Ulat parkir MRT Maluri ditahan

15 Nov 2026 • 11:24 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Ulat parkir MRT Maluri ditahan

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan penahanan seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kegiatan mengutip bayaran parkir secara tidak sah berhampiran Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Maluri, Cheras, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, tangkapan terhadap lelaki berusia lingkungan awal 50-an itu dilakukan kira-kira pukul 2 petang.

Pengesahan itu sekali gus menyusul selepas kegiatan ulat parkir di kawasan berkenaan mendapat perhatian ramai susulan beberapa perkongsian tular di media sosial.

Sementara itu, menerusi hantaran di Threads, akaun @parkitmalaysia memaklumkan seorang lelaki yang sebelum ini tular mengutip bayaran parkir di kawasan berkenaan berjaya ditahan polis.

Menurut hantaran itu, individu terbabit didakwa kembali menjalankan kegiatan mengutip bayaran parkir pada pagi semalam, meskipun pihak berkuasa telah melakukan pemeriksaan sehari sebelumnya.

Pengendali akaun berkenaan turut memaklumkan pihaknya telah membuat laporan polis dan menghubungi pihak berkaitan bagi menangani kegiatan tersebut.

“Pukul 1 petang, polis datang. Pukul 1.45 petang, disahkan polis sudah menangkap lelaki berbaju biru atau hijau yang diviralkan,” menurut hantaran itu.

Dalam pada itu, pengendali akaun berkenaan berharap polis meneruskan siasatan bagi mengenal pasti dalang sebenar kegiatan tersebut.

Terdahulu, Kosmo! Online semalam melaporkan kegiatan mengutip bayaran parkir tanpa kebenaran di Stesen MRT Maluri didakwa terus berulang apabila beberapa individu kembali menjalankan aktiviti itu meskipun kawasan berkenaan telah diserbu pihak berkuasa pada hari sebelumnya.

Menerusi perkongsian di Threads, seorang pengguna meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa individu terbabit kembali mengutip wang daripada pengguna tempat letak kereta pada waktu pagi.

Pengguna itu turut memaklumkan bahawa dia telah membuka laluan di kawasan parkir berkenaan selain mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang bayaran kepada individu terbabit.

Pada 10 November lalu, Kosmo! Online turut melaporkan seorang wanita memuat naik gambar beberapa individu yang didakwa mengutip bayaran parkir daripada pengguna di Stesen MRT Maluri.

Wanita itu turut meminta pihak Rapid KL mencari penyelesaian terhadap kegiatan berkenaan yang didakwa meresahkan pengguna kemudahan parkir.

Isu sama juga pernah dibangkitkan pada 5 Oktober lalu apabila pengguna mendakwa terdapat pihak tertentu mengutip bayaran parkir di kawasan berkenaan tanpa mempunyai kuasa untuk berbuat demikian. – KOSMO! ONLINE

The post Ulat parkir MRT Maluri ditahan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved