Sekolah hijau 2050, idea solar dan kincir angin muncul johan

LocalEnvironment
30 Sep 2026 • 7:15 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sekolah hijau 2050, idea solar dan kincir angin muncul johan

Sekolah pada tahun 2050 yang dilengkapi kincir angin dan panel solar, hasil idea kreatif tujuh murid sekolah rendah di Negeri Sembilan berjaya mencuri tumpuan juri. Menerusi projek Green Future School, sekolah itu muncul johan NEXTGEN2050: Kem Digital STEM Negeri Sembilan 2026 di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Rembau baru-baru ini.

Wakil kumpulan itu, Muhamad Syazwan Najwan Mohd. Adri, 12, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rusa, Port Dickson berkata, projek tersebut direka bagi mewujudkan sekolah masa depan yang lebih selesa untuk murid, selain mengurangkan penggunaan tenaga.

“Kami buat kincir angin dan panel solar supaya penggunaan tenaga dapat dikurangkan. Kami juga menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk mendapatkan idea mengenai perkara yang sesuai dibuat untuk sekolah pada masa depan.

“Bagi saya, AI bagus tetapi tidak boleh disalahgunakan. AI boleh digunakan untuk belajar dan mendapatkan idea,” katanya ketika ditemui K-

Remaja pada majlis penutupan program itu yang disempurnakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim.

Sementara itu, fasilitator kumpulan berkenaan, pelajar Diploma Perbankan semester empat UiTM Kampus Rembau, Muhd Hazim Izzat, 20, berkata, projek berkenaan membuktikan murid sekolah rendah mampu menghasilkan idea di luar kotak pemikiran apabila diberi pendedahan dan bimbingan sesuai.

Image from: Sekolah hijau 2050, idea solar dan kincir angin muncul johan
ISMAIL (empat dari kanan) bergambar bersama para peserta program NEXTGEN2050: Kem Digital STEM Negeri Sembilan 2026 di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Rembau baru-baru ini.

Katanya, kumpulan mereka membabitkan tujuh murid daripada beberapa sekolah, antaranya SK Astana Raja di Rembau, SK Dr. Sulaiman (Tampin), SK Senawang 3 (Seremban).

“Saya bangga dan tidak menyangka kami boleh menang kerana terpaksa bersaing dengan 74 pasukan. Program ini membantu mencungkil kecerdikan pelajar dan memberi ruang kepada mereka mencipta sesuatu di luar kotak pemikiran.

“Selain Green Future School, kami turut menghasilkan robot pemberi makanan dan robot pembersih,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata, teknologi seperti AI, robotik dan pengaturcaraan kini sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan dan murid perlu dididik bukan sekadar untuk menggunakannya, malah berani berfikir serta mencari penyelesaian kepada masalah.

Beliau berkata, kerajaan negeri komited memperkukuh agenda transformasi digital termasuk memperkasakan penggunaan AI selaras dengan Pelan Ekonomi Digital Negeri Sembilan 2027.

“Jangan takut untuk mencuba dan jangan takut melakukan kesilapan. Setiap kejayaan bermula dengan keberanian
untuk belajar.

“Guna teknologi dengan bijak, jadikan ia sebagai alat untuk menimba ilmu, membantu orang lain dan membina masa depan lebih baik,” katanya.

Program selama tiga hari dua malam itu menghimpunkan 504 murid tahun empat hingga enam dari seluruh Negeri Sembilan dengan bimbingan 150 fasilitator daripada UiTM, Pejabat Pendidikan Daerah, Kolej Komuniti dan jawatankuasa pelaksana.

The post Sekolah hijau 2050, idea solar dan kincir angin muncul johan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved