UM antara 300 jenama universiti paling berpengaruh di dunia

18 Feb 2025 • 4:22 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Universiti Malaya (UM) melakar sejarah apabila menjadi universiti Malaysia pertama dan satu-satunya yang disenaraikan dalam kalangan 201-300 jenama universiti paling berpengaruh di dunia dalam Times Higher Education (THE) World Reputation Rankings 2025.

Ranking berprestij itu berdasarkan tinjauan pendapat akademik terbesar di dunia, yang hanya boleh disertai melalui jemputan, yang mengumpulkan pandangan daripada ahli akademik kanan untuk mengenal pasti institusi paling dihormati dalam penyelidikan dan pengajaran.

Penyenaraian UM menonjolkan peranannya yang penting dalam membentuk kecemerlangan akademik dan penyelidikan global, sekali gus menandakan satu kejayaan yang membanggakan bagi sektor pendidikan tinggi Malaysia.

“Menjadi universiti Malaysia pertama dan satu-satunya yang mencapai kedudukan ini adalah bukti komitmen kami terhadap kecemerlangan dalam pendidikan, penyelidikan dan penglibatan global.

“Pengiktirafan ini mencerminkan impak sumbangan akademik dan penyelidikan kami di peringkat antarabangsa,” kata Naib Canselor UM Prof Datuk Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kakitangan akademik, pentadbir, pelajar, rakan kongsi dan rakan usaha sama UM atas sokongan serta sumbangan berterusan mereka.

Selain itu, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Canselor, Pro-Canselor dan Lembaga Pengarah UM, serta Kementerian Pendidikan Tinggi atas sokongan padu mereka, yang menurutnya memainkan peranan penting dalam mencapai kejayaan ini.

Melangkah ke hadapan, UM tetap komited untuk meningkatkan impaknya di peringkat global dengan mengukuhkan kecemerlangan penyelidikan, memupuk kerjasama antarabangsa dan memacu inovasi berterusan dalam pendidikan.

Noor Azuan berkata pencapaian itu menjadi motivasi kepada UM untuk mencapai kejayaan yang lebih besar dan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia dalam landskap akademik global.

– BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved