun Pico 4 diperkenalkan kepada umum. Adakah versi Ultra ini berbaloi dimiliki atau patut kekal sahaja dengan generasi lama? Selepas menggunakan Pico 4 Ultra untuk seminggu, saya mendapati Pico cuba memberi pengalaman penggunaan Apple Vision Pro dalam pakej yang lebih mampu milik. Dalam artikel ini akan saya kongsi pengalaman saya dan menentukan adakah harga tak Pro untuk set kepala berbaloi untuk dibeli?

Spesifikasi Dan Rekaan
Skrin 2x Skrin 2.56″, 2160 × 2160, 1200 PPI,
90Hz, Lensa pancake,
Jarak anak mata boleh-suai 58mm – 72mmCPU/GPU Snapdragon XR2 Gen 2 (4nm)
4x Kryo (2.36 GHz)
2x Kryo (2.05 GHz)
Adreno 740 (2x 3K, 90 Hz)Memori/Storan 12GB, LPDDR5
256GB, UFS 3.1Sensor/Kamera 2x 32MP, kamera berwarna
1x iToF, sensor kedalaman
4x Kamera penjejakan persekitaranAudio 2x Speaker stereo
4x Mikrofon, rakaman spatialSambungan Wi-Fi 7
Bluetooth 5.3
USB-CBateri Bateri Peranti
5700mAh
QC 4.0 / PD 3.0, 45W
Bateri Alat Kawalan
2x Bateri AAHarga RM2,799
Saya yakin, kehadiran Apple Vision Pro membuatkan orang ramai ingin mencuba set kepala realiti gabungan. Ciri yang ditawarkan kelihatan sangat canggih sehingga Meta dan Pico cuba memperkenalkan ciri alternatif pada set kepada mereka. Pico 4 Ultra ada ciri-ciri tersebut, antaranya adalah merakam video 3D dengan audio imersif atau mengambil gambar 3D. Kemudian kawalan gestur menggunakan jari sahaja turut disokong dengan kawalan yang sangat lancar dan hampir sempurna.

Pico 4 Ultra turut kini mempunyai kamera berwarna untuk ciri realiti terimbuh dengan pandangan ke dunia nyata mempunyai elemen maya seperti aplikasi terapung. Kamera 32MP memberikan kesan visual yang cukup realistik jika mempunyai sumber cahaya yang mencukupi, Pergerakan juga tidak mempunyai sela masa yang cepat menimbulkan rasa mabuk pergerakan.

Kualiti dua skrin 2K 90Hz memberikan pandangan 4K yang cukup terang dan cantik. Ia mempunyai kecerahan yang cukup seimbang, warna yang cantik, butiran yang baik ketika menonton video dan grafik 3D yang kelihatan lebih kemas. Pico 4 Ultra turut direka untuk lebih mudah dipakai dengan kemampuan mengubah saiz seakan PS VR2 dan Apple Vision Pro. Ia juga masih kekal ringan dan selesa untuk digunakan dari awal sehingga bateri habis.
Pengalaman Penggunaan
Pico 4 Ultra menjalankan sistem operasi Pico OS 5.11.1.U berasaskan Android 14. Android tetap Android, jadi mana-mana aplikasi dan permainan video akan mempunyai grafik dengan apa yang Android mampu proses bersama-sama dengan cip pemprosesannya iaitu Snapdragon XR2 Gen 2.
Pico OS 5.11.1.U membawakan antaramuka yang sangat mudah untuk digunakan. Jika anda adalah kali pertama menggunakan set kepala realiti gabungan, ia pasti tidak akan menjadi masalah. Semua ikon, ciri, fungsi dan tetapan jelas kelihatan dengan penjelasan yang sepatutnya. Cara menetapkan set kepala ini untuk penggunaan yang terbaik juga mudah dilakukan.

Untuk kawasan main maya yang boleh dimainkan bersama Pico 4 Ultra, ia lebih bijak dalam menentukan lantai dan dinding maya untuk keselamatan. Bukan itu sahaja, kali ini ia turut boleh mengesan perabot untuk memudahkan lagi tetapan pejabat maya jika anda ingin menyiarkan kandungan skrin komputer terus ke monitor maya.
Kemudian untuk bilik maya persendirian, seakan ruang tamu yang biasanya boleh memilih pelbagai tema seperti angkasa, futuristik, retro dan sebagainya – kini Pico OS menawarkan persekitaran yang boleh dijana dengan AI. Beberapa kredit diberikan secara percuma dan jika habis selebihnya perlu dibeli.

Saya turut menggemari ciri tembus-lihat berwarna yang kini membolehkan saya melihat skrin telefon sambil memakai set kepala. Setakat penggunaan saya, saya boleh katakan yang 99% pengalamannya adalah mirip dengan Pico 4. Beza paling ketara adalah kualiti skrin dan sambungan Internet. Ini termasuk dengan kualiti penstriman kandungan Pico 4 Ultra yang disiarkan ke monitor atau telefon.

Melengkapkan lagi penggunaan Pico 4 Ultra adalah sensor tambahan Pico Motion Tracker yang kini boleh menterjemah pergerakan kaki pengguna ke dunia maya. Dengan sensor ini, mana-mana avatar yang dicipta akan ada kaki maya yang boleh digerakkan berbeza dengan Meta Quest yang menggunakan kaki maya sepenuhnya. Bukan itu sahaja, kaki ini turut boleh digunakan untuk bermain pelbagai permainan video dengan kebanyakannya fokus kepada senaman dan aktiviti bergerak untuk tubuh lebih sihat.
Pico OS serba baharu ini lebih mementingkan kesihatan pengguna dengan pergerakan dijejak dan jumlah kalori terbakar sentiasa dipantau. Banyak aplikasi sentiasa memantai pergerakan saya dan aplikasi kesihatan yang disediakan mudah untuk saya padankan dengan data pada jam tangan pintar untuk lebih memahami status tubuh badan saya sendiri.

Perkara yang saya paling tidak suka adalah aplikasi Pico dalam telefon pintar dan gedung aplikasi Pico. Aplikasi sangat tidak mesra pengguna dengan ada kerisauan data peribadi boleh tertiris. Untuk gedung aplikasi, banyak aplikasi dari pembangun tidak terkenal ditawarkan dengan harga tinggi dengan data pengguna dirisaukan kerana tiada sistem keselamatan seperti dalam Meta Quest atau Apple App Store.
Untuk permainan, bagaimana anda bermain permua di dalam peranti Android begitulah pengalaman dengan Pico 4 Ultra. Bezanya, jika peranti mercu Android – pengalaman bermain itu rasa memuaskan. Untuk set kepala ini, walaupun dalam kategori mercu pengalaman bermain permainan adalah seakan bersama peranti kelas pertengahan sahaja.

Grafik permainan tidak begitu realistik dan sokongan permainan tidak banyak. Beat Saber tiada tetapi ada versi klon yang seakan dibangunkan oleh pelatih. Permainan nampak hebat kebanyakan berbayar dan aplikasi penstriman pula sangat terhad. Walaupun begitu, prestasi untuk majoriti aktiviti adalah sangat pantas dan lancar dengan hampir tiada masalah lengah masa berlaku.
Saya juga tidak gemar yang selepas menggunakan Pico Motion Tracker yang perlu dibeli secara berasingan, banyak aplikasi yang boleh memanfaatkan ciri ini turut perlu dibeli. Bayangkan untuk menggunakan pengalaman penuh imersif, saya perlu membeli produk fizikal dan produk digital.
Bateri
Disebabkan cip generasi baharu, penggunaan kuasa pada Pico 4 Ultra adalah lebih baik dan ini menyumbang kepada bateri yang tahan lebih lama. Dalam penggunaan saya, satu hari berterusan bermain 3-4 permainan ia boleh bertahan sekitar 3 jam.

Sementara penggunaan ringan seperti produktiviti dan menonton video boleh bertahan sekitar 4 jam. Pengecasan 45W cukup pantas dan memadai untuk sebuah set kepala, dengan 0% ke 100% hanya mengambil masa sekitar 1 jam 15 minit.
Aksesori
Setiap pembelian Pico 4 Ultra hadir dengan 1x set kepala, 2x alat kawalan yang menggunakan bateri AA, 1x kabel USB-C dan 1x pengecas 45W. Beberapa dokumen keselamatan dan panduan turut disertakan. Tali untuk alat kawalan diberikan secara percuma, tetapi saya masih rindukan alat kawalan generasi pertama dengan gegelung pelindung.

Kualiti alat kawalan kali ini adalah A+. Setiap butang sedap ditekan, genggaman selesa dan tidak cepat membuatkan tangan berpeluh dan cengkaman rasa sangat baik dengan kemasan seakan peranti mercu premium.
Kesimpulan
Disebabkan Pico OS yang dibangunkan dengan sentuhan memfokuskan prestasi konsisten pada kedua-dua Pico 4 dan Pico 4 Ultra, RM2,799 adalah harga yang tidak berbaloi untuk naik taraf jika anda sedia menggunakan Pico 4. Pico Motion Tracker tetap disokong pada kedua-dua set kepala.

Jika anda serius dengan platform realiti gabungan berasaskan Android yang sedikit lebih fleksibel dan inginkan spesifikasi selamat untuk digunakan di masa hadapan – Pico 4 Ultra adalah untuk anda. Jika anda sekadar ingin mencuba, Pico 4 sudah memadai. Apa-apa pun, Pico 4 Ultra dengan ciri mirip Apple Vision Pro yang mudah digunakan adalah satu pujian. Kalaulah ada sokongan permainan Beat Saber, saya pasti beli kerana berbaloi untuk siarkan kandungan dan kongsi kepada rakan.
Pro
- Prestasi Pico OS yang pantas, lancar dan konsisten.
- Rekaan antaramuka mesra pengguna.
- Rekaan set kepala yang ringan, selesa dan mudah pakai.
- Bateri yang tahan lebih lama.
- Skrin yang lebih cantik dan kurang kesan mabuk pergerakan.
Kontra
- Harga yang semakin mahal.
- Banyak aplikasi dan permainan untuk Pico Motion Tracker perlu dibeli.
- Pelindung muka dengan pad kusyen mudah kepam.
- Sokongan aplikasi yang terhad dan banyak yang mencurigakan.

