
PETALING JAYA – Orang ramai mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas berhubung dakwaan ‘ulat bagasi’ yang mengenakan caj melampau kepada penumpang terutama pelancong asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2.
Difahamkan, ‘ulat bagasi’ itu didakwa menghampiri penumpang untuk membantu daftar masuk bagasi dan meminta bayaran tertentu, sedangkan urusan itu boleh dibuat sendiri tanpa bantuan ‘ulat’ berkenaan.
Menerusi hantaran gambar oleh pengguna Threads Fachrezaaaidil, terdapat penumpang Arab dipercayai diperdaya ‘ulat bagasi’ tersebut serta dikenakan caj sehingga RM200
“Geram betul lah dengan ulat KLIA Terminal 2 ni. Dulu aku baca je dalam media sosial, sekali aku nampak langsung. Kasihan puak Arab ni kena paw (bayar) RM200 hanya nak masukkan bagasi. Bukan aku tak nak tolong, tapi aku pun tengah kejar pesawat juga.
“Nak lapor polis bantuan tak nampak pula. Jadi korang berhati-hati lah kalau nampak dia. Buat buruk nama Malaysia je,” katanya pada hantaran Threads hari ini.
Hantaran tersebut mendapat pelbagai maklum balas daripada orang ramai yang mahu perbuatan mereka dibanteras segera oleh pihak berkuasa.
“KLIA rosak sebab diorang,” komen Nutellabakarrrr.
“Dah jadi macam dekat negara lain pula ada puak-puak pungli (bahasa Indonesia bermaksud pungutan liar),” komen Bonnypaulbanta.
“Dah macam negara ketiga dah Malaysia ni,” kata Rarrarkids. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Ulat bagasi’ di KLIA buat buruk nama Malaysia appeared first on Kosmo Digital.

