UMNO, Pas perlu bersatu hadapi PRU16, cabaran geopolitik - Syed Ali

LocalPolitics
23 Aug 2026 • 6:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: UMNO, Pas perlu bersatu hadapi PRU16, cabaran geopolitik - Syed Ali
Syed Ali berkata, permuafakatan antara parti politik Melayu disifatkan sebagai selaras harapan rakyat di peringkat akar umbi agar parti-parti berkenaan dapat duduk bersama. Foto Facebook

KUALA LUMPUR - UMNO dan Pas tidak seharusnya bersikap sombong atau angkuh dengan kekuatan politik masing-masing, sebaliknya perlu mengutamakan penyatuan orang Melayu dan umat Islam bagi menghadapi cabaran politik serta geopolitik negara yang semakin kompleks.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berpandangan, kerjasama antara UMNO dan parti politik Melayu juga sewajarnya berorientasikan kepentingan Pilihan Raya Umum (PRU) peringkat Persekutuan dan tidak hanya tertumpu kepada penguasaan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Jika pemimpin UMNO hanya berpuas hati dan berbangga dengan kedudukan mereka menguasai negeri seperti Johor, Melaka dan Negeri Sembilan, saya khuatir hasrat penyatuan umat Melayu keseluruhannya tidak akan menjadi kenyataan.

“UMNO tidak boleh berasa sombong kerana menguasai negeri-negeri berkenaan, begitu juga Pas tidak boleh angkuh kerana bertapak kukuh di negeri-negeri Pantai Timur termasuk di utara Semenanjung,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Ahad.

Menyentuh PRU16 pula, Syed Ali berkata, UMNO dan Pas yang mendukung perjuangan orang Melayu dan umat Islam perlu meneruskan momentum menolak DAP, PKR dan Amanah.

Beliau pada masa sama yakin pemimpin UMNO, khususnya, tidak akan tunduk kepada sebarang bentuk tekanan atau “ugutan politik” daripada pihak tertentu yang bertujuan menggagalkan usaha penyatuan politik antara UMNO dan Pas menerusi gagasan Perikatan Nasional (PN).

"Pemimpin-pemimpin Melayu seperti daripada UMNO dan Pas terutamanya harus jujur, mempunyai prinsip dan keikhlasan bagi memenuhi tuntutan rakyat terutama ahli-ahli diperingkat akar umbi yang mahukan jajaran politik dengan DAP dalam naungan Pakatan Harapan (PH) diputuskan," ujarnya.

Katanya lagi, permuafakatan antara parti politik Melayu disifatkan sebagai selaras harapan rakyat di peringkat akar umbi agar parti-parti berkenaan dapat duduk bersama.

“Rakyat di bawah menaruh harapan besar supaya parti-parti Melayu duduk sebumbung bagi mendepani cabaran geopolitik negara pada masa depan yang lebih mencabar," jelas beliau.

Syed Ali menambah pemimpin politik juga tidak lagi boleh membuat keputusan semata-mata bagi menjaga kepentingan dan keuntungan politik masing-masing, sedangkan ahli serta rakyat berdepan pelbagai tekanan dan masalah. - Awani

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved