Ulasan Samsung R95H Micro RGB 4K – TV Terang Lagi Bersuluh Terbaik

TechnologyDigital
30 Sep 2026 • 3:43 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Saban tahun muncul teknologi baharu dengan akronim yang sukar difahami konsumer. Tahun ini muncul pula teknologi baharu micro RGB yang menjanjikan keterangan mutlak tanpa isu screen burn seperti pada panel OLED. Setelah beberapa tahun menguji TV di Amanz, saya rasakan Samsung R95H ialah model yang paling menakjubkan pernah memasuki makmal ujian. Ia secara terang lagi bersuluh (secara harfiah) menawarkan penambahbaikan yang boleh dilihat jelas dengan keempat-empat mata di kepala saya.

SPESIFIKASI

Samsung R95H Micro RGB 4K
Saiz Skrin75-inci Micro RGB
Resolusi3840 x 2160 pixel
165Hz VRR
100Hz Natif
AMD FreeSync Premium
PanelMicro RGB
PemprosesMicro RGB AI Engine Pro
GPU?
RAM?GB RAM
Storan25GB
Sistem OperasiTizen Smart TV OS
HDRYa / HDR10+
Keterangan Maksimum2500 nits (puncak)
Audio4.2.2, 70W
Dolby Atmos
Eclipsa
Q-Symphony
I/O4x HDMI 2.1
2x USB-A 2.0
RF
LAN
Optical Audio
DTTVYa/DVB-T2
Pembantu MayaBixby
InternetLAN/ WiFi 6E
BluetoothBluetooth 5.3
ChromecastYa
AirPlay 2Ya
Saiz1658.8 x 1019.2 x 349.1 mm dengan tapak
Berat31.8 kg (dengan tapak)
Harga JualanRM 21,999

REKAAN

Samsung R95H yang diulas mempunyai skrin micro RGB sebesar 75″ dengan terdapat juga model dengan 85″ dengan rekaan Infinity Air yang hadir dengan bezel yang nipis. Apabila dipadakan dengan tanpa yang agak kecil, ia kelihatan terapung di atas permukaan meja.

Tahun ini semua TV Samsung hanya menyokong resolusi 4K UHD 3840 x 2160 pixel sahaja dengan tiada lagi model 8K. Tiada lagi TV 8K baru dilancarkan tahun ini dan saya rasakan ia adalah petanda jelas trend ini sudah terkubur seperti panel 3D lebih sedekad lalu.

Image from: Ulasan Samsung R95H Micro RGB 4K – TV Terang Lagi Bersuluh Terbaik

Permukaan skrin mempunyai lapisan anti pantulan yang digunakan pada siri Neo QLED 8K QN990F tahun lalu. Ia mengurangkan silau pada waktu siang dan pantulan pengguna seakan “Black Mirror” yang agak menggerunkan apabila TV dimatikan. Hasilnya kandungan TV masih nampak jelas walaupun dalam bilik yang terang dan ketika menonton pada waktu siang terang benderang.

Panel Micro RGB masih memerlukan lampu di belakang maka ia lebih tebal jika dibandingkan dengan TV OLED yang ditawarkan oleh Samsung sebelum ini. Tetapi setiap lampu terdiri daripada lampu LED bersaiz sekecil 100 micron membolehkan ia menawarkan ketajaman imej lebih tinggi berbanding Mini LED sebelum ini. Kawalan warna pada tahap pixel tidak lagi memerlukan lapisan titik kuantum (QD) sekaligus menghasilkan warna lebih tepat, dan terang serta warna hitam legak menghampiri OLED.

Image from: Ulasan Samsung R95H Micro RGB 4K – TV Terang Lagi Bersuluh Terbaik

Sungguhpun begitu, R95H adalah lebih tebal berbanding QN990F kerana kotak Wireless One Connect tidak lagi ditawarkan dalam pakej lengkap. Kotak yang membolehkan sambungan input secara nirwayar sehingga 10 meter ini masih disokong cuma perlu diberi berasingan. Pada R95H semua sambungan input perlu dilakukan pada bahagian belakang TV. Bagi peminat TV yang tidak berselirat, ini adalah sedikit mengecewakan.

Image from: Ulasan Samsung R95H Micro RGB 4K – TV Terang Lagi Bersuluh Terbaik

R95H hadir dengan dekoder DVB-T2 secara terbina. Pilihan I/O pula ialah 4X HDMI 2.1, 2X USB-A 2.0, 1X RJ45 LAN dan 1X sambungan antena RF. Kesemua port HDMI boleh menyokong 4K 165 Hz yang amat menggembirakan mereka yang mempunyai lebih daripada satu konsol permainan video di rumah. Tidak lagi perlu meneka port HDMI mana boleh disambungkan ke PC, PS5, Xbox Series X dan Steam Machine untuk menikmati kadar bingkai tinggi.

Tapak TV adalah dari Infinity Air berbentuk huruf “L” dengan bahagian pelapik yang nipis. Ini adalah rekaan tapak yang praktikal kerana pelbagai aksesori seperti soundbar, konsol, dekoder TV satelit dan Apple TV boleh diletakkan di bawah TV tanpa sebarang kekangan ruang. Rekaan ini sudah digunakan sejak tiga generasi lalu dan tidak perlu mencipta semula roda yang sudah sedia praktikal.c

Image from: Ulasan Samsung R95H Micro RGB 4K – TV Terang Lagi Bersuluh Terbaik

Jika anda lebih gemar menggantung TV, terdapat cagak VESA 400×400 mmn pada bahagian belakang. R95H juga serasi digunakan bersama cagak Slim Fit dan Full Motion Slim. Sokongan Internet pula adalah menerusi LAN atau WiFi 6E manakala tambatan aksesori pula menggunakan Bluetooth 5.3.

PENGGUNAAN DAN KUALITI VISUAL

Panel R95H ialah yang paling terang pernah sata ulas di makmal Amanz. Semasa kali pertama TV dihidupkan, logo putih Samsung yang terpapar pada skrin membakar retina mata. Walaupun terang saya sedari ia tidak mempunyai blooming yang ketara seperti pada TV LED. Samsung mengatakan keterangan punca R95H adalah sehingga 2500 nits yang adalah lebih terang berbanding sekitar 1700 nits pada QN990F. Perbezaan keterangan adalah sangat ketara sehingga mata menjadi sakit seakan saya seorang Drakula yang terkena sinar matahari.

Jangan risau retina anda terbakar apabila menggunakan R95H. Sensor pada R95H akan melihat cahaya persekitaran sebelum mengubah keterangan skrin secara automatik seperti skrin telefon pintar. Terang melampau yang saya katakan di atas hanya berlaku semasa kali pertama TV dihidupkan.

Image from: Ulasan Samsung R95H Micro RGB 4K – TV Terang Lagi Bersuluh Terbaik

Keterangan tinggi R95H adalah perlu bagi memaparkan kandungan HDR seperti yang sepatutnya. Tujuh tahun lalu episod The Long Night siri Game of Thrones dikritik kerana terlalu gelap sehingga aksi pertempuran tidak dapat dilihat. Saya masih ingat kritikan yang dilontarkan kepada HBO selepas mereka mengatakan episod telah menjalani proses HDR yang sepatunya. Hanya selepas menonton episod ini pada R95H saya dapat melihat apa yang cuba disampaikan pengarah.

Mod HDR disokong pada aplikasi Netflix, HBO Max, Disney+, Prime Video, YouTube dan Apple TV dalam ujian yang saya lakukan. Pada ketika ini kesemua platform penstriman utama menyokong paparan HDR10+ pada panel R95H. Sekali lagi tahun ini Samsung tidak menyertakan sokongan Dolby Vision kerana ia memerlukan pelesenan tambahan.

Image from: Ulasan Samsung R95H Micro RGB 4K – TV Terang Lagi Bersuluh Terbaik

Samsung turut menyertakan ciri Filmmaker Mode bagi mereka yang ingin menonton kandungan pada tetapan asal tanpa diubah oleh tetapan tambahan TV. Kerana kita kini di era kecerdasan buatan (AI), Samsung menyertakan AI Mode yang secara automatik mengubah tetapan dipaparkan pada skrin mengikut genre. Saya sedari kandungan akan nampak lebih terang dan warna lebih menyerlah tetapi ini tidak sesuai untuk semua filem yang saya tonton.

Satu ciri AI yang saya rasakan berkesan ialah AI Soccer Mode. Kandungan bola sepak nampak lebih hidup seakan aksi berlaku di depan mata apabila mod ini diaktifkan. Malang sekali saya mengulas R95H selepas Piala Dunia kerana pengalaman menonton pastinya berbeza jika TV ini digunakan.

Ciri lain yang diberikan ialah Auto HDR Remastering Pro yang mengubah kandungan SDR menjadi HDR secara automatik. Begitu juga sokongan beberapa ciri ketercapaian seperti menghasilkan sari kata secara autimatik apabila kandungan ditonton tidak menyertakannya. Pada waktu yang sama ciri menaikkan resolusi kandung video turut disertakan sebagai standard seperti TV kelas mercu Samsung yang terdahulu.

