
Kos RAM yang semakin meningkat membuatkan pengeluar mencari jalan lain untuk mengekalkan nilai tarikan produk. Redmi Note 17 Pro Max 5G hadir dengan bateri besar 10,000mAh yang direka untuk memastikan penggunaan lebih lama walaupun prestasi multitugas sederhana. Ini bukan kelemahan sepenuhnya tetapi tanda jelas bahawa fokus diberikan pada ketahanan bateri berbanding kapasiti RAM.

Bagaimana pula prestasinya dalam penggunaan sebenar? Berikut ulasan penuh saya berdasarkan pengalaman harian dengan pelbagai senario penggunaan.
Spesifikasi Ringkas
| Redmi Note 17 Pro Max 5G | |
|---|---|
| Skrin | 6.83″ AMOLED, 1280 x 2772 piksel, nisbah 19.5:9 (~447 ppi) HDR10+, Dolby Vision, 3500 nits (puncak) Corning Gorilla Glass Victus 2 |
| Pemproses | Snapdragon 6 Gen 5 (4 nm) |
| Cip | 4 x 2.6 GHz Cortex-A78 4 x 2.0 GHz Cortex-A55 |
| Cip Grafik | Adreno 812 |
| RAM | 8 GB LPDDR5X |
| Muatan Dalaman | 256/512 GB UFS 4.1 |
| Kamera Utama | 50 MP, f/1.5, OIS (Sudut Lebar) 8 MP, f/2.2 (Ultra Lebar) |
| Kamera Swafoto | 32 MP f/2.2 |
| Bateri | 10,000 mAh (typ) Pengecasan berwayar 100W Pengecasan berbalik 27W |
| SIM/Telefoni | Nano/eSIM |
| NFC | Ya |
| Bicu Audio | Tiada |
| Kalis Air | IP66/IP68/IP69/IP69K |
| Sistem Imbasan | Pengimbas cap jari Imbasan wajah |
| Harga Jualan | RM 1999 (8/256GB) RM 2299 (8/512GB) |
Pengalaman Penggunaan
Redmi mengambil pendekatan berbeza untuk reka bentuk Note 17 Pro Max 5G. Modul kamera bulat di tengah yang menjadi ciri siri Note 14 Pro dan Note 15 Pro kini diganti dengan bonggol segi empat nipis yang kelihatan lebih moden. Bonggol ini menempatkan dua modul kecil bersama kamera utama di sudut kiri atas. Redmi kembali menggunakan skrin rata sepenuhnya, selari dengan trend semasa yang menolak skrin melengkung. Reka bentuk ini lebih praktikal kerana skrin rata lebih tahan lasak dan mudah digunakan setiap hari.
Perubahan ini memang memberi wajah lebih segar kepada siri Note, walaupun tidak sepenuhnya baharu kerana reka bentuk kamera segi empat dan paparan rata pernah digunakan sejak Note 12 Pro. Bezanya kali ini, ia hadir dengan gaya lebih rapi dan tersendiri. Ada pengguna yang menyambut baik kerana rekaannya kelihatan ringkas dan kemas, tetapi ada juga yang menganggap penggunaan dwi-kamera sahaja sebagai langkah ke belakang.
Bila bercakap tentang rekaan dan paparan, memang betul ia soal citarasa. Ada pengguna lebih suka gaya minimalis yang ringkas, manakala sebahagian lain tertarik dengan rekaan kompleks penuh elemen tambahan. Modul kamera sederhana pada Note 17 Pro Max 5G bagi saya kelihatan kemas dan praktikal, jadi tidak wajar dianggap sebagai kekurangan.

Telefon ini memang terasa premium di tangan dengan binaan kukuh yang memberi keyakinan setiap kali digunakan. Dari segi rasa, ia sedikit mengingatkan pengalaman menggunakan Oppo Find X9 Pro, cuma saiz dan beratnya lebih ketara. Faktor ini menjadikan ia kurang sesuai untuk pengguna bertangan kecil atau mereka yang biasa menggunakan telefon dengan satu tangan, kerana kawalan mungkin terasa agak mencabar.
Paparan rata penuh pada peranti ini memang tidak menimbulkan sebarang masalah. Malah, ia terasa lebih selesa kerana tiada pantulan di bahagian tepi skrin sekali gus menjadikan pengalaman menatal dan aktiviti harian lebih menyenangkan. Pendekatan ini lebih praktikal sesuai dengan trend semasa yang menolak skrin melengkung. Saya sendiri mudah menyesuaikan diri dengan pelbagai jenis skrin dan yakin kebanyakan pengguna juga akan cepat terbiasa dengan rekaan sebegini.

