Umno hormati keputusan Adun BN, kekal sokong Kerajaan Perpaduan: Asyraf Wajdi

LocalPolitics
30 Apr 2026 • 8:57 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Umno hormati keputusan Adun BN, kekal sokong Kerajaan Perpaduan: Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR - Umno sudah mendengar penjelasan dan berpendirian menghormati keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan yang hilang kepercayaan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, biarpun sudah mendengar penjelasan tuntas daripada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias mengenai tindakan mereka itu namun dalam masa sama pihaknya akan terus kekal menyokong Kerajaan Perpaduan di negeri itu bagi memastikan kestabilan dan kesejahteraan rakyat terpelihara.

Berdasarkan penjelasan Jalaluddin kepada Asyraf, tindakan itu ada kaitan dengan sikap Aminuddin membelakangkan Institusi Adat dan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan.

Sehubungan itu, katanya, satu pertemuan segera antara Biro Politik Umno dan Biro Politik Pakatan Harapan harus diadakan segera bagi merungkai beberapa isu yang membabitkan prinsip-prinsip perjuangan parti masing-masing.

"Ini seiring dengan Klausa 5(c) Perjanjian Persefahaman dalam membentuk Kerajaan Perpaduan yang menuntut segala isu dasar yang diperselisihkan diselesaikan dalam Majlis Perundingan," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Asyraf berkata, parti itu berpegang teguh kepada asas Perlembagaan Umno menurut Fasal 3.1 yang sentiasa mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu sebagai tonggak kedaulatan negara.

"Umno memandang serius perkembangan mutakhir yang melibatkan krisis Institusi Raja dan Adat Negeri Sembilan hingga mencetuskan polemik besar dan salah faham serius dalam kalangan anggota komponen parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan," katanya.

Jelasnya, ketetapan itu adalah hasil perbincangan dalam Mesyuarat Biro Politik Umno yang berlangsung semalam. - 30 April, 2026

The post Umno hormati keputusan Adun BN, kekal sokong Kerajaan Perpaduan: Asyraf Wajdi appeared first on Scoop.