SteelSeries adalah satu lagi jenama produk gaming yang popular. Ia bersaing sengit dengan Razer kerana menawarkan produk yang lebih kurang sama pada harga yang lebih mampu milik. Satu produk yang setiap pengeluar kerap berlumba adalah set fon kepala. Selepas Effi mengulas Arctis Nova 7 Dragon Edition yang paling selesa, kini giliran saya menguji Arctis Nova 5 Wireless iaitu versi kelas pertengahan set fon kepala gaming dari jenama popular ini.

SPESIFIKASI
Jenis Set Fon Kepala Tertutup Pemandu Audio 40mm
Magnet Neodymium
Audio Spatial 360Mikrofon ClearCast Gen 2.X Ciri Pintar X-Ray Hearing
Quick-Switch WirelessSambungan Bluetooth 5.3 Bateri 60 jam berterusan
8 jam sehari untuk seminggu
Cas 15 minit, guna 6 jamKawalan Arctis Nova 5 Companion App
Android, iOS
Sonar
Windows sahajaHarga RM599
REKAAN DAN PENGGUNAAN
Secara keseluruhan rekaan Arctis Nova 5 Wireless ini masih mirip dengan Arctis Nova 7 seperti fabrik tambahan untuk cekak kepala, binaan plastik yang menjadikannya ringan tetapi masih ada sedikit nilai premium, serta setiap cawan telinga ada butang dan roda kawalan fizikal berbeza untuk kawalan audio. Nova 5 Wireless direka untuk tidak boleh dilipat, jadi ia lebih sesuai bermain di rumah. Ciri paling saya hargai adalah dwi-sambungan dongel dan Bluetooth Quick-Switch Wireless yang mudah tukar peranti dengan satu butang.

Ya, fon kepala ini tiada masalah untuk disambungkan pada mana-mana konsol tidak kira PlayStation 5 ke Xbox Series X ke Nintendo Switch ataupun ROG Ally. Lebih 100 preset audio disertakan agar Arctis ova 5 Wireless ini sesuai dimainkan dengan pelbagai permainan video. Ciri X-Ray Hearing, Immersive Sound, dan audio spatial 360 turut disokong untuk pengalaman pendengaran yang lebih imersif.

Sistem mikrofon adalah jenis yang boleh ditarik keluar apabila ingin digunakan serta teknologi ClearCast 2.X dengan sistem AI tersendiri untuk suara yang lebih jelas dan lantang. Aplikasi khas Arctis Nova 5 Companion App turut disediakan untuk mudah mengawal dan melakukan pelbagai tetapan sebelum leka bermain.

Memakai fon kepala ini untuk jangka masa panjang juga tidak menjadi masalah, kerana rekaan cekak kepala yang menarik serta cawan telinga yang selesa. Cuma, saya lebih menggemari cekak kepala pada Nova 7 Dragon Edition yang sedikit lebih tebal. Saya juga menggemari fon kepala ini kerana tidak membuatkan saya berpeluh selepas berjam bermain permainan video.
KUALITI AUDIO
Secara lalai SteelSeries Arctis Nova 5 Wireless mengeluarkan audio yang ringan dan tenang. Ia tidak rumit dengan pelbagai butiran, ia memfokuskan kepada vokal dengan fokus kepada kejelasan dan ingin memberi pengguna. Ini tidak menjadi masalah kerana aplikasi dan fon kepala ini menyokong pelbagai preset audio yang pasti akan memberi pengalaman menarik.

Ciri X-Ray Hearing pada fon kepala ini benar-benar unik kerana ia boleh meningkatkan kekuatan bunyi tapak kaki atau pergerakan yang mencurigakan dalam banyak permainan video. Ia juga 360 darjah kerana pada waktu malam saya bermain permainan seram, saya kerap toleh ke belakang mencari potensi gangguan yang menyeramkan. Ini bermakna, vokal pada fon kepala ini bagus dan terang yang tidak mengecewakan.

Bass pada Arctis Nova 5 Wireless ini sedikit tenggelam menyebabkan banyak bunyi letupan dan tembakan seakan mercun murahan yang sudah masuk angin meletup. Ia hampir tiada membuatkan saya ingin ambil sedikit bass yang berlebihan pada Sony ULT Wear dan pindahkan ke fon kepala ini jika boleh. Sementara bahagian nada tinggi tidak mempunyai treble yang baik menyebabkan ia tidak mencapai tahap merdu dan terus mati seakan ada orang yang mematikan radio ketika muzik sedang dimainkan.

Ada baiknya kualiti audio sebegini, kerana ia tidak membuatkan saya penat dan bosan bermain permainan video. Saya boleh bermain tanpa henti sehingga ROG Ally saya kehabisan bateri atau sehingga jari saya penat memicit butang pada DualSense untuk PlayStation 5. Menjadi masalah adalah fon kepala ini tidak sesuai untuk digunakan mendengar muzik atau menonton filem, kecuali menemui preset permainan video yang bersesuaian itu pun pasti tidak akan memuaskan.
Mana ANC?
Jangan harapkan sokongan pembatalan hingar aktif atau mod tembus bunyi (Ambien) dengan fon kepala ini kerana SteelSeries tidak menyertakannya dengan alasan ia adalah produk kelas pertengahan. Jadi untuk mengelakkan anda leka dan masih mempunyai kesedaran apa yang berlaku di sekeliling, ciri Sidetone seakan pada Jabra diperkenalkan. Ciri ini mengaktifkan mikrofon sentiasa untuk pengguna dengar suara sendiri serta suara di sekeliling, ia boleh dimatikan dari dalam aplikasi atau butang bisu.

KAWALAN DAN APLIKASI
Setiap butang pada cawan telinga Arctis Nova 5 Wireless sedap ditekan kecuali roda aras suara. Apa yang saya tidak suka adalah kerana ia “murah” tiada butiran baik diberikan pada setiap kaedah kawalan. Ini membuatkan saya keliru butang mana ditekan dan roda aras suara ini sepatutnya mempunyai kesan taktil yang memudahkan pengguna.

Syukur ada aplikasi untuk komputer dan peranti mudah alih disediakan. Aplikasi ini adalah seperti kebanyakan aplikasi mengawal fon kepala gaming. Ia mudah digunakan dengan antaramuka yang sangat mesra pengguna. Saya biasanya melakukan tetapan awal sebelum bermain permainan video sepertimana saya menyemak enjin kereta sebelum memandu jauh.

BATERI
SteelSeries menjanjikan bateri yang tahan paling lama dengan fon kepala terkini mereka. Menurut spesifikasi rasmi, fon kepala ini boleh bertahan sehingga 60 jam atau 8 jam sehari untuk seminggu. Ia juga menggunakan USB-C untuk pengecasan pantas 15 minit cas bersamaan 6 jam penggunaan.
Sepanjang penggunaan saya, baik menggunakan dongel pada ROG Ally, laptop Windows dan PlayStation 5 untuk permainan video sementara menggunakan Bluetooth pada telefon pintar – fon kepala ini tiada masalah untuk digunakan sepanjang hari menikmati pelbagai kandungan.

APA ADA DALAM KOTAK?
Anda akan hargai apa SteelSeries beri dengan setiap pembelian Arctis Nova 5 Wireless iaitu;
- 1x SteelSeries Arctis Nova 5 Wireless.
- 1x Dongel 2.4GHz USB-C
- 1x Kabel USB-A ke USB-C.
- 1x Kabel sambungan USB-A ke USB-C.
- 1x Set buku panduan dan keselamatan.

KESIMPULAN
Untuk harga RM599, SteelSeries menawarkan pakej yang lengkap. Ciri pintar terbina pada aplikasi telefon mudah alih dan Sonar pada Windows mampu memberi pengalaman bermain permainan yang mengasyikkan.

Kemudian mikrofon juga sangat jelas yang sesuai untuk berbual kemudian audio juga cukup baik untuk mendengar pergerakan dalam permainan. Jika anda tidak hiraukan bass dan hanya ingin satu fon kepala mampu milik gaming yang betul-betul berguna dan memberi banyak manfaat, Arctis Nova 5 Wireless adalah fon kepala untuk anda.
PRO/KELEBIHAN
- Rekaan yang nampak cantik dan premium.
- Selesa dipakai untuk jangka masa yang panjang.
- Audio yang baik untuk bermain permainan dengan imersif.
- Bateri yang tahan sangat lama.
- Fungsi dan ciri untuk gaming yang sangat bermanfaat.
- Sokongan dwi-sambungan Bluetooth dan Dongle yang mudah tukar antara peranti.
KONTRA/KEKURANGAN
- Audio lebih sesuai untuk gaming bukan hiburan lain.
- Kualiti binaan mencurigakan untuk penggunaan lama.
- Butang dan roda kawalan yang mengelirukan.
- Cekak kepala yang boleh menjadi sedikit lebih tebal.
- Tiada bicu audio 3.5mm.



