UMNO 80 tahun tetapi masa depan masih kabur

LocalPolitics
12 May 2026 • 10:15 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: UMNO 80 tahun tetapi masa depan masih kabur
Sambutan ulang tahun ke-80 UMNO di Istana Besar Johor.

SAMBUTAN ulang tahun ke-80 UMNO di Istana Besar Johor semalam memang membawa makna sejarah yang besar. UMNO ditubuhkan di lokasi itu pada 11 Mei 1946 dan sambutan tahun ini turut menyaksikan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, berkenan bergambar bersama kepimpinan tertinggi UMNO.

Namun simbol sejarah sahaja tidak cukup untuk menyelamatkan masa depan UMNO menjelang PRU16. Masalah sebenar UMNO hari ini bukan pada kekurangan nostalgia sejarah yang hebat, tetapi pada imej kepimpinan, kredibiliti strategi dan kegagalan meyakinkan orang Melayu bahawa parti itu benar-benar sudah berubah.

Tumpuan utama harus diberikan kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. Beliau memang pernah menjadi Senator, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ketua Pemuda UMNO dan kini Setiausaha Agung UMNO selain Pengerusi MARA. Tetapi dalam politik pilihan raya, rekodnya sangat lemah.

Asyraf Wajdi telah kalah tiga kali dalam pilihan raya umum. Pada PRU12 tahun 2008, beliau bertanding di Parlimen Tumpat atas tiket BN tetapi kalah kepada Datuk Kamarudin Jaffar daripada Pas. Pada PRU14 tahun 2018, beliau bertanding di Pasir Puteh tetapi kalah kepada Ustaz Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh daripada Pas. Pada PRU15 tahun 2022 pula, beliau bertanding di Gerik tetapi kalah kepada Fathul Huzir Ayob daripada Bersatu.

Persoalannya cukup mudah, iaitu bagaimana seorang Setiausaha Agung yang belum pernah menang dalam mana-mana pilihan raya mahu diyakini sebagai arkitek strategi untuk mengembalikan kemenangan UMNO?

Politik bukan sekadar mengurus mesyuarat, kenyataan media dan struktur parti. Politik pilihan raya menuntut seseorang memahami denyut pengundi, membina pengaruh akar umbi dan membuktikan dirinya mampu menang di gelanggang sebenar.

Masalah sama berlaku kepada Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. Beliau tewas di Lumut pada PRU14 kepada Dr Mohd Hatta Ramli daripada Amanah. Pada PRU15 pula, Zambry sekali lagi tewas di Lumut, kali ini kepada calon daripada Bersatu, Nordin Ahmad Ismail.

Apabila Setiausaha Agung UMNO dan Setiausaha Agung BN sama-sama membawa rekod kekalahan pilihan raya, persoalan kredibiliti strategi tidak boleh dielakkan. UMNO mahu meyakinkan rakyat bahawa parti itu mampu bangkit, tetapi wajah-wajah utama yang mengatur kebangkitan itu sendiri belum meyakinkan dari segi mandat rakyat.

Lebih melemahkan keadaan, Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said, dilihat langsung tidak berfungsi secara efektif dalam menjelaskan kedudukan parti kepada orang Melayu.

Dalam suasana UMNO dihimpit antara Kerajaan Perpaduan, DAP, kemarahan akar umbi dan tekanan Perikatan Nasional (PN), jentera penerangan sepatutnya menjadi benteng utama. Tetapi yang kelihatan ialah kekosongan naratif, bukan serangan balas yang meyakinkan.

Gagasan Rumah Bangsa pula, walaupun kedengaran besar, masih belum membuktikan kesan politik yang nyata. UMNO menggambarkan Rumah Bangsa sebagai strategi untuk menjadikan parti itu institusi utama perjuangan Melayu dan “rumah besar” untuk orang Melayu. Tetapi selepas diumumkan dengan penuh retorik, kesannya masih kabur.

Keputusan UMNO menerima kembali tokoh seperti Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Tan Sri Syed Hamid Albar dan ribuan bekas ahli memang kelihatan menarik di atas kertas. Tetapi hanya menyerlahkan kelemahannya sendiri dengan mengharapkan nama-nama akan membawa impak kepada UMNO. Sebaliknya tindakan Khairy Jamaludin menyerang pembangkang menyebabkan dirinya menjadi bahan kritikan dan pada masa sama UMNO juga menerima padah.

Namun persoalannya, adakah ia benar-benar mengubah persepsi pengundi Melayu? Setakat ini, belum ada gelombang besar yang menunjukkan orang Melayu kembali melihat UMNO sebagai rumah asal politik mereka.

Musyawarah Nasional pada 10 Mei juga kelihatan lebih indah khabar daripada rupa. Resolusi ekonomi seperti cadangan Dasar Ekonomi Negara dengan sasaran pengagihan ekonomi 70 peratus kepada Melayu serta mengembalikan Kementerian Pembangunan Usahawan yang diterajui menteri Melayu mungkin sedap didengar dalam dewan, tetapi sukar dilaksanakan dalam realiti Kerajaan Perpaduan.

Inilah dilema UMNO. Di satu sisi, parti itu bercakap tentang gerak solo dan mahu kembali menjadi suara Melayu. Di sisi lain, UMNO masih terikat dengan kerajaan yang turut disertai oleh Pakatan Harapan (PH) dan DAP.

Kehadiran UMNO dalam kerajaan perpaduan hari ini tidak menunjukkan kesan besar malah dilihat hanya menjadi penumpang yang mengikut telunjuk. Tidak ada reformasi besar dalam Kementerian Pengajian Tinggi. Tidak ada usaha berimpak tinggi dalam Kementerian yang diterajui Presiden UMNO. Tidak ada usaha mengharmonikan isu besar yang sedang melanda negara sekarang.

Pokoknya UMNO gagal memainkan peranan penting dalam pentadbiran negara sekarang. Yang rakyat nampak ialah UMNO seperti melukut di tepi gantang.

Apabila UMNO menyebut mahu bergerak solo tetapi masa sama tidak mahu bertembung dengan parti-parti rakan, orang Melayu menjadi keliru, adakah UMNO benar-benar mahu bangkit sendiri atau sekadar mahu hidup dengan ihsan gabungan sedia ada?

Lebih berat lagi, banyak dasar Kerajaan Perpaduan yang tidak disenangi rakyat turut terpalit kepada UMNO. Walaupun UMNO bukan parti dominan dalam kerajaan, parti itu tetap menanggung beban persepsi kerana pemimpinnya berada dalam Kabinet dan struktur kuasa.

Maka sambutan 80 tahun di Istana Besar Johor memang indah dari segi sejarah, tetapi ia tidak menjawab persoalan masa depan. UMNO boleh meraikan asal-usulnya, tetapi pengundi akan menilai masa depannya.

Jika wajah kepimpinan masih sama, strategi masih kabur, penerangan masih lemah dan gagasan besar tidak diterjemahkan kepada tindakan nyata, maka PRU16 bukan medan kebangkitan UMNO, tetapi mungkin akan menjadi satu lagi episod kemerosotan parti itu.

*Dr Mohd Fuad Salleh ialah seorang penganalisis politik

View Original Article