
Telefon dengan bateri besar selalunya hadir dengan kompromi pada reka bentuk. Namun, Realme 16 5G membuktikan sebaliknya apabila menawarkan bateri 7000mAh dalam tubuh yang nipis dan ringan tanpa menjejaskan keselesaan. Persoalannya, bagaimana pula dengan aspek lain? Adakah ia berbaloi dimiliki? Berikut ulasan penuh.

Spesifikasi
| Realme 16 | |
|---|---|
| Skrin | AMOLED, 120Hz, HDR 1000 nits (typical), 1400 nits (peak) 6.57 inci (~88.3% nisbah skrin-ke-badan) 1080 × 2372 piksel (~397 ppi) |
| Pemproses | Mediatek Dimensity 6400 Turbo (6 nm) |
| Cip | 2 x 2.5 GHz Cortex-A76 6 x 2.0 GHz Cortex-A55 |
| Cip Grafik | Mali-G57 MC2 |
| RAM | 12GB RAM Maya (+10GB RAM) |
| Muatan Dalaman | 256 UFS 2.2 |
| Kamera Utama | 50MP f/1.8, 26mm lebar |
| Kamera Depan | 50 MP, f/2.4, 23mm (lebar) |
| Bateri | 7000mAh Li-Ion Berwayar 60W Sokongan 45W PPS |
| SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano /5G |
| NFC | Ya |
| Infra Merah | Ya |
| Kalis Air | IP64 |
| Sistem Imbasan | Imbasan cap jari Imbasan wajah |
| Harga Jualan | RM1599 |
Pengalaman Penggunaan
Realme 16 5G direka cukup nipis dengan ketebalan hanya 8.1mm dan berat 183g, meskipun membawa bateri besar 7000mAh. Kebiasaannya telefon dengan bateri besar terasa tebal dan berat tetapi Realme berjaya mengekalkan bentuk yang selesa. Digenggam lama dengan satu tangan juga tidak melecehkan atau terasa berat. Malah, keseimbangan beratnya menjadikan penggunaan berpanjangan tetap selesa tanpa menyebabkan keletihan.

Dari segi pengalaman harian, Realme 16 5G memberi rasa genggaman yang hampir sama dengan Honor 600 Lite yang pernah saya ulas sebelum ini. Ia hadir dengan rekaan baharu menggunakan panel depan dan belakang yang rata, memberikan penampilan moden melalui gaya ‘Air Design’ yang menyasarkan anak muda. Secara peribadi, ia mengingatkan saya kepada gabungan dua jenama yang sudah ada di pasaran namun keseluruhannya terasa selesa digenggam. Beratnya yang seimbang menjadikan Realme 16 5G sebuah peranti praktikal untuk kegunaan seharian.
Unit warna putih yang saya cuba hadir dengan panel belakang plastik (polycarbonate) bertekstur kasar yang menghasilkan pantulan menarik apabila terkena cahaya dari sudut tertentu. Bingkai sisi turut menggunakan plastik dengan kemasan matte. Walaupun bahan plastik ini kurang memberi rasa mewah berbanding beberapa pesaing dalam segmen yang sama, ia tetap menawarkan pengalaman yang baik dalam kelasnya. Binaan yang ringan dan selesa digenggam menjadikan Realme 16 5G sesuai untuk kegunaan harian tanpa terasa murah.

Ciri yang paling mencuri perhatian pada Realme 16 ialah adanya ‘Mirror Selfie’ fizikal iaitu panel kecil berkilat di modul kamera belakang. Tujuannya adalah supaya pengguna boleh melihat bayangan muka ketika menggunakan kamera utama 50MP untuk selfie. Ia bukan sekadar fungsi perisian tetapi cermin kecil sebenar yang dipasang pada telefon. Namun begitu, ciri ini sebenarnya lebih kepada usaha untuk menyerlahkan peranti semata berbanding fungsi praktikal dalam penggunaan harian.

Saya yakin ramai pengguna lebih selesa menggunakan kamera hadapan 50MP berbanding bergantung pada cermin kecil yang disediakan Realme. Hasil gambar pula kadang-kadang kelihatan janggal kerana mata seolah memandang ke arah lain. Hal ini berlaku kerana kedudukan kamera utama 50MP terletak di hujung kiri, manakala cermin berada di hujung kanan bersebelahan bonggol kamera. Akibatnya, pengalaman menggunakan ‘Mirror Selfie’ ini lebih kepada gaya semata-mata berbanding fungsi praktikal.
Secara logiknya, apabila mata fokus pada cermin, hasil gambar menunjukkan pandangan mata tidak sejajar dengan kamera lalu memberi kesan seolah-olah mata juling. Oleh itu, walaupun Realme cuba menampilkan idea unik, fungsi ini terasa biasa sahaja dan tidak memberikan nilai tambah besar dalam pengalaman harian.

Dakwaan bahawa ciri tersebut adalah yang pertama di industri mungkin boleh diperdebatkan kerana Nokia pernah memperkenalkannya lebih awal. Beberapa model klasik Nokia hadir dengan cermin kecil di belakang bersebelahan kamera dengan tujuan yang sama, iaitu membantu pengguna mengambil selfie. Pada era tersebut kamera hadapan beresolusi tinggi belum menjadi standard, jadi cermin kecil ini menjadi penyelesaian praktikal untuk mereka yang mahu merakam gambar sendiri.
Bezanya dengan Realme 16, kini kamera hadapan sudah canggih dengan resolusi tinggi 50MP sehingga menjadikan cermin fizikal ini lebih kepada elemen nostalgia yang dihidupkan semula. Nokia dahulu melakukannya kerana keperluan manakala Realme pula membawanya sebagai gaya tambahan untuk memberikan gaya.
Dari segi kegunaan sebenar, saya yakin ramai pengguna lebih selesa menggunakan kamera hadapan berbanding bergantung pada cermin kecil ini. Kesimpulannya, tiada keperluan nyata untuk ciri ini dan lebih baik jika Realme menumpukan pada penambahbaikan kamera hadapan berbanding memperkenalkan gimik sebegini.

Butang dan port yang disediakan berada di tempat biasa, jadi tiada masalah untuk membiasakan diri. Selain itu, tiada tambahan butang lain selain yang standard diberikan oleh pengeluar. Ia juga tidak mempunyai bicu audio seperti C100, namun hal itu tidak menjadi isu besar kerana ciri tersebut sudah jarang ditawarkan pada tahun ini. Jika ada, ia dianggap sebagai bonus. Sebaliknya, jika tiada, ia tidak memberi kesan besar.
Realme turut menyertakan pembesar suara stereo, sesuatu yang agak mengejutkan untuk telefon kelas sebegini. Prestasinya boleh dikatakan baik kerana menghasilkan bunyi yang kuat dengan bass yang memuaskan, meskipun speaker bawah lebih dominan berbanding atas. Selain itu, pengimbas cap jari pada skrin berfungsi lancar manakala fungsi kalis air asas turut membantu peranti menahan sedikit cecair tanpa masalah.
Perkakasan Dalaman – MediaTek Dimensity 6400 Turbo
Realme 16 menggunakan cip Dimensity 6400 Turbo (6nm) bersama memori 8GB RAM dan storan 256GB. Ia turut menyokong RAM maya sehingga 10GB menjadikan jumlah keseluruhan RAM tersedia mencecah 18GB. Namun perlu diingati, RAM maya ini bukanlah RAM fizikal sebenar kerana ia menggunakan sebahagian daripada storan dalaman untuk berfungsi sebagai ruang tambahan apabila sistem memerlukan kapasiti lebih besar untuk pelbagai tugas serentak.
- Realme C100 – Dimensity 6300 (6nm)
- Samsung Galaxy A37 5G – Exynos 1480 (4nm)
- Honor 600 Lite – Dimensity 7100 Elite (6nm)
- Infinix Note Edge – Dimensity 7100 (6nm)
- Nothing Phone (3a) – Snapdragon 7s Gen 3 (4nm)
AnTuTu 3D
| Peranti | Skor |
| Realme 16 5G | 531,226 |
| Realme C100 | 577,629 |
| Samsung Galaxy A37 5G | 1,059,377 |
| Honor 600 Lite | 726,401 |
| Infinix Note Edge | 805,806 |
| Nothing Phone (3a) | 803,992 |
Geekbench 6
| Peranti | Satu Teras | Multi Teras |
| Realme 16 5G | 801 | 1902 |
| Realme C100 | 663 | 1758 |
| Samsung Galaxy A37 5G | 1138 | 3489 |
| Honor 600 Lite | 867 | 2660 |
| Infinix Note Edge | 972 | 2827 |
| Nothing Phone (3a) | 1146 | 3123 |
3DMark Wildlife Extreme
| Cip | Skor |
| Realme 16 5G | 381 |
| Realme C100 | 383 |
| Samsung Galaxy A37 5G | 1042 |
| Honor 600 Lite | 640 |
| Infinix Note Edge | 692 |
| Nothing Phone (3a) | 1043 |
Prestasi dalam penggunaan harian boleh dikatakan memadai untuk tugasan biasa dan permainan sederhana tetapi bukan pilihan terbaik bagi permainan berat atau grafik tinggi. Ia menawarkan prestasi stabil dengan sokongan paparan 120Hz namun dari segi permainan hanya sesuai untuk kategori kasual sahaja.
Dalam kata mudah, ia sesuai untuk pengguna yang bermain permainan popular harian seperti PUBG Mobile, Mobile Legends dan Genshin Impact pada tetapan rendah hingga sederhana. Sokongan paparan 120Hz sememangnya memberi pengalaman harian yang lebih lancar, khususnya dalam penggunaan media sosial dan permainan ringan. Bagi permainan berat dengan grafik tinggi pula, tetapan rendah diperlukan untuk mengelakkan penurunan bingkai (frame drop).

Sebaliknya cip ini lebih menekankan keseimbangan antara prestasi dan bateri yang sesuai untuk telefon pertengahan yang mementingkan keseimbangan prestasi dan kos. Ini juga pengalaman yang pernah saya rasai ketika menguji cip Dimensity 7100 sebelum ini. Hal ini terbukti dalam aspek bateri malah ia mampu mengawal haba dengan baik. Ujian penanda aras juga terasa lebih stabil berbanding beberapa cip pertengahan lain yang cenderung menjadi panas ketika diuji.
Perisian Dalaman – Realme UI 7.0
Daripada pengalaman peribadi saya menggunakan Realme UI 7.0, ia terasa hampir sama dengan peranti Realme lain yang pernah saya cuba sebelum ini. Antara muka kekal minimalis dengan ikon serta animasi yang lebih kemas sekali gus memberikan pengalaman paparan yang segar. Saya juga perasan terdapat elemen reka bentuk yang seakan dipinjam daripada gaya Apple yang menjadikan UI kelihatan lebih moden dan menarik jika dilihat secara positif.

Ikon yang digunakan dalam Realme UI 7.0 lebih berbentuk kotak di mana mirip dengan apa yang terdapat dalam ColorOS 13 oleh Oppo. Hal ini tidak mengejutkan kerana kedua-dua jenama berada di bawah payung yang sama. Pilihan tema dan kustomisasi juga masih luas sekali gus membolehkan pengguna menukar warna sistem, ikon dan susun atur mengikut cita rasa masing-masing.

Fungsi Smart Sidebar turut dikekalkan sebagai akses pantas untuk tugasan serentak. Namun, tidak semua ciri kelas mercu dibawa masuk ke Realme 16 menyebabkan terdapat sedikit perbezaan dengan model premium. Sebagai contoh, ciri Mind Space tidak disertakan di sini yang menjadikan pengalaman agak berbeza bagi mereka yang sudah biasa menggunakannya.

Dari segi perisian, pengalaman saya mendapati iklan dan aplikasi gendut masih wujud pada Realme 16 namun ia boleh dibuang sekiranya pengguna mahu. Ciri AI dalam kamera pula jelas menunjukkan peningkatan berbanding generasi sebelumnya. Saya juga sempat mencuba AI Genie yang pernah hadir pada Realme 15, dan kali ini ia terasa lebih pintar kerana mampu menghasilkan teks atau imej berdasarkan arahan pengguna dengan lebih relevan.

Terdapat juga penambahbaikan seperti AI LightMe dan AI StyleMe yang memberikan hasil berbeza bergantung pada jenis gambar serta arahan prompt. Menariknya, ciri pop-up image yang sebelum ini popular dalam siri Oppo Reno turut hadir pada Realme 16 sekali gus menawarkan hasil gambar yang lebih kreatif. Selain itu, Realme 16 dikatakan akan menerima 3 tahun kemas kini sistem operasi utama serta 6 tahun kemas kini keselamatan.


Kamera Dan Kualiti Gambar
Dari segi kualiti kamera, gambar yang dihasilkan oleh Realme 16 5G sebenarnya sudah memadai untuk kegunaan harian. Istilah ‘memadai’ di sini merujuk kepada tahap yang sesuai dengan kelas peranti ini memandangkan ia bukan telefon premium. Warna gambar kelihatan lebih semula jadi, tidak terlalu tepu dan kontras yang cukup untuk menjadikan imej jelas serta sedap dipandang.

















Jika menggunakan mod Vibrance, warna kelihatan lebih hidup tetapi masih terkawal sehingga gambar tidak nampak janggal atau berlebihan. White balance pula konsisten, manakala bahagian terang (highlight) dikawal dengan baik sehingga kawasan yang biasanya mudah terlebih cerah (overexpose) tidak kelihatan keterlaluan.
Walaupun kamera hanya menawarkan satu focal length, kesannya agak terhad untuk menghasilkan bokeh yang lebih mendalam. Namun begitu, tona kulit masih kelihatan semula jadi dan tidak terlalu diproses. Ciri kecantikan (Beauty Mode) juga minimal yang menjadikan hasil gambar lebih realistik berbanding dramatik.





Autofokus pada kamera Realme 16 5G sekadar biasa sahaja dan menjadikannya kurang sesuai untuk menangkap subjek yang bergerak laju. Walaupun begitu, sensor 50MP masih mampu menghasilkan gambar yang memuaskan termasuk dalam keadaan pencahayaan rendah. Dari segi fungsi, kamera ini lebih sesuai untuk kegunaan harian kerana mod yang ditawarkan agak asas dan serupa dengan kebanyakan telefon lain. Ia bukanlah pilihan terbaik untuk kegunaan profesional tetapi cukup untuk pengguna yang mahukan hasil konsisten tanpa perlu banyak tetapan rumit.


Bateri
Realme 16 dilengkapi dengan bateri besar berkapasiti 7000mAh yang diiklankan mampu bertahan lebih daripada sehari penggunaan. Berdasarkan pengalaman sebenar, ketahanan baterinya memang baik kerana saya berjaya mendapatkan sekitar 1 hari 6 jam 35 minit dengan masa skrin aktif selama 8 jam 10 minit sebelum perlu dicas semula. Walaupun bateri besar, sistem pengecasan hanya sekadar 60W yang adalah perlahan bagi sebuah peranti China. Tempoh masa mengecas semula bateri adalah sekitar 70 minit.

Hal ini menunjukkan bahawa Realme 16 mempunyai kecekapan tenaga yang baik. Ia sesuai untuk pengguna aktif yang banyak menggunakan aplikasi seperti TikTok, WhatsApp, Telegram dan YouTube. Walaupun kapasiti baterinya besar biasanya menambah berat peranti, namun Realme berjaya mengekalkan reka bentuk yang ringan serta selesa digenggam.
Kesimpulan
Realme 16 mampu memberikan pengalaman penggunaan harian yang baik dengan paparan jelas, bateri tahan lama serta reka bentuk yang selesa digenggam. Ia juga praktikal untuk kegunaan seharian sama ada menonton video, melayari media sosial atau berhubung dengan rakan-rakan. Namun begitu, terdapat beberapa perkara kecil yang mungkin kurang menyerlah tetapi masih mampu menawarkan nilai yang baik dalam kelasnya.
Dari segi prestasi, ia berfungsi dengan baik tetapi bukanlah yang terpantas dalam kelasnya. Fungsi kamera pula memadai untuk kegunaan biasa, walaupun hasilnya mungkin kurang memuaskan bagi mereka yang gemar fotografi lebih serius. Kelajuan pengecasan juga sederhana berbanding pesaing lain, menjadikan pengguna perlu sedikit lebih sabar ketika mengisi semula bateri.

Secara keseluruhan, Realme 16 ialah sebuah peranti yang seimbang kerana ia menawarkan kelebihan pada paparan, bateri dan reka bentuk sambil mengekalkan fungsi asas yang mencukupi. Kekurangan kecil yang ada tidak terlalu menjejaskan pengalaman harian, menjadikannya pilihan sesuai untuk pengguna yang mahukan telefon ringkas dan tahan lama tanpa terlalu menekankan aspek prestasi tinggi atau kamera profesional.
Dengan harga RM1,599, ia boleh dianggap sebagai pilihan ringkas untuk kegunaan harian, terutama bagi mereka yang mahukan bateri besar, paparan cantik dan reka bentuk ringan. Namun, bagi pengguna yang mengutamakan prestasi permainan lebih lancar, kamera lebih fleksibel seperti ultra-lebar atau OIS, serta kelajuan pengecasan setanding pesaing lain, telefon ini mungkin tidak difokuskan kepada aspek premium seperti kamera atau gaming.
Kelebihan
- Bateri 7000mAh tahan lama.
- Reka bentuk nipis dan ringan.
- Paparan jelas dan cantik.
- Ciri kamera AI dipertingkatkan.
- Tona kulit natural.
Kekurangan
- Prestasi sekadar memadai.
- Autofokus sederhana.
- Kamera terhad.
- Pengecasan sederhana
- Mod kamera asas.
- Perisian dengan iklan dan bloatware.