Susun atur butang pada Redmi Note 17 Pro Max 5G direka dengan baik untuk memudahkan penggunaan harian. Di sebelah kanan terdapat butang kuasa dan laras audio dengan binaan kukuh, manakala bahagian kiri dibiarkan kosong untuk memberi kesan lebih kemas. Slot SIM, port USB-C, serta pembesar suara disusun rapi di bahagian bawah. Selain itu, peranti ini turut dilengkapi perlindungan kalis habuk dan air dengan penarafan IP66, IP68, IP69 serta IP69K.

Dari segi audio, peranti memang menawarkan sistem stereo dengan gabungan pembesar suara atas dan bawah serta sokongan Dolby Atmos yang menjadikan bunyi lebih imersif berbanding sistem mono. Namun, pembesar suara di bahagian bawah lebih dominan menyebabkan keseimbangan audio kurang sempurna. Situasi ini agak biasa pada telefon pintar kerana walaupun ada stereo, kualiti bunyi masih belum mampu menandingi sistem audio profesional.

Panel AMOLED 6.83 inci pada Note 17 Pro Max 5G merupakan janji spesifikasi atas kertas. Resolusi 2772 x 1280 piksel dengan kadar segar semula 120Hz diiklankan mampu memberi paparan tajam dan lancar. Sokongan HDR10 serta Dolby Vision turut dijanjikan untuk meningkatkan pengalaman menonton, manakala pensijilan TÜV Rheinland bagi cahaya biru rendah dan pengurangan kelipan dikatakan memberi keselesaan tambahan ketika digunakan lama.

Tidak dinafikan skrin memang cantik dengan warna jelas, pekat dan kecerahan puncak 3,500 nits yang kekal terang walaupun di bawah matahari terik. Namun begitu, pengalaman menatal tidak sepenuhnya lancar seperti dijanjikan. Sesekali ia terasa perlahan walaupun panel menyokong 120Hz yang menandakan sistem operasi dan aplikasi masih belum dioptimumkan sepenuhnya. Skrin ini turut menempatkan pengimbas cap jari di bawah paparan yang pantas tetapi kedudukannya agak rendah berbanding telefon lain yang pernah saya gunakan sekali gus menjadikan ia sedikit kurang selesa untuk dicapai.
Perkakasan Dalaman – Cip Snapdragon 6 Gen 5
Redmi Note 17 Pro Max 5G yang saya terima hadir dengan cip Snapdragon 6 Gen 5, dipadankan dengan memori 8GB serta storan dalaman 256GB. Di atas kertas, spesifikasi ini memang nampak seperti menjanjikan prestasi tinggi. Namun, pengalaman sebenar masih belum sepenuhnya menepati jangkaan ditambah pula dengan ujian penanda aras tidak dapat dijalankan ketika peranti diterima.

Hal ini berkemungkinan berlaku kerana unit yang dihantar masih belum stabil atau belum dioptimumkan sepenuhnya, menyebabkan ujian penanda aras tidak dapat dijalankan. Ada juga kemungkinan ia menggunakan firmware awal atau versi sistem yang menyekat pemasangan aplikasi tertentu termasuk aplikasi penanda aras.

Namun keadaan tersebut tidak menghalang saya untuk menguji secara masa nyata. Sepanjang penggunaan, pengalaman menatal pada peranti terasa kurang memuaskan. Animasi kerap tersekat dan pertukaran aplikasi tidak berjalan lancar, menjadikan keseluruhan pengalaman tidak konsisten. Situasi ini menunjukkan sokongan perisian masih belum matang serta gagal memanfaatkan sepenuhnya keupayaan cip Snapdragon 6 Gen 5.

Dari sudut strategi, Xiaomi memang kelihatan memilih pendekatan selamat dengan mengekalkan prestasi sederhana tanpa pembaharuan besar, kemungkinan dipengaruhi faktor kos, risiko serta keadaan pasaran semasa termasuk krisis cip global. Redmi Note 17 Pro Max bukanlah peranti yang lemah dari segi prestasi kerana masih memadai untuk tugasan harian. Namun, pengalaman penggunaan tidak cukup lancar untuk menyaingi pesaing dalam segmen sama sekaligus memperlihatkan jurang ketara antara janji spesifikasi dan realiti penggunaan.


Redmi Note 17 Pro Max hadir dengan HyperOS 3 berasaskan Android 16 yang membawa perubahan besar dari segi antara muka dan ekosistem. Ikon lebih moden digabungkan dengan Hyper Island iaitu ciri diinspirasikan daripada Dynamic Island Apple, yang memaparkan maklumat seperti panggilan masuk, pemasa, acara kalendar dan kawalan muzik secara menarik.


Integrasi AI menjadi tumpuan utama dengan Google Gemini sebagai pembantu pintar turut menawarkan kemampuan lain seperti penjanaan wallpaper, sari kata langsung, transkripsi, penterjemah masa nyata, carian pintar dan penulisan automatik. Dari sudut ekosistem, sokongan turut diperluaskan bukan sahaja untuk peranti Xiaomi, tetapi juga Android lain serta Apple seperti iPhone, iPad dan Mac.
Namun begitu, masalah iklan dalam sistem memang menjejaskan pengalaman yang sepatutnya premium. HyperOS 3 pada Redmi Note 17 Pro Max jelas belum mencapai tahap kematangan yang meyakinkan dengan animasi sesekali tersekat ketika menatal atau bertukar aplikasi. Walaupun antara muka ini jarang diuji oleh saya secara umumnya tetapi tanda‑tanda ketidakstabilan tetap ketara.
Kualiti Gambar
Pengalaman menggunakan kamera peranti terasa cukup memuaskan walaupun hasil akhirnya tetap bergantung pada kemahiran pengguna dalam mengawal sudut, pencahayaan, dan komposisi. Sepanjang penggunaan, kamera utama menghasilkan warna agak tepu tetapi masih terkawal dengan kontras sedikit tinggi yang menjadikan imej lebih hidup. Bahagian terang berjaya dikawal tanpa menjadikan imej terlalu putih manakala bayangan tidak terlalu gelap sehingga butiran masih jelas kelihatan. Keseluruhan hasilnya memberikan keseimbangan yang baik antara warna, cahaya dan kontras yang menjadikan gambar nampak lebih semula jadi serta sedap dipandang mata.

Lensa ultralebar pada Redmi Note 17 Pro Max 5G memberikan hasil yang tajam di setiap penjuru tanpa kesan mata ikan yang ketara, di mana sesuatu yang jarang ditemui dalam kelasnya. Rakaman waktu malam pula menunjukkan prestasi baik kerana kamera masih mampu mengekalkan ketepuan warna dan kontras seimbang. Kualiti imej kekal tajam serta memberangsangkan, walaupun terdapat sedikit hingar yang tidak sampai menjejaskan keseluruhan hasil.














Dalam mod potret, kamera Redmi Note 17 Pro Max 5G memberikan pengalaman yang cukup meyakinkan. Ketepuan warna yang dihasilkan mencukupi, manakala kesan bokeh kelihatan semula jadi sehingga subjek dapat dipisahkan dengan jelas daripada latar belakang. Tona kulit pula nampak lebih semula jadi tanpa kesan kecantikan berlebihan, di mana sesuatu yang saya hargai kerana ia mengekalkan keaslian wajah.




Namun begitu, ketika digunakan pada waktu malam kualiti imej sedikit terjejas. Pemisahan subjek tidak begitu tepat yang menjadikan hasil kurang kemas terutama di bahagian tepi subjek. Ketajaman juga menurun berbanding rakaman siang dengan sedikit hingar yang masih boleh diterima untuk kegunaan biasa. Secara keseluruhan, ia memberikan pengalaman yang baik dengan hasil yang memuaskan pada waktu siang dan masih boleh digunakan pada waktu malam walaupun dengan beberapa kekangan.
Bateri
Sorotan utama peranti ini ialah bateri berkapasiti 10,000mAh iaitu satu angka yang besar untuk kegunaan harian. Bagi menguji ketahanannya, saya melakukan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Melaka dan kembali semula ke Kuala Lumpur pada hari yang sama.

Sepanjang perjalanan tersebut, penggunaan saya boleh dikategorikan sebagai ekstrem yang melibatkan penggunaan menatal media sosial, memuat naik gambar, menyunting video menggunakan CapCut, mengambil gambar serta menggunakan aplikasi peta secara berterusan. Tanpa bergantung pada powerbank, bateri turun daripada 100% kepada 37% selepas hampir 14 jam penggunaan bermula jam 11 pagi sehingga 1 pagi keesokan harinya.

Pada hari berikutnya, baki bateri masih sekitar 30% pada jam 10 pagi. Dengan penggunaan lebih ringan seperti mengambil gambar sekitar Kuala Lumpur dan membalas mesej, bateri turun ke 14% pada jam 3 petang sebelum memasuki mod hibernasi (Hibernate Mode) sepenuhnya pada jam 7.10 malam. Bateri akhirnya habis pada pagi hari ketiga. Sepanjang ujian ini, SIM dan internet sentiasa aktif pada rangkaian 5G.

Dalam satu sesi, saya turut pernah mendapat SOT sehingga 23 jam 6 minit dengan baki bateri 6%. Dalam sesi lain pula, penggunaan selama 14 jam meninggalkan baki 37%. Dakwaan Redmi bahawa bateri peranti mampu bertahan sehingga 3 hari tidaklah salah, tetapi lebih sesuai untuk penggunaan sederhana. Dengan penggunaan berat seperti yang saya lakukan, bateri mampu bertahan hampir 2 hari setengah iaitu satu pencapaian yang sangat baik untuk kapasiti 10,000mAh.
Perbandingan
| Redmi Note 17 Pro Max | Vivo V80 Lite 5G | Realme P4 Power 5G |
| 6.83″ AMOLED, 120Hz Dolby Vision, 3500 nit | 6.83″ AMOLED, 120Hz HDR10+, 2000 nit | 6.8″ AMOLED, 144Hz HDR10+, 1800 nit |
| Snapdragon 6 Gen 5 (4 nm) 4 x 2.6 GHz Cortex-A78 4 x 2.0 GHz Cortex-A55 | Dimensity 7300e (6 nm) 4 x 2.5 GHz Cortex-A78 4 x 2.0 GHz Cortex-A55 | Dimensity 7400 Ultra (4 nm) 4 x 2.6 GHz Cortex-A78 4 x 2.0 GHz Cortex-A55 |
| Adreno 812 | Mali-G610 MC2 | Mali-G615 MC2 |
| 8 GB LPDDR5X | 6/8 GB LPDDR4X | 12 GB LPDDR4X |
| 256/512 GB UFS 4.1 | 128/256 GB UFS 3.1 | 256 GB UFS 3.1 |
| Kamera Utama 50 MP, f/1.5, OIS (Sudut Lebar) 8 MP, f/2.2 (Ultra Lebar) | Kamera Utama 50 MP, f/1.8, OIS (Sudut Lebar) 2 MP, f/2.4 (Kedalaman) | Kamera Utama 50 MP, f/1.8, OIS (Sudut Lebar) 8 MP, f/2.2 (Ultra Lebar) |
| Kamera Hadapan 32 MP f/2.2 | Kamera Hadapan 32 MP f/2.0 | Kamera Hadapan 16 MP f/2.4 |
| IP69K | IP69 | IP69 MIL-STD-810H |
| Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
| Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Mono |
| 10,000 mAh Berwayar 100W | 10,00 mAh Berwayar 44W | 10,001 mah Berwayar 80W |
| Android 16. HyperOS 3 Kemas kini 4+6 tahun | Android 16, OriginOS 6 Kemas kini 2+4 tahun | Android 16, Realme UI 7.0 Kemas kini 3+4 tahun |
| Dilancarkan September 2026 | Dilancarkan September 2026 | Dilancarkan Mei 2026 |
| RM 1999 (8/256GB) RM 2299 (8/512GB) | RM 1499 (6/128GB) RM 1799 (6/256GB) RM 1999 (8/256GB) | RM 1999 (12/256GB) |
Ada Apa Dalam Kotak?
Berikut ialah yang disertakan dalam kotak pembelian:
- 1 x Redmi Note17 Pro Max 5G.
- 1 x Kepala pengecas 100w.
- 1 x Kabel usb-C ke usb-A.
- 1 x Kerangka silikon gelap.
- 1 x Manual pengguna.
- 1 x Pencungkil sim.
Kesimpulan
Kesimpulannya, Redmi Note 17 Pro Max 5G bukanlah peranti yang gagal, tetapi ia juga tidak cukup meyakinkan untuk dianggap berbaloi bagi semua orang. Kekuatan utamanya jelas pada kapasiti bateri besar dan ketahanan fizikal yang menjadikannya sesuai untuk pengguna yang mahukan telefon tahan lama dengan paparan terang serta perlindungan kukuh. Ia amat berguna bagi mereka yang sering berada di luar atau memerlukan jangka hayat bateri panjang.

Namun begitu, dari sudut prestasi dan pengalaman sistem, ia masih belum matang. Animasi yang sesekali tersekat, multi tugas yang kurang lancar serta kehadiran iklan dalam sistem menjadikan pengalaman harian tidak konsisten. Bagi pengguna yang mementingkan kelancaran prestasi, pengalaman tanpa gangguan atau kematangan perisian setanding pesaing, peranti ini mungkin kurang berbaloi. Ringkasnya, ia berbaloi untuk mereka yang mengutamakan bateri dan ketahanan, tetapi tidak sesuai bagi yang mencari prestasi lancar dan pengalaman sistem yang premium.
Kelebihan
- Bateri besar 10,000mAh tahan lama.
- Pengecasan pantas 100W.
- Paparan AMOLED terang dengan HDR10 & Dolby Vision.
- Rekaan kemasan menarik dengan elemen unik.
- Perlindungan kalis air IP66–IP69K.
- Audio stereo dengan sokongan Dolby Atmos.
Kelemahan
- Prestasi multitugas kurang lancar.
- Animasi sesekali tersekat.
- Iklan dalam sistem menjejaskan pengalaman.
- Pengimbas cap jari agak rendah kedudukannya.
- Audio stereo tidak seimbang.