Image from: Ulasan Samsung R95H Micro RGB 4K – TV Terang Lagi Bersuluh Terbaik

Satu perkara yang saya perlu sentuh ialah untuk menikmati kandungan pada kualiti tertinggi, pastikan anda mempunyai internet pantas di rumah. Di pejabat Amanz berlaku sedikit gangguan internet semasa TV diuji dan video pada kadar bit rendah menyebabkan visual tersekat-sekat, warna kurang tepat, menunjukkan kesan ghosting dan pecah-pecah.

Panel 75″ 4K juga memerlukan kandungan ditonton sekitar 5 kaki untuk melihat imej yang tajam. Ini berbeza dengan panel 8K yang jauh lebih tajam pada model tahun lalu. Tetapi saya yakin jika anda mampu membeli R95H, anda pastinya mampu melanggan pelan internet pantas dan mempunyai ruang tamu yang luas di rumah.

GAMING

Dengan sokongan VRR 165Hz pada empat input HDMI, AMD FreeSync Premium Pro dan sokongan mod ultra-lebar, R95H ialah TV yang sangatlah sesuai untuk golongan gamer. Visual nampak tajam dan terang membuatkan seperti saya berada dalam dunia yang sedang dimainkan.

Image from: Ulasan Samsung R95H Micro RGB 4K – TV Terang Lagi Bersuluh Terbaik
Game Bar

Menerusi ciri Game Bar (diakses dengan menekan butang Play pada alat kawalan selama beberapa saat) untuk mengubah nisbah skrin ultra lebar (hanya untuk PC sahaja), mod untuk permainan berbeza (FPS, MMO, perlumbaan dll) diakses, VRR, Game Motion Plus dan mengurangkan lengah input boleh dikawal secara setempat. Titik menembak (crosshair) juga boleh dipaparkan oleh R95H untuk memudahkan menembak dalam permainan FPS. Tiada ciri baharu diperkenalkan pada Game Bar tahun ini berbanding model tahun lalu.

KUALITI AUDIO

Speaker dengan saluran 4.2.2 serta output 70W menyokong Dolby Atmos, DTS TruSurround dan Eclipsa Audio. Eclipsa ialah format yang dibangunkan Samsung dan Google sebagai alternatif kepada Dolby Atmos. Pada ketika ini hanya YouTube menyokong Eclipsa. Kualiti audio yang dikeluarkan adalah amat baik bagi sistem speaker terbina.

Image from: Ulasan Samsung R95H Micro RGB 4K – TV Terang Lagi Bersuluh Terbaik

Audio terasa hidup dengan suara dapat didengari dengan jelas lebih-lebih lagi jika mod memberikan tumpuan kepada dialog diaktifkan. Seperti pada telefon Galaxy, terdapat sistem AI yang boleh memgurangkan bunyi bising persekitaran untuk menguatkan audio perbualan dan dialog.

TV menyokong sistem audio Q-Symphony yang membolehkan sambungan dengan soundbar keluaran Samsung. Apabila diaktifkan, speaker TV dan soundbar beroperasi serentak bagi menawarkan audio yang lebih menyeluruh.

TIZEN SMART TV OS

Tizen Smart TV OS ialah sistem operasi paling dominan kerana pegangan Samsung yang cukup besar dalam pasaran TV pintar dunia. Oleh sebab itu pelbagai aplikasi penting boleh dimuat turun menerusi stor aplikasi. Secara lalai YouTube, Netflix, Disney+ Hotstar dan Prime Video telahpun terpasang. Tizen ialah sistem operasi dengan waktu but paling pantas pernah saya gunakan pada TV pintar. Jauh berbeza dengan Google TV yang mengambil masa hampir seminit.

Image from: Ulasan Samsung R95H Micro RGB 4K – TV Terang Lagi Bersuluh Terbaik

Aplikasi lain seperti Apple TV, Astro, RTMklik, UnifiTV, HBO Max,Nebula, iQiyi, Viu, Twitch, TikTok, WeTV, Sooka, Spotify, Apple Music dan banyak lagi boleh dimuat turun. Dengan storan sebesar 25GB, banyak aplikasi boleh dipasang tanpa risau kekurangan storan. Semua aplikasi dilancarkan dengan pantas tanpa waktu menunggu yang lama.

