UMNO Sabah kekal pendekatan ‘politik damai’ dengan GRS

LocalPolitics
13 Sep 2026 • 8:07 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: UMNO Sabah kekal pendekatan ‘politik damai’ dengan GRS

KUALA LUMPUR: UMNO Sabah mahu mengekalkan pendekatan ‘politik damai’ dan diplomasi dalam hubungan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Langkah itu bagi memastikan kestabilan kerajaan negeri terus terpelihara menjelang Pi­lihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Pengerusi Badan Perhubu­ngan UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, pendekatan berkenaan dilihat lebih bijaksana berbanding memilih politik konfrontasi.

Katanya, sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpa­duan Sabah ketika ini, UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu mengutamakan kepen­tingan rakyat serta memastikan hubungan baik antara parti-parti yang membentuk kerajaan terus diperkukuhkan.

“Pandangan saya secara peribadi memang begitulah keadaan saya. Saya lebih memilih untuk perbincangan kerana apa pun we are nation, sama-sama rakyat Malaysia dan juga orang Sabah.

“Jadi, tidak perlu kita bertegang. Mungkin masa dahulu kita dipimpin oleh seorang yang boleh dikatakan fighter, cara dan pembawaan dia mungkin berbeza, tetapi tidak semestinya salah.

“Tetapi pada ketika ini, rasanya pendekatan ini lebih nampak bijaksana untuk memastikan UMNO dan BN dapat kita ikhlaskan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Katanya lagi, hubungan antara parti-parti dalam kerajaan negeri Sabah ketika ini menunjukkan sinergi yang cukup baik, selain wujud komitmen dan kerjasama da­lam memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar.

“Saya penuh yakin kerjasama dan komitmen parti-parti yang ada di dalam kerajaan perpaduan mampu kita jalinkan dan perkukuhkan, berkemungkinan bermula pada PRU16 ini.

“Saya optimis hubungan baik ini dapat kita teruskan pada masa-masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, UMNO dan BN perlu menggunakan kedudukan mereka dalam kerajaan untuk membantu serta membela kepentingan rakyat di seluruh Sabah.

Katanya, walaupun UMNO dan BN hanya mempunyai enam kerusi dalam pembentukan kerajaan negeri ketika ini, ia tetap membolehkan parti itu memainkan peranan dalam menyuarakan kepentingan rakyat.

“Kami sedar bahawa kami hanya ada enam kerusi dan memahami hakikat bahawa kami bukan lagi macam dahulu, sebuah parti yang dominan.

“Namun, kami bersyukur kerana masih berada dalam kerajaan yang ada pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata, penerimaan terhadap kedudukan UMNO dalam kerajaan ketika ini secara umumnya adalah baik meskipun terdapat ketidakpuasan hati dalam kalangan sesetengah pihak.-UTUSAN.

The post UMNO Sabah kekal pendekatan ‘politik damai’ dengan GRS appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved