Ulasan Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra – Macam Lain Tapi Sama, Macam Sama Tapi Lain

TechnologyDigital
10 Aug 2026 • 3:33 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Ulasan Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra – Macam Lain Tapi Sama, Macam Sama Tapi Lain

Pada bulan lepas, Samsung telah melancarkan tiga buah peranti pintar boleh-lipat terbaru mereka, yang termasuklah Samsung Galaxy Z Fold8, Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra dan Samsung Galaxy Z Flip8. Apa yang berbeza kali ini ialah peranti Z Fold8 Ultra hadir dengan rekaan sama seperti peranti Samsung Galaxy Z Fold7 sebelum ini, dan Samsung Galaxy Z Fold8 hadir dengan rekaan baru yang lebih padat.

Saya diberi peluang untuk menguji dan mengulas peranti Z Fold8 Ultra, dan walaupun pada tahun lepas saya telah menguji dan menggunakan Samsung Galazy Z Flip7 untuk seketika, saya kembali menggunakan peranti ASUS ROG Phone 9 Pro Edition kerana skrin yang lebih besar dan prestasi yang jauh lebih hebat.

Jadi ulasan Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra ini akan memperlihatkan perspektif seseorang yang menggunakan sebuah peranti boleh-lipat premium untuk kali pertama dalam hidupnya.

Spesifikasi

Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra
SkrinLuar – 6.5″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz
Dalam – 8″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz
HDR10+
PemprosesQualcomm Snapdragon 8 Elite Gen5 for Galaxy (3nm)
Cip2×4.74 GHz Oryon V3 Phoenix L
6×3.62 GHz Oryon V3 Phoenix M
Cip GrafikAdreno 840
RAM12/16GB LPDDR5X
12GB RAM Plus
Muatan Dalaman256/512/1000 GB UFS 4.0
Kamera Utama200MP f/1.7 OIS, (Sudut Lebar)
50MP f/2.2 (Ultra Lebar)
10MP, f/2.4, OIS 3x Zum Optikal (Telefoto)
Kamera Swafoto10MP f/2.2 (Luar)
10MP f/2.2 (Dalam)
Bateri5000 mAh
Pengecasan berwayar 45W
Pengecasan nirwayar 15W
Pengecasan berbalik 4.5W
SIM/Telefoni2 Nano, 1 eSIM
5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP48
Sistem ImbasanPengimbas cap jari sisi
Harga JualanRM8,099 (12/256 GB)
RM 8,899 (12/512 GB)
RM 10,499 (16/1 TB)

Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra mungkin memperlihatkan rekaan yang hampir menyerupai penawaran Fold tahun lepas, akan tetapi ceritanya berbeza apabila bercakap mengenai spesifikasi dalaman. Model Z Fold8 Ultra dikuasakan oleh cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Elite Gen5 yang terbaru dengan penaiktarafan dari segi kemampuan IPC dan olahan grafik yang bukan sahaja lebih lancar, tetapi juga lebih cekap dari segi penggunaan kuasa.

Image from: Ulasan Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra – Macam Lain Tapi Sama, Macam Sama Tapi Lain

Penawaran memori dan storan sama seperti tahun lepas, dengan gabungan pilihan memori 12GB ataupun 16GB LPDDR5X dengan pilihan storan dari 256GB, 512GB dan 1TB storan UFS 4.0 terpantas Samsung setakat ini.

Image from: Ulasan Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra – Macam Lain Tapi Sama, Macam Sama Tapi Lain

Bahagian kamera juga memperlihatkan satu penaiktarafan dari segi lensa ultra-lebar, dimana modul tersebut kini hadir dengan sensor 50MP, satu penaiktarafan ketara berbanding dengan penawaran 12MP pada model sebelum ini.

Ciri bateri dan pengecasan juga akhirnya memperlihatkan penaiktarafan dari segi kapasiti dan kemampuan pengecasan, dimana Z Fold8 Ultra dan juga peranti-peranti pintar boleh-lipat Samsung terbaru kini menggunakan bateri silikon karbon. Untuk Z Fold8 Ultra, kapasiti bateri telah dinaiktarafkan ke 5000mAH, dan kini mempunyai sokongan pengecasan berwayar setinggi 45W, dengan pengecasan nirwayar dan berbalik dikekalkan pada 15W dan 4.5W.

Skrin Dan Rekaan

Sebelum saya masuk kepada spesifikasi saiz dan rangka skrin peranti Z Fold8 Ultra ini, saya mahu mengatakan bahawa saya cukup kagum dengan bagaimana sains rekaan rangka peranti kini sudah mencapai tahap dimana jenama-jenama peranti boleh menghasilkan peranti pintar yang sangat nipis sekali.

Image from: Ulasan Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra – Macam Lain Tapi Sama, Macam Sama Tapi Lain

Hampir keseluruhan rangka dan saiz peranti Z Fold8 Ultra ini hadir dengan dimensi yang hampir sama dengan apa yang ditawarkan pada peranti Z Fold7 tahun lepas. Skrin luarannya hadir dengan saiz paparan 6.5 inci dengan resolusi 1080 x 2520 pixel dan kadar segar semula 120Hz dengan nilai kecerahan mencecah 3000 nits, manakala paparan dalamnya pula hadir dengan saiz 8.0 inci dengan resolusi 2256 x 2504 pixel dengan kadar segar semula yang sama.

Image from: Ulasan Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra – Macam Lain Tapi Sama, Macam Sama Tapi Lain

Sama seperti semua peranti-peranti Samsung kelas premium sebelum ini, Z Fold8 Ultra tampil menggunakan panel Samsung Dynamic AMOLED 2X untuk kedua-dua paparan skrin dalaman dan luarannya. Bagi saya, selain daripada olahan warna dan grafik permainan yang cantik, kelebihan utama paparan ini hadir dari nilai kecerahan tingginya.

Kelebihan utama paparan cerah ini, selain daripada memudahkan saya untuk melihat skrin dalam situasi cahaya matahari terik ialah ia memberi paparan ini sudut pandangan yang agak lebar dan juga mengurangkan kejelasan lipatan di tengah peranti apabila menonton kandungan dengan skrin dalaman.

Image from: Ulasan Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra – Macam Lain Tapi Sama, Macam Sama Tapi Lain

Bercakap mengenai kesan lipatan, dengan siri peranti Samsung Galaxy Z Fold dan Z Flip terbaru tahun ini, Samsung telah mengemaskini engsel Flex Hinge mereka dengan versi terbaru yang dinamakan Flex Hinge Titanium. Penjelasan ringkas mengenai teknologi engsel ini ialah Samsung menggunakan dua lapisan bahan titanium untuk mencipta engsel yang lebih kukuh tetapi membolehkan peranti ini mengekalkan rekaan nipis dan ringan.

Image from: Ulasan Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra – Macam Lain Tapi Sama, Macam Sama Tapi Lain

Kemaskini Flex Hinge Titanium ini dilakukan untuk menangani aduan berkenaan peranti-peranti Z Fold dan Z Flip sebelum ini yang hadir dengan engsel yang tidak cukup kuat untuk menahan kedudukan paparan peranti dalam kedudukan Flex 90 darjah. Ia juga membantu pengguna untuk membuka peranti dalam keadaan dilipat dengan lebih mudah, dan masih mengekalkan ketahanan untuk dibuka dan ditutup sebanyak 400 ribu kali.

Malah, jika anda tanyakan kepada saya sekiranya kesan lipatan Z Fold8 Ultra ini mudah dilihat, saya akan katakan bahawa melainkan anda melihat paparan ini pada jarak yang sangat dekat, kebarangkaliannya ialah anda tidak akan perasan pun lipatan tersebut. Walaupun begitu, saya masih akan katakan bahawa sekiranya skrin tersebut dalam keadaan tertutup, anda masih akan dapat melihat sedikit lekuk pada bahagian tengah lipatan tersebut.

Rangka Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra ini juga hadir dengan ketebalan yang sedikit lebih nipis berbanding dengan Z Fold7 sebelum ini, iaitu 4.1mm. Tidak kira dalam keadaan terbuka ataupun tertutup, Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra bagi saya adalah sangat sebuah peranti pintar dengan rekaan yang sangat nipis.

Untuk ketahanan skrin dan rangka peranti pula, Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra tampil menggunakan kaca Corningware Gorilla Glass Ceramic 3 untuk paparan skrin penutup di hadapan, dan mengekalkan penggunaan Corningware Gorilla Glass Victus 2 untuk bahagian belakang. Piawaian IP48 untuk ketahanan kalis air dan debu juga dikekalkan pada peranti ini.

Perisian

Setiap pelancaran peranti Samsung Galaxy Z Fold dan Z Flip terbaru memperlihatkan penggunaan sistem operasi Android dan juga antaramuka OneUI yang baru. Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra tidak lain, dan ia memperlihatkan penggunaan sistem operasi Android 17 dengan One UI 9. Dari segi kemas kini perisian akan datang, peranti ini akan hadir dengan sokongan untuk tujuh versi sistem operasi Android akan datang dan kemaskini sekuriti untuk tujuh tahun akan datang.

