Vivo V70 FE hadir sebagai telefon kelas pertengahan dengan kamera 200MP, bateri besar 7,000mAh serta rekaan bergaya yang mampu memantulkan cahaya. Namun begitu, semua kelebihan ini pada hakikatnya hanyalah penawaran di atas kertas. Persoalan utama yang ingin dijawab adalah bagaimana prestasinya dalam penggunaan harian. Berikut merupakan ulasan penuh mengenai Vivo V70 FE.
Spesifikasi
| Vivo V70 Lite | |
|---|---|
| Skrin | AMOLED, warna 1B, 120Hz, HDR10+, 1900 nits 6.83 inci, 113.1 cm2 (~90.7%) 1260 x 2800 piksel, nisbah 20:9 (~449 ppi) |
| Pemproses | Mediatek Dimensity 7360 Turbo (4 nm) |
| Cip | 4 x 2.5 GHz Cortex-A78 4 x 2.0 GHz Cortex-A55 |
| Cip Grafik | Mali-G615 MC2 |
| RAM | 8/12GB LPDDR5X RAM Maya (+12GB RAM) |
| Muatan Dalaman | 128/256/512GB UFS 4.1 |
| Kamera Utama | 200 MP, f/1.9 (lebar) OIS 8 MP, f/2.2, 120° (ultra-lebar) |
| Kamera Depan | 32 MP |
| Bateri | Si / C Li-Ion 7000 mAh 90W berwayar |
| SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano /5G |
| NFC | Ya |
| Infra Merah | Ya |
| Kalis Air | IP68/69 |
| Sistem Imbasan | Imbasan cap jari Imbasan wajah |
| Harga Jualan | RM1599 |
Pengalaman Penggunaan
Apabila memegang V70 FE, pengalaman penggunaan memang mengingatkan kepada model V50 Lite yang dilancarkan dua tahun lalu. Untuk rekod, siri V sebelum ini tidak pernah menggunakan penjenamaan FE kecuali pada siri X. Walaupun rangka plastik membuatkan rasa di tangan kurang premium berbanding pesaing dalam segmen pertengahan, reka bentuk bertepi rata dengan ketebalan 7.5 milimeter serta berat sekitar 200 gram masih memberikan keselesaan ketika digunakan.

Selain itu, beratnya terasa kukuh walaupun saiznya bukan yang paling kompak. Namun keseimbangan antara nilai estetik dan ketahanan menjadikan ia selesa digenggam serta mudah digunakan sepanjang hari. Dari sudut ergonomik, pengalaman ini menunjukkan usaha Vivo untuk menekankan aspek praktikal tanpa mengabaikan gaya. Hasilnya, V70 FE sesuai untuk pengguna yang mahukan telefon dengan keseimbangan antara fungsi dan penampilan.

Ketahanan peranti juga meyakinkan. Dengan pensijilan IP68 dan IP69, saya lebih tenang membawanya ke pelbagai situasi tanpa rasa bimbang. Walaupun tidak sesuai digunakan untuk berenang pernah sekali saya meredah hujan lebat di Taman Burung Kuala Lumpur sambil mengambil gambar dan peranti ini masih berfungsi dengan baik sehingga hari ini. Bahagian belakang turut menjadi tumpuan utama, khususnya varian Ungu dengan motif bunga timbul yang berubah tona mengikut pencahayaan.

Dalam keadaan terang, V70 FE mengekalkan rona ungu cerah manakala dalam pencahayaan tertentu ia seakan bertukar kepada merah jambu dengan kesan bercahaya yang menyerlahkan sisi fesyennya. Warna biru (blue) dan perak (silver) turut ditawarkan namun pengalaman seorang rakan menunjukkan bahawa kemasan belakang varian Biru agak mudah tertanggal cat walaupun hanya diletakkan dalam beg. Perkara ini mungkin dianggap kecil oleh sesetengah pengguna tetapi bagi mereka yang mementingkan gaya, ia boleh menjadi sedikit mengecewakan.

Melihat modul kamera berbentuk pil di bahagian belakang, ia jelas menambah karakter visual yang tersendiri. Namun apabila telefon diletakkan di atas meja, timbul sedikit rasa kurang stabil. Situasi ini mengingatkan saya kepada masalah kemasan yang pernah dialami rakan saya lalu terlintas bahawa mungkin bonggol kamera yang lebih rendah boleh menjadi penyelesaian pada masa akan datang.

Susunan fizikal peranti pula terasa biasa dengan butang kuasa dan laras audio di sebelah kanan manakala bahagian bawah menempatkan slot SIM, port USB-C serta pembesar suara stereo. Dari segi audio, pembesar suara stereo cukup lantang untuk kegunaan harian. Namun apabila kelantangan dinaikkan ke tahap maksimum, kejelasan bunyi mula berkurangan sedikit demi sedikit sehingga pengalaman mendengar tidak lagi sebaik pada tahap sederhana.
Sistem keselamatan biometri pada V70 FE memberikan pengalaman yang bercampur-baur. Pengimbas cap jari di skrin ada kalanya pantas, tetapi kadang-kadang mengambil sedikit masa untuk berfungsi. Walaupun begitu, ia tetap boleh digunakan tanpa sebarang kegagalan. Sementara itu, sokongan imbasan wajah menambah lapisan keselamatan tambahan yang menjadikan proses membuka kunci lebih mudah dan meyakinkan. Fungsi ini juga tidak menunjukkan sebarang kelewatan sepanjang penggunaan.

Paparan AMOLED pada V70 FE memang layak diberi pujian kerana menonjolkan visual yang terang, jelas, dan penuh warna. Hal ini menjadikan tontonan video atau gambar lebih menyenangkan. Saiz skrin 6.78 inci pula berada dalam kategori sederhana, cukup kukuh untuk digenggam. Walaupun ada pengguna yang mungkin lebih selesa dengan skrin bersaiz kecil, reka bentuk tubuh peranti yang rata membantu proses menyesuaikan diri, sekali gus memberikan pengalaman penggunaan yang seimbang dan selesa.
Perkakasan Dalaman – Cip Mediatek 7360-Turbo
Ketika mula menggunakan V70 FE, saya sudah menjangka cip Mediatek 7360-Turbo bukanlah sesuatu yang baharu kerana ia pernah digunakan pada V60e. Perdebatan timbul ketika awal pengenalannya, ada yang berpendapat tiada keperluan untuk naik taraf. Namun dari sudut positif, jelas Vivo masih yakin cip ini mampu menyokong peranti kelas pertengahan dengan rangkaian 5G.
- Samsung Galaxy A37 5G – Exynos 1480 (4nm)
- Infinix Note Edge – Dimensity 7100 (6nm)
- Honor 600 Lite – Dimensity 7100 Elite (6nm)
- Nothing Phone (3a) – Snapdragon 7s Gen 3 (4nm)
- Samsung Galaxy A57 5G – Exynos 1680 (4nm)
Antutu 3D
| Peranti | Skor |
| vivo V70 FE | 940,342 |
| Samsung Galaxy A37 5G | 1,059,377 |
| Infinix Note Edge | 805,806 |
| Honor 600 Lite | 726,401 |
| Nothing Phone (3a) | 803,992 |
| Samsung Galaxy A57 5G | 1,373,996 |

Geekbench 6
| Peranti | Satu Teras | Multi Teras |
| vivo V70 FE | 1021 | 2941 |
| Samsung Galaxy A37 5G | 1138 | 3489 |
| Infinix Note Edge | 972 | 2827 |
| Honor 600 Lite | 867 | 2660 |
| Nothing Phone (3a) | 1146 | 3123 |
| Samsung Galaxy A57 5G | 1238 | 4410 |

3DMark Wildlife Extreme
| Peranti | Skor |
| vivo V70 FE | 870 |
| Samsung Galaxy A37 5G | 1042 |
| Infinix Note Edge | 692 |
| Honor 600 Lite | 640 |
| Nothing Phone (3a) | 1043 |
| Samsung Galaxy A57 5G | 1713 |

Sepanjang penggunaan harian, prestasi peranti ini boleh dikatakan memadai. Tugasan asas seperti media sosial, penstriman video, dan fotografi berjalan lancar tanpa gangguan. Namun apabila cuba dinaikkan ke tahap lebih tinggi, barulah terasa batasannya. Cip Mediatek 7360-Turbo jelas tidak direka untuk tugasan intensif atau permainan berat, jadi jangan terlalu mengharapkan prestasi setaraf peranti mercu ataupun pesaing kelas pertengahan yang lebih premium. Pun begitu, pengalaman bermain di V70 FE masih ada sisi menyeronokkan.
Untuk permainan seperti Mobile Legends dan Asphalt 9, cip Mediatek 7360-Turbo mampu memberikan kadar bingkai stabil pada tetapan sederhana cukup untuk memastikan sesi permainan berjalan lancar tanpa gangguan. Namun apabila menguji permainan lebih berat seperti Genshin Impact, barulah terasa cip ini mula ‘mengalah’. Ia hanya mampu berfungsi pada tetapan rendah hingga sederhana dengan kadar bingkai yang tidak konsisten yang menjadikan pengalaman bermain kurang memuaskan.
Secara keseluruhan, cip ini sesuai untuk gaming kasual tetapi bukan pilihan terbaik bagi mereka yang mahukan prestasi tinggi atau gemar bermain judul AAA dengan grafik intensif. V70 FE lebih kepada peranti seimbang untuk tugasan asas dan hiburan ringan bukan untuk mereka yang mengejar kuasa gaming sepenuhnya.
Perisian Dalaman – OriginOS 6 Berasaskan Android 16
Sepanjang saya menggunakan V70 FE, kehadiran sistem operasi Android 16 yang dipadankan dengan antaramuka OriginOS 6 jelas memberi pengalaman lebih segar berbanding model terdahulu seperti V60 Lite yang masih menggunakan Android 15 dengan Funtouch OS. Antaramuka terasa lebih moden dan lancar dengan penekanan pada animasi serta susun atur yang ringkas. Sokongan kemas kini Android yang lebih panjang juga memberi keyakinan bahawa peranti ini akan terus relevan untuk beberapa tahun akan datang.


Gabungan OriginOS 6 dengan cip Dimensity 7360-Turbo turut memastikan penggunaan harian lebih stabil. Dari sudut produktiviti dan hiburan pula, saya mendapati kawalan privasi lebih baik, pengurusan bateri pintar serta sokongan penuh untuk aplikasi popular menjadikan pengalaman keseluruhan lebih praktikal. Antaramuka ini juga menawarkan widget menarik yang lebih bebas, sistem kawalan privasi yang lebih ketat dengan notifikasi apabila aplikasi cuba mengakses kamera atau mikrofon serta animasi yang lebih responsif sehingga menjadikan peralihan antara aplikasi terasa lebih lancar.

Oleh itu, kelebihan utama V70 FE ialah ia sudah berada di platform Android 16 dengan OriginOS 6, sekali gus memberi jaminan sokongan jangka masa lebih panjang serta pengalaman penggunaan yang lebih segar dan konsisten. Hal ini menjadikannya lebih menyerupai beberapa peranti Vivo terkini seperti V60 dan model lain, namun dengan kelebihan tambahan yang menjadikan pengalaman harian lebih mantap.
Kamera Dan Kualiti Gambar
Sepanjang saya mencuba kamera V70 FE, pengalaman yang diperoleh boleh dikatakan bercampur-campur. Untuk kegunaan biasa, kualiti gambar masih baik, namun kadangkala hasilnya sedikit overexpose dan dynamic range terasa agak terhad. Antaramuka kamera juga hanya menawarkan tiga pilihan gaya warna iaitu vivid (default), natural, dan texture manakala sokongan color Zeiss tidak disediakan. Oleh itu, ketiga-tiga pilihan ini menghasilkan warna yang kurang menyerlah sehingga gambar kelihatan agak sederhana.









Ketiadaan lensa telefoto pada V70 FE menyebabkan fungsi zum bergantung sepenuhnya pada AI. Walaupun zum berasaskan AI membantu mengekalkan perincian, ia tetap mempunyai kekangan kerana memerlukan sambungan internet untuk diaktifkan dan tidak berfungsi pada waktu malam atau dalam keadaan pencahayaan rendah. Jika zum dilakukan tanpa AI, kualiti gambar akan menurun dengan ketara. Perkara ini berbeza dengan kebanyakan jenama lain yang biasanya menyediakan fungsi zum AI secara terbina dan boleh digunakan tanpa bergantung pada internet.











Dalam mod resolusi tinggi, pilihan 50MP dan 200MP pada V70 FE masing-masing menawarkan kelebihan tersendiri. Mod 50MP menyokong sehingga 2x panjang fokus, manakala 200MP hanya pada 1x tetapi hasilnya lebih tajam. Walaupun selepas gambar dipangkas, kualiti 200MP masih memuaskan kerana perincian kekal jelas, warna konsisten, dan hingar sangat minima asalkan pencahayaan mencukupi.






Dalam mod potret, kesan bokeh yang dihasilkan sekadar memuaskan kerana efeknya tidak terlalu baik secara lalai. Nada kulit dan tekstur kulit pula kadangkala kelihatan agak janggal, khususnya dalam keadaan kurang pencahayaan atau ketika waktu malam. Walaupun subjek masih dapat dipisahkan daripada latar belakang, kecacatan pada bahagian tepi subjek mula kelihatan apabila gambar diperbesarkan.
Dari segi prestasi keseluruhan, saya mendapati pasca-proses mengambil sedikit masa terutamanya apabila menggunakan zum berasaskan AI. Walaupun lengah masa ini tidak terlalu mengganggu, ia tetap terasa sebelum gambar siap diproses sepenuhnya. Kesimpulannya, kamera V70 FE memberikan pengalaman yang memadai untuk kegunaan harian dengan kelebihan pada resolusi tinggi 200MP.
Namun begitu, ia masih mempunyai batasan dari segi penghasilan warna, kemampuan zum, dan prestasi mod potret. Oleh itu, kamera ini lebih sesuai untuk pengguna yang mahukan fungsi praktikal, tetapi bukan untuk mereka yang mencari hasil fotografi setaraf peranti mercu.
Ketahanan Bateri Dan Pengecasan Pantas
Sepanjang saya menggunakan V70 FE, bateri berkapasiti besar 7000mAh benar-benar memberi kelebihan dari segi ketahanan. Namun pengalaman menunjukkan ia sangat bergantung pada corak penggunaan harian. Sebagai contoh, dalam satu keadaan saya memperoleh sekitar 6 jam 48 minit masa skrin aktif dengan tambahan 2 jam 11 minit masa skrin tidak aktif. Dalam senario lain pula, ketahanan mampu mencapai sehingga 23 jam 22 minit selepas pengecasan penuh dengan 8 jam 47 minit masa skrin aktif dan 1 jam 15 minit masa skrin tidak aktif.
Dalam keadaan berbeza pula, saya mencatatkan sekitar 21 jam 55 minit ketahanan dengan 8 jam 18 minit masa skrin aktif serta 1 jam 15 minit masa skrin tidak aktif. Hal ini menunjukkan bahawa kapasiti bateri besar pada V70 FE memang memberi kelebihan, tetapi ketahanannya tetap bergantung pada intensiti penggunaan. Jika digunakan secara sederhana, ia mampu bertahan hampir sehari penuh, manakala penggunaan lebih berat masih boleh disokong tanpa perlu terlalu kerap bergantung pada pengecasan.
Kesimpulan
Selepas saya menggunakan V70 FE, saya boleh simpulkan bahawa ia sebuah telefon yang menawarkan pakej seimbang dengan beberapa kelebihan yang ketara tetapi juga ada batasan yang perlu difahami. Dari segi perisian, sistem operasi Android 16 bersama OriginOS 6 memberi pengalaman lebih segar dan moden berbanding model terdahulu seperti V60 atau V50 Lite selain jaminan sokongan jangka masa lebih panjang yang menjadikan peranti ini relevan untuk beberapa tahun akan datang.

Bateri besar 7,000mAh pula memang memberi ketahanan yang baik, sementara itu kamera 200MP menjadi tarikan utama walaupun hasilnya tidak sepenuhnya konsisten kerana masih ada isu warna, ketiadaan lensa telefoto yang menyebabkan zum bergantung pada AI serta prestasi mod potret yang sederhana. Dari sudut prestasi, cip Dimensity 7360-Turbo memadai untuk tugasan asas dan hiburan ringan, tetapi bukan pilihan terbaik untuk gaming berat atau tugasan intensif.

Secara keseluruhan, V70 FE sesuai untuk pengguna yang mahukan telefon dengan bateri tahan lama, sistem operasi terkini dan kamera beresolusi tinggi untuk kegunaan harian. Ia berbaloi dibeli jika anda mencari telefon praktikal yang boleh bertahan lama dari segi sokongan perisian dan bateri, namun bukan pilihan terbaik bagi mereka yang mahukan kualiti fotografi setaraf peranti mercu atau prestasi gaming yang tinggi.

Sebagai alternatif, V50 Lite boleh dipertimbangkan jika anda mahukan harga lebih rendah walaupun masih menggunakan Android 15 dengan Funtouch OS manakala V50 sesuai untuk pengguna kasual dan praktikal dalam kelasnya. Jika anda mahukan pilihan daripada jenama-jenama lain, Samsung Galaxy A37 menawarkan sokongan kemas kini perisian jangka panjang, POCO X8 Pro Max hadir dengan prestasi tinggi serta bateri besar untuk gaming, dan Nothing Phone (4a) pula menonjol dengan reka bentuk unik serta pengalaman Android asli.
Kelebihan:
- Bateri besar 7000mAh dengan ketahanan seharian.
- Android 16 + OriginOS 6 yang moden dan lancar.
- Kamera 200MP dengan perincian jelas jika pencahayaan mencukupi.
- Sokongan 5G dan cip Dimensity 7360-Turbo yang stabil.
Kekurangan:
- Tiada lensa telefoto, zum bergantung pada AI.
- Hasil kamera kadangkala overexpose dan dynamic range terhad.
- Warna kurang menyerlah, tiada sokongan color ZEISS.
- Mod potret sederhana, bokeh tidak konsisten.
- Post-processing agak perlahan dengan zum AI.