Image from: Ulasan Samsung R95H Micro RGB 4K – TV Terang Lagi Bersuluh Terbaik

R95H bukan sekadar sebuah TV pintar tetapi hab untuk pelbagai perkhidmatan dan peranti berhubung di rumah. Menerusi integrasi SmartThings, dan Matter, pelbagai ekosistem rumah pintar boleh diakses terus daripada TV. Notifikasi kain sudah habis dibasuh menggunakan mesin basuh dan melihat kamera pintu rumah semuanya boleh diakses terus daripada TV.

Bagi pengguna peranti Samsung pula, ciri Wireless DeX, memaparkan skrin peranti pada TV dan mengakses gambar dalam peranti di TV turut diberikan secara terbina. Malahan anda boleh memaparkan skrin telefon dan aplikasi TV secara serentak dengan ciri Multi View. Akhir sekali terdapat juga sokongan Google Photos membolehkan video yang disimpan di awanan distrim terus ke kaca TV,.

Image from: Ulasan Samsung R95H Micro RGB 4K – TV Terang Lagi Bersuluh Terbaik

Terdapat juga Art Mode yang memaparkan lukisan terkemuka sebagai imej latar belakang. Mod ini jelas dipinjam daripada siri The Frame. Tidak terhenti di sini, jika anda mahukan imej yang lebih rawak, ciri Samsung Vision AI boleh menjana imej latar belakang dengan memilih beberapa prom yang tersedia. Kepada pengguna ekosistem Apple pula, AirPlay 2 juga boleh digunakan untuk menyiarkan kandungan MacBook, iPhone dan iPad terus pada TV.

Samsung memberikan sokongan kemas kini perisian Tizen OS selama 7 tahun setanding dengan yang diberikan pada telefon pintar mereka. Dengan sokongan selama 7 tahun, bukan sahaja sekuriti akan terjamin tetapi tidak akan timbul isu DRM dan perisian tidak disokong selepas beberapa tahun. Apabila DRM luput, ia akan menyebabkan platform penstriman hanya membenarkan video pada resolusi rendah HD sahaja.

Image from: Ulasan Samsung R95H Micro RGB 4K – TV Terang Lagi Bersuluh Terbaik

ALAT KAWALAN JAUH

Alat kawalan jauh adalah dari jenis Smart Remote yang telah digunakan sejak tiga tahun kebelakangan ini. Ia bukan sahaja boleh mengawal TV tetapi pelbagai aksesori Samsung yang disambungkan kepada TV. Terdapat empat pintasan untuk Netflix, YouTube, Prime Video dan pelayar web. Ikon pada alat kawalan juga mudah difahami walaupun tanpa membaca manual.

Perubahan yang dilakukan ialah bonggol bateri lebih besar pada bahagian bawah. Seperti semua Smart Remote ia boleh dicas menggunakan USB-C atau kuasa solar sepenuhnya.

Image from: Ulasan Samsung R95H Micro RGB 4K – TV Terang Lagi Bersuluh Terbaik

KESIMPULAN

Samsung R95H ialah yang memang mantap dengan ia memenuhi keperluan sebuah TV pintar di rumah. Visual paling terang dengan paparan warna tepat. Sistem operasi yang pantas dengan penawaran semua aplikasi popular. Ciri tambahan menjadikannya hab pintar di rumah dan turut boleh digunakan bersama peranti Galaxy yang dimiliki.

Image from: Ulasan Samsung R95H Micro RGB 4K – TV Terang Lagi Bersuluh Terbaik

Kekurangannya ialah tiada masih Dolby Vision dan aneh sekali kotak One Connect Wireless yang ditawarkan pada TV mercu Samsung tahun lalu perlu dibeli berasingan.. Harga jualan bermula RM 21,999 untuk model 75″ dan 29,999 untuk model 85″. Memang harganya tinggi tetapi untuk menikmati kualiti visual terbaik Samsung tahun ini, anda perlu berbelanja lebih.

Pro

  • Skrin yang cukup besar untuk memberikan pengalaman seperti wujud wayang di rumah.
  • Kualiti visual yang amat baik keterangan lebih 2000 nits.
  • Sokongan HDR10+.
  • Sokongan audio Dolby Atmos.
  • Sokongan ekosistem Samsung menerusi Tizen Smart TV OS.
  • Pilihan I/O yang memuaskan seperti 4x HDMI 2.1.

Kontra

  • Tiada sokongan Dolby Vision.
  • One Connect Box yang menjadikan sambungkan kabel lebih kemas dijual berasingan.
Image from: Ulasan Samsung R95H Micro RGB 4K – TV Terang Lagi Bersuluh Terbaik
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved