Kebelakangan ini kita dapat melihat bahawa banyak jenama audio telah memperkenalkan penawaran fon telinga TWS mereka sendiri, dan sejumlah daripadanya ditawarkan pada harga kelas premium (RM1000 keatas).

Technics, jenama audio dibawah syarikat teknologi Jepun Panasonic telah kembali ke pasaran audio juga dengan sejumlah penawaran baru, yang termasuklah beberapa model dalam kategori premium. Salah satu daripadanya, Technics EAH-AZ80 telah dihantar kepada kami untuk diuji, dan ini adalah pendapat kami mengenainya.
Spesifikasi
Technics EAH-AZ80 Jenis TWS dalam telinga Pemandu 10 mm Mikrofon 8 mikrofon Bateri Sehingga 7 jam / 24 jam dengan pod dan ANC Port pengecas USB-C Pengecasan nirwayar Tiada CODEC SBC, AAC, LDAC Sistem operasi disokong Semua Sokongan pembantu maya Ya/Semua Pad sesentuh Ya 2X Kemampuan kalis air IPX4 Storan Dalaman Tiada Audio Offline Tiada Pengimbas nadi Tiada Harga Jualan RM 1599
Rekaan
Technics EAH-AZ80 hadir dengan gabungan rekaan minimalis dan industrialis. Rangka fon telinga yang berbentuk separa kuboid dan silinder ini memastikan aksesori ini sentiasa berada dalam keadaan berdiri tegak dan juga cukup padat untuk membolehkannya dimuatkan ke dalam poket ataupun apa-apa ruang penyimpanan kecil tanpa sebarang masalah.

Palam pengecasan USB Type-C terletak di bahagian belakang fon telinga ini, dan satu ciri tambahan ialah fon telinga ini juga menyokong pengecasan nirwayar Qi, jika anda memiliki sebuah aksesori pengecasan nirwayar tersebut.
Pada pendapat saya, rekaan fon telinga ini walaupun adalah baik, sedikit membosankan, khususnya untuk sebuah fon telinga dengan tanda harga yang sangat tinggi. jika rekaannya sedikit lebih padat, dan mempunyai kemasan yang lebih premium, bagi saya ia boleh bertanding dengan penawaran-penawaran dari jenama seperti Sony dan Bowers & Wilkins.

Fon telinga EAH-AZ80 ini juga dilihat cukup padat sekali, tetapi dimuatkan dengan pelbagai teknologi audio seperti pemandu audio dengan struktur aloi aluminium bersaiz 10mm, ruang akustik yang memastikan kualiti audio dan bass tidak terjejas dengan isu herotan.
Technics EAH-AZ80 ini juga hadir dengan lapan buah mikrofon terbina, yang digunakan bukan sahaja untuk tujuan komunikasi yang lebih jelas, tetapi juga untuk pembatalan bunyi hingar aktif dan fungsi Ambient Sound Control yang membolehkan pengguna untuk mendengar bunyi persekitaran dengan jelas walaupun anda memakai fon telinga ini.
Sambungan dan Kawalan
Fon telinga Technics EAH-AZ80 ini hadir dengan sokongan untuk sambungan Bluetooth 5.3, dan di antara kelebihan penggunaan teknologi sambungan nirwayar ini termasuklah penggunaan kuasa bateri yang lebih rendah, kadar masa pendam yang lebih rendah dan jarak sambungan dengan peranti yang lebih jauh.

Aplikasi Technics Audio Connect digunakan untuk menyambungkan fon telinga ini kepada peranti anda. Selain daripada itu, ia juga boleh digunakan untuk melihat jangka hayat bateri fon telinga ini, dan juga mengemaskini perisian tegar yang kadang-kala diperlukan untuk memperbaiki mutu audio ataupun untuk menambah ciri-ciri tambahan pada fon telinga ini.
Dari segi tetapan, aplikasi ini juga membolehkan pengguna untuk mengubahsuai tetapan untuk ciri ANC, Ambient Sound Control, profil audio yang mahu digunakan, dan juga untuk mengubahsuai tetapan pad sesentuh pada unit kiri dan kanan fon telinga EAH-AZ80 ini.






Satu ciri yang sangat menarik pada fon telinga ini ialah kebolehannya untuk disambungkan kepada tiga peranti sekaligus. Dengan ciri ini, pertukaran sambungan audio boleh dilakukan secara automatik tanpa memerlukan input dari pengguna. Setelah disambungkan, pengguna hanya perlu memainkan media audio pada peranti-peranti yang disambungkan dan ia akan secara automatik bertukar kepada peranti yang aktif.






Terdapat banyak tetapan yang terkandung di dalam fon telinga ini, dan ia mungkin mengambil sedikit masa untuk anda membiasakan diri dengannya, tetapi jika anda meluangkan sedikit masa untuk mempelajari mengenainya, anda akan sedar bahawa fon telinga ini adalah di antara fon telinga dengan ciri-ciri terbanyak, dan mudah ditetapkan di pasaran.
Kualiti Audio
Technics EAH-AZ80 ialah sebuah fon telinga kelas premium, dan selain daripada fungsi-fungsi yang ditawarkan, satu lagi penanda ialah sokongan untuk teknologi audio LDAC, yang membolehkan peranti-peranti pintar untuk menstrim audio dengan kadar bit yang lebih tinggi.

