
PETALING JAYA – Tabung Solidariti Najib Razak bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak melunaskan denda berjumlah RM50 juta yang dikenakan terhadapnya, dilancarkan pada petang ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata, inisiatif itu sebagai tanda keprihatinan dan solidariti keluarga UMNO serta rakyat Malaysia untuk memberikan sokongan kepada Najib yang banyak berjasa kepada negara.
“Susulan perkembangan terkini, Ibu Pejabat UMNO memulakan langkah melaksanakan inisiatif Presiden melancarkan Tabung Solidariti Najib Razak.
“Kepimpinan, ahli UMNO serta seluruh masyarakat dijemput untuk menyumbang secara sukarela mengikut kemampuan masing-masing melalui saluran rasmi berikut.
“Sumbangan boleh disalurkan melalui nombor akaun di bawah yang diseliakan oleh Ibu Pejabat UMNO Malaysia (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu), nombor akaun 8604886094, CIMB Islamic,” katanya menerusi media sosial, petang ini.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, UMNO mengambil inisiatif untuk melancarkan kutipan tabung sumbangan bagi membantu Najib dalam melunaskan denda berjumlah RM50 juta yang dikenakan terhadapnya.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, seluruh kepimpinan, ahli dan penyokong parti serta mereka yang ingin bersama-sama memberikan sokongan, boleh berbuat demikian dengan menyumbang secara sukarela.
Kata beliau, ia akan dilaksanakan menerusi satu inisiatif secara telus, teratur dan mematuhi segala peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa. – KOSMO! ONLINE
The post Inisiatif Tabung Solidariti Najib Razak RM50 juta dilancar petang ini appeared first on Kosmo Online.






