10 Inovasi Terpenting Sony Sejak Ditubuhkan 80 Tahun Lalu

TechnologyGaming
12 May 2026 • 7:45 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Minggu lalu Sony Corporation menyambut ulang tahun yang ke-80 sejak ditubuhkan di Tokyo sebagai sebuah kedai menjual barangan elektrik dalam sebuah gedung membeli belah. Bermula dengan produk pertama sebuah periuk nasi, Sony kemudian menghasilkan TR-55 sebuah radio transistor pertama keluaran Jepun.

Image from: 10 Inovasi Terpenting Sony Sejak Ditubuhkan 80 Tahun Lalu

Kini Sony bukan sahaja gergasi dalam dunia elektronik tetapi juga filem, muzik, fotografi, dan permainan video. Di bawah pada hemat kami ialah 10 inovasi terpenting Sony Corporation sejak ditubuhkan dengan impaknya masih boleh dilihat sehingga ke hari ini.

1.Sony PlayStation

Image from: 10 Inovasi Terpenting Sony Sejak Ditubuhkan 80 Tahun Lalu

Kita mulakan dengan jenama yang kini paling sinonim dengan Sony sekarang iaitu konsol Sony PlayStation. Siapa sangka bermula dengan kegagalan kerjasama menghasilkan konsol dengan pemacu cakera bersama Nintendo membuahkan konsol yang kini dominan dalam industri permainan video.

Pada asalnya Sony dan Nintendo bekerjasama membangunkan Super Famicon dengan pemacu cakera padat pada tahun 1991. Tetapi Nintendo kemudian memilih untuk bekerjasama dengan pesaing Sony iaitu Philips. Berang dengan “pembelotan” ini, Presiden Sony Norio Ohga, mengarahkan Ken Kutaragi untuk menghasilkan PlayStation dengan versi pertama konsol dilancarkan pada tahun 1994.

Sehingga ke hari ini lebih 650 juta konsol Sony PlayStation, Sony PlayStation 2, Sony PlayStation 3, Sony PlayStation 4, Sony PlayStation, Sony PlayStation Portable dan Sony PlayStation Vita telah berjaya dijual.

2.Bateri Litium Ion

Image from: 10 Inovasi Terpenting Sony Sejak Ditubuhkan 80 Tahun Lalu
Sony CCD-TR1 8

Sony ialah syarikat pertama melancarkan bateri litium ion boleh dicas semula secara komersial pada tahun 1991. Ia dihasilkan menerusi kerjasama Sony-Energytec dan Asahi Group dimana paten untuk bateri litium ion pertama difailkan oleh Akira Yoshino. Sony-Energytec di bawah pimpinan Keizaburo Tozawa menemukan teknologi litium ion yang stabil pada tahun 1990. Ia terus dikomersialkan sebelum digunakan pada kamera video  Sony CCD-TR1.

Kelebihan bateri litium Sony ialah ia selamat digunakan walaupun terkena air, mempunyai kepadatan tenaga lebih tinggi berbanding bateri nikel kadmium dan mempunyai hayat dicas sehingga 1000 kitara sebelum perlu diganti. Kini sukar untuk memikirkan dunia tanpa bateri berasaskan litium kerana digunakan pada telefon pintar, komputer riba, alat permainan video dan kereta elektrik.

3.Walkman

Saya tak mahu menulis panjang dan sila tonton video yang saya hasilkan enam tahun lalu mengenai Walkman sempena ulang tahunnya yang ke-40.

4.Cakera Padat (CD)

Image from: 10 Inovasi Terpenting Sony Sejak Ditubuhkan 80 Tahun Lalu

Selepas berjaya menghasilkan Walkman yang memainkan kaset, evolusi seterusnya ialah menawarkan audio pada kualiti lebih tinggi tetapi masih lagi pada pemain mudah alih. Cakera padat (CD) dibangunkan secara serentak tetapi berasingan oleh Sony dan Philips. Philip menghasilkan prototaip medium muzik digital mereka pada tahun 1977 dengan cakera dengan diameter 11.5cm. Pada tahun yang sama Sony memperlihatkan prototaip cakera berdiameter 30cm kepada umum yang boleh memainkan audio digital semalam 1 jam.

Kedua-dua syarikat menyedari potensi cakera digital yang sedang mereka bangunkan. Hasilkan sebuah pasukan kerjasama dibangunkan. Philip memberikan nama Compact Disc kerana mengikut nama Compact Cassette yang telahpun digunakan untuk kaset. Philip menyumbang kepada teknik pengekodan data EFM sementara Sony menyumbang teknologi CIRC yang membolehkan data dibaca pada CD kotor atau tercalar.

CD dalam versi yang dikenali sekarang diperlihatkan pada tahun 1981 dengan CD komersial pertama dicetak pada tahun 1982 mengandungi muzik Chopin yang dimainkan Claudio Arrau. 50 CD pertama dijual di pasaran Jepun pad Oktober 1982. Tetapi pada tahun 2024, Sony menghentikan pengeluaran media fizikal CD-R, DVD-R dan BD-R kerana permintaan yang semakin berkurangan,

5. Cakera Liut 3.5″

Image from: 10 Inovasi Terpenting Sony Sejak Ditubuhkan 80 Tahun Lalu

Pada tahun 1981, CD bukan satu-satunya format yang dicipta oleh Sony. Pada tahun yang sama cakera liut 3.5″ juga diperlihatkan oleh Sony sebagai pengganti cakera liut 5 1/4″ yang digunakan pada kompter waktu tersebut. Inovasi Sony ialah cakera simpanan yang mudah alih, kompak dan paling penting sekali mempunyai kerangka luar plastik yang keras bagi mengelakkan kerosakan pada cakera magnetik di bahagian dalam.

Penggunaan cakera liut 3.5″ mula meluas selepas ia dijadikan standard oleh Microfloppy Industry Committee (MIC) yang terdiri daripada konsortium 23 pengeluar sistem, pemacu dan pengeluar media dunia. Menjelang 1988, cakera liut 3.5″ menjadi medium simpanan lalai pada komputer keluaran Apple. Atari, Commodore, Amiga dan IBM.

Walaupun penggunaan cakera sudah semakin pupus, ikon menyimpan fail berasaskan bentuknya masih digunakan pada komputer moden sehingga ke hari ini. Sony berhenti mengeluarkan cakera liut 3.5″ pada tahun 2011, 30 tahun selepas format diperkenalkan.

6. Fon Kepala Siri XH-1000XM

Image from: 10 Inovasi Terpenting Sony Sejak Ditubuhkan 80 Tahun Lalu

Jika anda kerap menaiki kapal terbang, hanya ada dua fon kepala dengan sistem pembatalan hingar aktif (ANC) yang boleh saya sarankan dan salah satunya ialah siri WH-1000XM keluaran Sony sejak 2016. Sejak dari awal siri XM ini ditawarkan kepada umum, ia menjadi pilihan penggemar audio kerana ia selesa dipakai untuk tempoh yang lama, ANC mantap menghalang deruman enjin kapal terbang dan bateri yang tahan lama.

Sony tidak mencipta fon kepala komersil dengan ANC, ini kredit yang diberikan kepada Bose. Tetapi siri WH-1000XM mempopularkannya dan pada harga yang lebih mampu milik berbanding fon kepala ANC di pasaran. Saya secara peribadi tidak akan melakukan perjalanan dalam kapal terbang tanpa sepasang WH-1000XM6 kerana ia membezakan perjalanan yang selesa dengan perjalanan yang menyeksakan.

7. Pita Betacam

Image from: 10 Inovasi Terpenting Sony Sejak Ditubuhkan 80 Tahun Lalu
Pita Betacam – Digitalmix.nz

Kesemua produk di atas bermula daripada idea yang berjaya. Tetapi Betacam adalah berbeza kerana ia bermula daripada produk Betamax yang gagal. Pita Betamax dilancarkan pada tahun 1975 membenarkan program TV sehingga 1 jam dirakam di rumah. Pita VHS oleh Panasonic pula dilancarkan pada tahun 1976 juga untuk tujuan yang sama.

Walaupun kualiti video Betamax lebih baik berbanding VHS (video 250 garisan vs 240 garisan), pita VHS boleh merakam video sehingga 120 minit. Hasilnya lebih banyak program boleh dirakam dan filem boleh dijual dalam satu pita sahaja untuk dinikmati di rumah. Akibatnya Betamax mati sebagai produk untuk konsumer.

Daripada kegagalan ini, Betacam dilancarkan untuk industri penyiaran pada tahun 1982. Ia merakam video pada resolusi lebih tinggi 300 garisan mendatar sebelum Betacam SP diperkenalkan pada tahun 1986 dengan 340 garisan mendatar. Betacam menjadi pita rakaman standard industri penyiaran dari dekad 1980an hingga awal 2000 sebelum digantikan oleh medium rakaman menggunakan pita magnetik dihentikan. Sony hanya menamatkan pengeluaran pita Betacam pada tahun Mac 2016.

8. Robot AIBO

Image from: 10 Inovasi Terpenting Sony Sejak Ditubuhkan 80 Tahun Lalu

Pada tahun 1998, Sony memperlihatkan prototaip Artificial Intelligence Robot atau nama singkatannya AIBO bagi tujuan menunjukkan kemampuan robot dan kecerdasan buatan (AI) menggantikan anjing belaan. Ia boleh berjalan, menyalak dan melakukan aksi comel. Kesemua 7000 unit AIBO ERS-110 yang dikeluarkan Sony pada tahun 1999 habis dibeli dalam masa 20 minit walaupun dijual pada harga 250,000 Yen (sekitar RM8,800 dalam mata wang semasa) sebuah.

Bermula sebagai permainan, AIBO kemudian menjadi platform untuk menguji sistem AI, pengaturcaran dan robotik menerusi program seperti Robocup. Sungguhpun begitu pada tahun 2006 pengeluaran AIBO dihentikan sebagai langkah penstrukturan semula Sony. Tetapi pada tahun 2018 ia kembali sebagai platform AI awanan menerusi model ERS-1000. Kerana sumbangannya kepada dunia robotik, AIBO dimasukkan ke dalam Carnegie Melon Robot Hall of Fame pada tahun 2006.

9. Sony Trinitron

Image from: 10 Inovasi Terpenting Sony Sejak Ditubuhkan 80 Tahun Lalu
Sony Trinitron 1968

Minat terhadap konsol klasik membuatkan TV dan monitor CRT kembali popular. Untuk kualiti gambar yang paling mercu, ramai mencadangkan TV dan monitor dengan teknologi Sony Trinitron dibeli. Sony menjual TV Trinitron pada tahun 1968. Ia adalah inovasi terbesar pada TV berwarna sejak ia dicipta pada tahun 1953.

Trinitron mendapat nama daripada tiga senapang elektron yang digunakan setiap satunya untuk warna merah, hijau dan biru. Teknologi Trinitron tidak memerlukan “topeng bayang” untuk menghasilkan warna pada skrin. Sebaliknya ia menggunakan gril apertur untuk menghasilkan warna pada skrin. Ia membenarkan lebih banyak elektron yang ditembak menghentam skrin sekaligus menghasilkan imej berwarna yang lebih terang dan tajam. Pada tahun 1973, TV Trinitron menjadi produk konsumer pertama menerima anugerah teknikal Emmy.

Selain itu skrin Trinitron berbentuk silinder adalah lebih rata berbanding skrin sfera yang digunakan TV lain. Imej nampak lebih konsisten tanpa distorsi. Trinitron menjadi asas kepada dominasi Sony dalam dunia televisyen selama tiga dekad. Lebih 280 juta TV dan monitor Trinitron berjaya dijual sebelum pengeluaran ditamatkan pada tahun 2006.

9. Sony Xperia

Image from: 10 Inovasi Terpenting Sony Sejak Ditubuhkan 80 Tahun Lalu

Akhir sekali pastinya siri telefon pintar Sony Xperia yang memperkenalkan skrin mantap setanding TV Bravia, kamera setanding siri Alpha, sistem audio sebaik dan prestasi gaming hampir setanding PlayStation. Kepakaran mereka dalam semua aspek hiburan digunakan untuk menghasilkan siri Xperia sejak 2008.

Era kegemilangan Xperia mungkin sudah berakhir tetapi Sony komited menghasilkan telefon pintar tanpa kompromi. Mereka masih mengekalkan bicu audio, sokongan kad mikroSD dan butang kamera pada peranti mercu keluaran mereka sedangkan pemain industri lain sudah lama meninggalkannya. Bagi peminat tegar, peranti lagi mungkin dilengkapi sensor lebih besar dan mempunyai pelbagai gimik terkini tetapi ia bukan sebuah Xperia.

Sony Ericsson Xperia Arc S, Xperia Active dan Xperia Ray ialah tiga telefon terawal yang diulas di Amanz hampir 15 tahun yang lalu. Terdapat banyak memori manis antara saya dan Sony Xperia maka ia perlu dimasukkan dalam senarai ini.


Terdapat banyak lagi produk ikonik keluaran Sony tetapi kesemua yang di atas saya rasakan paling memberikan kesan kepada Sony dan juga dunia teknologi. Selamat Hari Jadi yang ke 80 tahun Sony Corporation. Teruskan berinovasi.