Jika anda sudah biasa menggunakan peranti Samsung dengan antaramuka One UI sebelum ini, menggunakan peranti Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra ini mungkin hanya memerlukan sedikit penyesuaian, khususnya apabila menggunakan peranti ini dengan paparan 8.0 inci ini.

Image from: Ulasan Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra – Macam Lain Tapi Sama, Macam Sama Tapi Lain

Apa yang saya perasan mengenai peranti Z Fold8 Ultra ini ialah penggunaan peranti dalam keadaan paparan tertutup adalah berbeza dengan apabila ia digunakan dengan paparan dalaman. Dalam keadaan tertutup, antaramukanya tidak begitu berbeza dengan peranti-peranti pintar candy bar yang lain. Akan tetapi, apabila dalam keadaan terbuka, antaramukanya dilihat lebih memiripi penggunaan sebuah tablet.

Ini dapat dilihat apabila anda menggunakan aplikasi dengan paparan yang lebih besar, dimana dengan navigasi berbutang, antaramuka taskbar dengan senarai aplikasi-aplikasi yang aktif di latar belakang boleh diakses dengan cepat dengan menekan ikon-ikon tersebut. Jika anda mahu memaksimakan penggunaan skrin, anda boleh menukar tetapan navigasi untuk menggunakan tatalan, dan ia akan menyorokkan taskbar ini, dan anda hanya perlu menatal naik dari sisi bawah untuk mengaksesnya.

Image from: Ulasan Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra – Macam Lain Tapi Sama, Macam Sama Tapi Lain

Paparan 8.0 inci ini menariknya hadir dengan kebolehan multi-tasking dimana ia boleh memperlihatkan sehingga empat aplikasi sekaligus, sekiranya anda mahukan. Ciri ini sedikit kekok kerana secara teknikalnya paparan ini boleh memperlihatkan tiga aplikasi yang dipisahkan dalam konfigurasi dua tetingkap kecil dan satu tetingkap besar, tetapi tetingkap keempat hanya boleh diperlihatkan dalam keadaan floating window yang akan menindani bahagian tengahketiga-tiga aplikasi ini.

Menggunakan mod tindanan aplikasi ini juga akan menyebabkan sedikit isu lagging, tetapi tidak sehingga tahap peranti tidak boleh digunakan. Bagi saya, sweet spot penggunaan ciri multi-tasking ini adalah dengan dua aplikasi secara sekaligus untuk memaksimakan kemampuan visual paparan dan prestasi pemprosesan peranti ini.

Pengalaman Penggunaan

Sebagai pengguna peranti boleh-lipat premium kali pertama, Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra adalah peranti pertama yang membuatkan saya tercengang dengan ciri-ciri yang ditawarkan. Oleh kerana ini saya akan memisahkan bahagian ini kepada pengalaman saya menggunakan peranti ini untuk kali pertama dan juga prestasi peranti ini.

Image from: Ulasan Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra – Macam Lain Tapi Sama, Macam Sama Tapi Lain

Apabila saya memegang peranti ini untuk pertama kali sewaktu acara pelancarannya, sukar untuk saya mempercayai bahawa ia hadir dengan rekaan senipis ini dan merumahkan cip pemprosesan kelas mercu Qualcomm Snapdragon 8 Elite Gen5.

Image from: Ulasan Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra – Macam Lain Tapi Sama, Macam Sama Tapi Lain

Secara hampir keseluruhannya, rekaan Galaxy Z Fold8 Ultra ini cukup cantik, tetapi satu isu kritikal dapat diperlihatkan pada bonggol kamera yang kelihatan agak janggal khususnya apabila saya menggunakan Cover Screen dalam keadaan menegak sebegini yang menyebabkan peranti ini kelihatan senget. Ia bukanlah satu isu yang besar, tetapi jika anda mahu menggunakan peranti ini dalam orientasi begini, ia mungkin akan menjadi isu pada jangka masa panjang.

Paparan skrin dalaman 8.0 inci bukan sahaja tampil dengan olahan warna yang cantik dengan prestasi yang lancar, tetapi kebolehannya untuk memperlihatkan sebanyak empat aplikasi aktif secara sekaligus adalah sesuatu yang saya tidak jangka saya akan manfaatkan.

Image from: Ulasan Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra – Macam Lain Tapi Sama, Macam Sama Tapi Lain

Sebagai seorang yang ketagih bermain permua, saya sering menggunakan fungsi multi-tasking ini untuk memainkan permua kegemaran saya, Honkai Star Rail dan memainkan video pada aplikasi YouTube ataupun Netflix dan memanfaatkan fungsi Multi Window. Bagi saya, pecahan optimum untuk menggunakan fungsi Multi Window adalah untuk menggunakan dua tetingkap aplikasi secara mendatar.

Image from: Ulasan Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra – Macam Lain Tapi Sama, Macam Sama Tapi Lain

Ciri Flex Mode pada peranti ini memberikan saya satu kejutan yang besar dimana Samsung memperlihatkan pelbagai fungsi-fungsi lain seperti mod pad sesentuh dan tatalan maya yang boleh dimanfaatkan untuk pelbagai jenis aplikasi pada peranti ini, sama ada ia dioptimasikan untuknya ataupun tidak.

Image from: Ulasan Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra – Macam Lain Tapi Sama, Macam Sama Tapi Lain

Ciri-ciri Flex Mode ini mungkin dilihat sebagai sebuah gimik, tetapi ia sekurang-kurangnya memperlihatkan bagaimana Samsung mahu memaksimakan jumlah fungsi yang boleh diperkenalkan melalui peranti sebegini. Bagi saya, ia adalah percubaan yang baik, walaupun tidak ramai orang akan memanfaatkan semua fungsi-fungsi ini.

Image from: Ulasan Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra – Macam Lain Tapi Sama, Macam Sama Tapi Lain

Beberapa aplikasi permua yang saya mainkan, seperti Honkai Star Rail, Zenless Zone Zero dan Wuthering Waves yang saya sering mainkan juga nampaknya boleh memanfaatkan skrin 8.0 inci Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra ini dengan sepenuhnya. Untuk Zenless Zone Zero dan Wuthering Waves, penggunaan kawalan dalam permainan mungkin sedikit kekok kerana kedudukan butang maya terbina, tetapi ia adalah sesuatu yang saya boleh baiki sendiri dengan menggunakan alat kawalan Bluetooth.

Image from: Ulasan Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra – Macam Lain Tapi Sama, Macam Sama Tapi Lain

Beralih kepada prestasi peranti, sebagai seorang gamer permua tegar, saya cukup gembira dengan prestasi cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Elite Gen5 ini. Permua-permua yang saya katakan tadi boleh dimainkan dengan gabungan tetapan grafik pertengahan dan tinggi pada kadar segar semula 50-60FPS tanpa begitu banyak masalah.

Image from: Ulasan Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra – Macam Lain Tapi Sama, Macam Sama Tapi Lain

Tiada masalah kualiti permua tersekat-sekat, malah, memainkan permua-permua ini, saya tidak menghadapi isu peranti menjadi terlalu panas sehingga ia tidak boleh digunakan. Suhu peranti ini akan menjadi suam, tetapi ia masih selesa dipegang walaupun dengan sesi permainan yang lama.

Image from: Ulasan Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra – Macam Lain Tapi Sama, Macam Sama Tapi Lain

Untuk pengguna seperti saya, Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra tampil dengan ciri pengecasan Pass Through terbina yang membolehkan pengecas untuk membekalkan kuasa terus kepada komponen SoC yang dinamakan Pause USB Power Delivery Charging sama ada melalui menu tetapan Battery ataupun dalam permainan dengan mengakses menu Game Booster sewaktu permua sedang dimainkan.

Penanda Aras

Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra tampil dengan cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 for Galaxy yang sangat berkuasa dan juga mempunyai penggunaan kuasa bateri yang pada pendapat saya cukup cekap. Walaupun begitu, jika bercakap mengenai skor sintetik pada perisian penanda aras, prestasi tersebut dilihat bergantung juga pada faktor-faktor seperti jumlah memori (RAM) pada peranti.

  • Samsung Galaxy Z Fold8 – Snapdragon 8 Elite Gen 5 for Galaxy
  • Samsung Galaxy Z Flip8 – Exynos 2600
  • Honor Magic V6 – Snapdragon 8 Elite Gen 5
  • Oppo Find N6 – Snapdragon 8 Elite Gen 5
  • Samsung Galaxy Z Fold7 – Snapdragon 8 Elite for Galaxy
  • Samsung Galaxy S26 Ultra – Snapdragon 8 Elite Gen 5 for Galaxy
  • Vivo X300 Pro – Dimensity 9500
  • Apple iPhone 17 Pro – A19 Pro

Antutu 3D

PerantiSkor
Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra2,630,271
Samsung Galaxy Z Fold82,184,626
Samsung Galaxy Z Flip82,463,934
Honor Magic V63,439,798
Oppo Find N63,080,123
Samsung Galaxy Z Fold71,747,012
Samsung Galaxy S26 Ultra3,136,285
Vivo X300 Pro3,507,869
Apple iPhone 17 Pro2,634,345
Image from: Ulasan Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra – Macam Lain Tapi Sama, Macam Sama Tapi Lain

Geekbench 6

PerantiSatu TerasMulti Teras
Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra32959125
Samsung Galaxy Z Fold835129871
Samsung Galaxy Z Flip819235091
Honor Magic V635299938
Oppo Find N634509393
Samsung Galaxy Z Fold727459060
Samsung Galaxy S26 Ultra365110819
Vivo X300 Pro350710469
Apple iPhone 17 Pro35608835
Image from: Ulasan Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra – Macam Lain Tapi Sama, Macam Sama Tapi Lain

3DMark Wildlife Extreme

CipSkor
Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra5996
Samsung Galaxy Z Fold85365
Samsung Galaxy Z Flip84099
Honor Magic V66481
Oppo Find N66020
Samsung Galaxy Z Fold75633
Samsung Galaxy S26 Ultra7375
Vivo X300 Pro7075
Apple iPhone 17 Pro5873
Image from: Ulasan Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra – Macam Lain Tapi Sama, Macam Sama Tapi Lain

Model Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra yang kami ulas hadir dengan sebanyak 12GB RAM LPDDR5X yang boleh ditambah sebanyak 12GB lagi melalui ciri RAM Plus yang diperkenalkan pada peranti-peranti Samsung sebelum ini. Penggunaan ciri ini juga tertakluk kepada jumlah storan terbina peranti, yang mana peranti kami hadir dengan 256GB storan UFS 4.0 terbina. Berikut adalah skor beberapa perisian penanda aras yang kami uji untuk menilai prestasi peranti ini.

Kamera

Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra tampil dengan binaan kamera yang hampir sama dengan penawaran Z Fold7 pada tahun lepas, dengan satu perbezaan ketara dengan kamera lebar yang kini menggunakan sensor 50MP.

Sistem kamera belakang Z Fold8 hadir dengan kemampuan zum optikal 3x dan zum digital sehingga 30x. Kualiti gambar yang dihasilkan kamera ini sangat baik dalam keadaan dimana pencahayaan adalah mencukupi. Untuk keadaan dimana pencahayaan tidak begitu cerah, kualitinya boleh diterima asalkan anda kekal dalam julat zum optikal.

Jika anda seorang yang gemar merakam video, terutamanya di konsert, kamera Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra ini tampil dengan satu ciri yang dinamakan Fan Cam yang membolehkan anda merakam video dengan beberapa orang didalamnya, dan dengan ciri ini, anda boleh memilih individu yang mahu difokuskan, dan peranti ini akan menyunting video tersebut untuk memberi fokus kepada individu tersebut sahaja. Ciri ini diperkenalkan pada semua peranti Samsung Galaxy Z Fold dan Z Flip yang terbaru.

Bateri

Seperti yang kami katakan pada awal ulasan ini, Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra kini hadir dengan bateri bersaiz 5000mAH dan pengecasan berwayar 45W yang merupakan satu penaiktarafan yang ketara apabila dibandingkan dengan peranti-peranti Samsung lain sebelum ini, menyamai kapasiti bateri Samsung Galaxy S26 Ultra dengan nilai yang sama, tetapi kelajuan pengecasan yang lebih perlahan (60W pada Samsung Galaxy S26 Ultra).

Image from: Ulasan Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra – Macam Lain Tapi Sama, Macam Sama Tapi Lain

Kelebihan penggunaan bateri silikon karbon terbaru keluaran Samsung ini pada pendapat saya dapat diperlihatkan melalui bagaimana dengan aplikasi-aplikasi yang memerlukan kuasa bateri yang banyak juga tidak akan menyebabkan peranti untuk menjadi terlalu panas.

Walaupun begitu, kapasiti dan kadar pengecasan pada peranti ini masih jauh ketinggalan apabila dibandingkan dengan model peranti boleh lipat yang lain di pasaran sekarang, dan peranti-peranti tersebut tidak memperlihatkan isu yang masih dirisaukan oleh pihak Samsung.

Saya faham bahawa Samsung masih risau mengenai isu bateri pada peranti mereka, tetapi jangkaan saya ialah peranti Z Fold8 Ultra ini akan sekurang-kurangnya hadir dengan kelajuan pengecasan sama seperti Samsung Galaxy S26 Ultra kerana mereka berkongsi SoC dan kapasiti dan jenis bateri yang sama.

Image from: Ulasan Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra – Macam Lain Tapi Sama, Macam Sama Tapi Lain

Pengalaman saya menggunakan peranti ini apabila bercakap tentang penggunaan bateri tidak begitu jauh beza dengan pengalaman Effi dengan Samsung Galaxy Z Fold7 pada tahun lepas, tetapi dari segi kelajuan pengecasan, saya dapat mengecas peranti ini pada kelajuan 45W dari kosong ke penuh dalam kira-kira 1 jam 15 minit.

Audio

Kualiti audio boleh dikatakan sebagai sebuah aspek yang sangat subjektif pada sebuah peranti pintar. Walaupun begitu, saya harus mengatakan bahawa kualiti audio merupakan aspek yang paling lemah untuk peranti Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra.

Kelantangan audio tidak menjadi isu kerana bunyi yang dihasilkan oleh pembesar suara terbina adalah kuat, akan tetapi kelantangan audio adalah satu-satunya titik positif untuk kualiti audio Samsung Galaxy Z Fold8 ini. Sayangnya butiran lain seperti pementasan bunyi, treble, bass dan lain-lain tidak dapat didengari dengan jelas.

Image from: Ulasan Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra – Macam Lain Tapi Sama, Macam Sama Tapi Lain

Saya sedar bahawa ini adalah kerana peranti ini hadir dengan rekaan rangka yang sangat nipis, dan ini menyebabkan pembesar suara yang dipasang pada peranti ini juga akan hadir dengan saiz yang kecil, tetapi ia adalah sesuatu yang saya rasa perlu saya nyatakan berdasarkan pengalaman saya menggunakan peranti ini.

Ada Apa Dalam Kotak

Image from: Ulasan Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra – Macam Lain Tapi Sama, Macam Sama Tapi Lain

Berikut ialah apa yang disertakan dalam kotak Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra:

  • 1x Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra
  • 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C
  • 1x Manual
  • 1x Pin SIM

Penutup

Menggunakan sebuah peranti boleh-lipat seperti Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra untuk kali pertama adalah sebuah pengalaman yang cukup menarik sekali. Saya mengambil masa beberapa hari untuk mempelajari apakah kebanyakan fungsi yang saya akan manfaatkan pada peranti ini, dan walaupun selepas dua minggu kemudian, saya dapati bahawa ada banyak lagi fungsi yang saya masih belum benar-benar gunakan.

Pada tanda harga permulaan RM8099 sehingga RM10,499, Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra adalah sebuah peranti pintar kelas premium yang bagi saya hadir dalam kelasnya tersendiri. Saya juga tidak boleh memberi kata putus sama ada ia berbaloi untuk anda menaiktaraf ke peranti ini sekiranya anda sudahpun memiliki sebuah Samsung Galaxy Z Fold7.

Adakah SoC baharu, kapasiti bateri yang sedikit lebih besar dan kapasiti pengecasan yang sedikit lebih pantas berbaloi untuk anda membelanjakan wang anda atau tukar masuk ke model terbaru? Itu adalah keputusan yang anda perlu buat sendiri.

Cuma bagi saya ia agak lucu bahawa pesaing terdekat peranti ini adalah Samsung Galaxy Z Fold8 sebelum peranti boleh lipat Apple dijangka akan tiba ke pasaran tidak lama lagi.

Pro:

  • Prestasi optimum hebat.
  • Engsel Flex Hinge Titanium kemas dan tegap.
  • Kualiti kamera baik untuk pelbagai situasi
  • Ciri-ciri Flex Mode dan multi-tasking yang sangat berguna
  • Sokongan kemas kini 7 versi Android dan 7 tahun tampalan sekuriti.
  • Ekosistem perisian, aksesori dan perkakasan Samsung masih tiada tandingannya.

Kontra:

  • Bonggol kamera yang besar.
  • Teknologi bateri masih ketinggalan berbanding pesaing.
  • Kualiti pembesar suara masih perlu diperbaiki.
Image from: Ulasan Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra – Macam Lain Tapi Sama, Macam Sama Tapi Lain
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved