
Pakatan Harapan meluahkan rasa kesal di atas tindakan yang dibuat 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Barisan Nasional Negeri Sembilan baru-baru ini.
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan, Datuk Fahmi Fadzil menerusi satu kenyataan berkata tindakan tersebut jelas tidak menghayati semangat Kerajaan Perpaduan.
"Pakatan Harapan menolak keras langkah pengkhianatan yang dilakukan UMNO Barisan Nasional Negeri Sembilan untuk cuba menebuk atap dan mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan, apatah lagi alasan tindakan 14 ADUN berkenaan tidak terkait sama sekali dengan prestasi Menteri Besar.
"Tindakan UMNO Barisan Nasional Negeri Sembilan ini telah dilakukan tanpa mempedulikan kebajikan rakyat, malah dilakukan pada ketika Kerajaan Perpaduan dan negara berdepan dengan krisis bekalan global, dan berusaha menguruskan ekonomi serta mengurangkan beban yang dihadapi rakyat," katanya.
UMNO BN Negeri Sembilan Sambut Baik Kesediaan 5 ADUN PN Untuk Bekerjasama
Saya Dititah Teruskan Tanggungjawab Sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan - Aminuddin
Menurutnya lagi, Pakatan Harapan memberi komitmen bahawa seperti yang telah disembah maklum oleh Pengerusi Pakatan Harapan kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, pentadbiran Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar berjalan seperti biasa.
"Pakatan Harapan akan kekal memberi kerjasama kepada kepimpinan Kerajaan Negeri demi kestabilan ekonomi negeri dan kebajikan rakyat.
"Pakatan Harapan juga akan terus mempertahan peranan dan fungsi institusi Raja-Raja Melayu," katanya.