Kekurangan teknologi LDAC ialah pada sokongannya. Tidak banyak perkhidmatan penstriman audio yang menyokongnya, dan juga peranti-peranti yang memanfaatkan teknologi ini. Walaupun begitu, fon telinga ini imasih lagi menyokong dua jenis teknologi audio yang lebih meluas digunakan, iaitu AAC dan SBC.
Keluar dari kotak, fon telinga EAH-AZ80 ini hadir dengan tetapan audio DIRECT, yang memperlihatkan graf audio semuanya pada keadaan neutral. Tetapan-tetapan lain yang hadir termasuklah mod yang memfokuskan kepada tetapan bass yang lebih tinggi, dan juga vokal yang lebih menyerlah.
Bass
Pada tetapan asal, tahap bass untuk fon telinga EAH-AZ80 ini boleh saya katakan pada tahap yang neutral sahaja. Ini bukanlah sesuatu yang negatif kerana kelantangan bass boleh diubahsuai melalui aplikasi Technics Audio Connect.

Saranan saya untuk penggemar bass ialah untuk menukar tetapan audio fon telinga ini kepada mod bass, dan kemudiannya ubahsuai kelantangan bass fon telinga ini mengikut kesesuaian anda.
Vokal/Mid
Kualiti vokal dan nota tengah fon telinga ini boleh saya katakan antara yang paling jelas, dan tidak perlu begitu banyak ubahsuai dari segi tetapan. Secara kebiasaannya saya akan menggunakan tetapan audio DIRECT kerana kebanyakan lagu yang saya dengari tidak memerlukan kelantangan bass dan juga nota tinggi.
Dari segi penawaran peranti, berbeza daripada apa yang diumumkan oleh pihak kerajaan, Yes 5G menawarkan peranti-peranti ZTE Blade A73 dan Vivo Y55+ 5G pada harga RM240 ataupun RM120 untuk 100 ribu pelanggan B40 yang pertama. Untuk memastikan jangka-hayat peranti-peranti ini kekal lama, ia juga akan ditawarkan dengan waranti selama dua tahun.
High
Nota tinggi pada fon telinga ini juga pada pendapat saya tidak membingitkan telinga, dan jika anda seorang yang gemar mendengar lagu-lagu yang dirakam secara live, lagu-lagu akustik ataupun unplugged, saya rasakan bahawa fon telinga ini juga adalah sesuai untuk anda.
Mikrofon
Fon telinga EAH-AZ80 ini hadir dengan lapan buah mikrofon terbina, empat di setiap bahagian fon telinga yang memastikan bunyi hingar dihindari daripada panggilan suara mahupun apabila mod ANC diaktifkan untuk pendengaran muzik yang tidak dicemari bunyi dari luar.

Dalam pada itu, mikrofon ini juga dimanfaatkan untuk mod transparent audio di mana bunyi sekeliling anda dicampur sekali dengan audio yang anda dengari. Ini adalah sebuah fungsi yang cukup berguna khususnya apabila anda mahu mendengari pengumuman di dalam pengangkutan awam, ataupun sekiranya anda berjalan di kaki lima dan mahu menjadi peka tentang persekitaran anda.
Bateri
Dari segi jangka-hayat bateri, Technics mengatakan bahawa fon telinga EAH-AZ80 mempunyai jangka-hayat pengecasan penuh 7 jam, dan 24 jam bersama rangka pengecasannya. Dalam pengalaman saya menggunakan fon telinga ini, jangka-hayat ini adalah hampir tepat, dengan setiap penggunaan saya dilihat mencapai sekitar 6 jam 30 minit sebelum ia kosong.
Pengecasan fon telinga dan rangkanya juga tidak memakan masa begitu lama, sekitar dua jam lebih sahaja diperlukan untuk mengecas dari kosong ke penuh. Technics juga mengatakan bahawa pengecasan selama kurang dari 10 minit membolehkan pengguna untuk mendapatkan penggunaan selama 70 minit untuk fon telinga ini.
Dalam Kotak

Berikut adalah aksesori-aksesori yang ditawarkan didalam kotak fon telinga Technics EAH-AZ80 ini:
- 1x Technics EAH-AZ80
- 1x Rangka pengecasan
- 1x kabel USB Type-C ke USB Type-C
- 7x putik telinga silikon dalam pilihan saiz XS, S, M, L dan XL
Kesimpulan
Dengan tanda harga RM1599, fon telinga Technics EAH-AZ80 berada dalam pasaran fon telinga kelas premium yang pada saya, agak berbaloi dengan tanda harga yang ditawarkan. Selain daripada kualiti audio yang cukup baik, ia juga tampil dengan kemampuan pengubahsuaian tetapan yang mendalam dan ciri-ciri tambahan yang sangat berguna, khususnya ANC, pass-through audio dan sambungan ke tiga peranti sekaligus.

Sokongan untuk pengecasan nirwayar Qi, pilihan tip telinga yang sangat meluas dan pelbagai platform penstriman audio dengan teknologi audio berbeza juga menambahkan nilai fon telinga ini, menjadikannya salah sebuah fon telinga yang kami boleh syorkan sekiranya anda sedang mencari penawaran fon telinga premium.
Pro:
- Kualiti audio neutral, tetapi boleh diubahsuai mengikut citarasa pengguna
- Ciri-ciri yang banyak seperti ANC, transparent audio, penjedaan audio apabila fon telinga dikeluarkan
- Aplikasi dengan pengubahsuaian yang sangat mendalam
- Pilihan tip telinga yang banyak
Kontra:
- Rekaan yang sedikit membosankan
- Fon telinga berat

