Sampai bila akar umbi PKR mampu bertahan dengan BN-UMNO?

LocalPolitics
19 Aug 2026 • 8:40 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sampai bila akar umbi PKR mampu bertahan dengan BN-UMNO?

Kongres Nasional PKR 2026 sudah melabuhkan tirainya, namun persoalan mengenai sejauh mana akar umbi parti itu mampu menerima kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN) dan UMNO masih menjadi perhatian.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap mempertahankan pendirian untuk meneruskan kerjasama dengan BN-UMNO atas pertimbangan kestabilan politik serta kepentingan rakyat dan negara.

Namun, pendirian itu bukan bermakna PKR bersedia berdiam diri atau menerima apa sahaja perkembangan politik yang berlaku tanpa mempertahankan kepentingannya.

Malah, Perdana Menteri memberi bayangan bahawa Pakatan Harapan (PH) dan PKR bersedia mengambil pendirian lebih tegas sekiranya keadaan politik memerlukan tindakan sedemikian.

“Pilihan mereka, biar mereka jawab. Dan kita sebagai satu parti perjuangan, apa-apa pun kita bersedia. Kalau terpaksa langgar, kita terpaksa langgar,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kongres Nasional PKR 2026.

Kenyataan itu membawa mesej tersendiri. PKR mahu mengekalkan kerjasama, tetapi pada masa sama tidak mahu dilihat sebagai terlalu bergantung atau terikat kepada mana-mana rakan dalam kerajaan.

Hakikatnya, apa yang berlaku sepanjang sesi perbahasan kongres berkenaan memperlihatkan bahawa hubungan PKR dengan BN-UMNO bukan lagi isu yang boleh dipandang ringan oleh kepimpinan parti.

Suara yang bergema dari pentas perbahasan cukup jelas apabila sebahagian besar perwakilan mahu PKR menilai semula bentuk dan hala tuju kerjasama politik tersebut.

Malah, ada yang secara terbuka menyuarakan hasrat supaya hubungan dengan BN-UMNO ditamatkan kerana bimbang kedudukan serta kekuatan PKR semakin terjejas.

Lebih menarik, keresahan itu bukan semata-mata berpunca daripada sejarah permusuhan panjang antara PKR dan UMNO, sebaliknya timbul daripada kebimbangan terhadap masa depan parti itu sendiri.

Ada pembahas menggambarkan keadaan seolah-olah BN-UMNO sedang ‘menikam’ PKR secara perlahan-lahan.

Ungkapan itu mungkin kedengaran keras, namun ia menggambarkan keresahan sebahagian akar umbi yang mula melihat PKR berada dalam keadaan serba terhimpit dalam kerjasama politik sedia ada.

Persoalan yang mula timbul ialah sejauh mana PKR perlu terus berkompromi dan adakah terlalu banyak tolak ansur akhirnya boleh menyebabkan identiti serta kekuatan politik parti itu semakin kabur.

Ini kerana PKR bukan sekadar sebuah parti politik biasa. Parti itu lahir daripada gerakan reformasi dengan membawa perjuangan perubahan, keadilan dan penentangan terhadap sistem politik yang suatu ketika dahulu didominasi UMNO dan BN.

Apabila parti yang pernah menjadi seteru politik kini menjadi rakan dalam kerajaan, kepimpinan PKR perlu lebih bijak menjelaskan kepada ahli dan penyokong mengenai keperluan serta manfaat kerjasama tersebut.

Di sinilah terletaknya cabaran sebenar buat Anwar agar memastikan Kerajaan Perpaduan terus stabil demi kepentingan negara, namun pada masa sama tidak boleh membiarkan PKR kehilangan kekuatan akibat terlalu banyak berkompromi.

Kongres kali ini boleh dianggap sebagai ‘lampu kuning’ kepada kepimpinan PKR.

Bagaimanapu, ia belum sampai ke tahap pemberontakan atau tuntutan rasmi supaya parti keluar daripada Kerajaan Perpaduan, namun isyarat daripada akar umbi sudah cukup jelas kerjasama dengan BN-UMNO tidak boleh lagi diteruskan tanpa mengambil kira keresahan ahli.

Anwar mungkin tidak akan mengubah haluan politik secara drastik hanya kerana tekanan daripada perwakilan kerana memutuskan kerjasama secara terburu-buru juga boleh membawa risiko terhadap kestabilan politik yang dibina sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Namun, mempertahankan hubungan tanpa menilai kesannya terhadap PKR juga bukan satu pilihan yang selamat.

Justeru, selepas Kongres PKR 2026, hubungan dengan BN-UMNO dijangka terus kekal, tetapi pendekatan parti itu terhadap kerjasama berkenaan mungkin perlu berubah.

PKR perlu lebih berhati-hati, lebih tegas dan tahu di mana batas kompromi politiknya.

Akhirnya, cabaran Anwar bukan sekadar memastikan Kerajaan Perpaduan terus bertahan, tetapi memastikan dalam usaha mempertahankan kestabilan itu, PKR tidak semakin kehilangan kekuatan dan identiti perjuangannya sendiri. – UTUSAN

The post Sampai bila akar umbi PKR mampu bertahan dengan BN-UMNO? appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved