
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Berita Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, yang mengumumkan keluar dari parti itu serta-merta hari (25 Jun) ternyata mencuri perhatian ramai.
Lebih mengejutkan apabila Mohd Puad mendakwa keputusan itu dibuat kerana UMNO Johor tidak lagi bebas dalam membuat keputusan selain dikawal oleh istana.
Puad Zarkashi keluar buat sebab parti dikawal pihal luar, kecewa anak tak jadi calon – Asyraf Wajdi
Terbaharu Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan pengunduran bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu bukanlah disebabkan parti itu dikawal pihak luar sebaliknya dia kecewa anaknya tidak dilantik menjadi calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Asyraf menerusi satu hantaran di Facebook turut mendedahkan dua tangkap layar perbualan WhatsApp antaranya dan bekas (Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu.
Menerusi tangkap layar tersebut Mohd Puad memaklumakn bahawa beliau sudah tidak berhasrat untuk mempertahankan kerusi disandangnya.
Namun beliau memaklumkan telah memberitahu kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk mempertimbangkan cadang beliau untuk menjadikan anaknya sebagai calon bagi DUN terbabit.
Dalam perbualan sama, Mohd Puad turut menjelaskan akan berundur dari UMNO cadangannya itu tidak dipertimbangkan.
Beliau ugut keluar parti jika UMNO tidak pertimbang anaknya sebagai calon DUN Rengit – Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi turut menzahirkan rasa kesal dengan alasan pengunduran Mohd Puad yang disifatkannya berbaur fitnah sehingga terbubarnya DUN Johor pada 1 Jun lalu.
“Saya amat kesal dengan kenyataan berbaur fitnah beliau yang memberikan alasan utama keluar parti dengan mengaitkan kononnya kerana Istana mengawal UMNO Johor sehingga menitahkan pembubaran DUN Johor pada 1 Jun lalu.
“Sedangkan beliau sendiri menulis kepada saya secara panjang lebar mengugut untuk keluar parti dan akan menghentam parti sekiranya kepimpinan tertinggi UMNO tidak mempertimbangkan untuk anak beliau sebagai calon di DUN Rengit,” kata Asyraf Wajdi lagi.
“Benar, anaknya masih muda dan berpotensi besar untuk dilatih dan diangkat sebagai pemimpin. Namun, tentulah parti mengambil kira banyak faktor dalam pemilihan seseorang calon dalam satu-satu pilihanraya.
“Walau bagaimanapun adalah tidak wajar bagi seorang pemimpin lama dan berpengalaman seperti beliau mengugut parti untuk mensyaratkan anaknya mesti menjadi calon menggantikan tempat beliau di DUN Rengit. Sekiranya tidak dipenuhi maka akan keluar parti bahkan tergamak pula mengugut mahu menghentam parti yang banyak jasa dan menaikkan beliau selama ini.”






