PONTIAN – Semua bahagian UMNO di seluruh Negara diminta mengaktifkan segera jentera pilihan raya masing-masing sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ketua Sekretariat War Room UMNO Malaysia, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, persiapan itu perlu dimulakan sekarang kerana November ini genap empat tahun selepas PRU15.
Menurutnya, tempoh berkenaan perlu dimanfaatkan UMNO untuk memastikan jentera parti di semua peringkat berada dalam keadaan bersiap sedia dan tidak menunggu sehingga PRU diumumkan.
“Bulan 11 ini sudah empat tahun PRU. Tinggal tiga bulan lagi untuk cukup empat tahun dan selalunya pilihan raya berlaku antara tahun keempat dan tahun kelima.
“Jadi, bermula November sehingga November tahun depan, kita perlu bersedia. Tidak boleh tidak, akan ada PRU,” katanya selepas jamuan ringan bersama masyarakat Tionghua di Kampung Parit Bugis pada Ahad.
Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, mengulangi gesaan supaya PRU16 disegerakan sebelum tempoh Parlimen Penggal Ke-15 tamat tahun depan.
Pada masa sama, Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, gesaan itu selari dengan Tekad 16 yang diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bagi memperkukuh kesiapsiagaan parti menghadapi PRU.
"Tekad 16 merangkumi usaha meneguhkan UMNO, mengeratkan saf Barisan Nasional (BN), memperkasakan media sosial dan penerangan serta menganjakkan strategi menerusi persefahaman dan rundingan, selain mendekati rakyat bagi menyelesaikan masalah mereka.
"Semua perkara yang digariskan dalam Tekad 16 ketika penggulungan perbahasan Ucapan Dasar Presiden perlu dilaksanakan oleh bahagian UMNO," jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Ahmad Maslan mengakui wujud ‘mood’ dalam kalangan perwakilan UMNO dan Pas untuk kedua-dua parti bekerjasama menghadapi PRU akan datang berdasarkan perkembangan pada PAU16 dan Muktamar Tahunan Pas Ke-72, baru-baru ini.
"Perkara itu dapat dilihat apabila kedua-dua parti saling menjemput pemimpin masing-masing menghadiri perhimpunan dan muktamar.
"Bagaimanapun soal persefahaman dan rundingan politik perlu diserahkan kepada pucuk pimpinan untuk diperincikan, termasuk membabitkan hala tuju kerjasama UMNO dengan parti lain," ujarnya.






