UMNO Pahang zahir kesyukuran, akan salur sumbangan kepada tabung

LocalPolitics
18 Sep 2026 • 4:39 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: UMNO Pahang zahir kesyukuran, akan salur sumbangan kepada tabung

KUANTAN – UMNO Pahang menyambut menyambut baik inisiatif pelancaran tabung sumbangan bagi membantu Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melunaskan denda berjumlah RM50 juta yang dikenakan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sehubungan itu UMNO Pahang akan turut memberikan sumbangan kepada tabung berkenaan sebagai tanda kebersamaan dan solidariti terhadap inisiatif yang diumumkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi itu.

“Pada masa yang sama UMNO Pahang mengalu-alukan ahli-ahli UMNO di seluruh negeri Pahang yang berhasrat untuk turut menyumbang agar dapat berbuat demikian secara sukarela dan seikhlas hati melalui UMNO bahagian masing-masing.

“Segala urusan kutipan dan penyaluran sumbangan hendaklah dilaksanakan secara telus, teratur serta mematuhi undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa,”katanya di sini hari ini.

Hari ini Kosmo! Online melaporkan Najib diperkenan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 selepas Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya memberikan pengampunan bersyarat kepada beliau hari ini.

Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib.

Seri Paduka Baginda dilaporkan telah memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan menjalani hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 dan ia tertakluk sekiranya beliau membayar denda berjumlah RM50 juta.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, bagi pihak Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang beliau menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah atas keputusan Lembaga Pengampunan yang diumumkan pada hari ini berhubung permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Razak.

“UMNO Pahang dengan penuh takzim merafak sembah menjunjung kasih ke hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas limpah perkenan baginda dalam perkara ini.

“UMNO Pahang turut merafak sembah menjunjung kasih ke hadapan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang atas segala doa, keprihatinan dan usaha baginda sebelum ini berhubung perkara tersebut. Segala perhatian dan keprihatinan baginda amatlah dihargai dan akan sentiasa dikenang dengan penuh rasa hormat dan kesyukuran,”ujarnya.- KOSMO! ONLINE

The post UMNO Pahang zahir kesyukuran, akan salur sumbangan kepada tabung appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved