
KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menggesa parti itu mengakui kelemahan tadbir urus di Lembaga Tabung Haji (TH) sepanjang pentadbiran Barisan Nasional (BN) antara 2014 hingga 2017 seperti yang didedahkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai institusi berkenaan.
Khairy berkata, beliau memahami pendirian beberapa pemimpin UMNO yang menafikan berlakunya salah laku atau rasuah dalam pengurusan TH susulan pendedahan laporan RCI, khususnya ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan baru-baru ini.
Bagaimanapun, menurutnya, pendirian itu tidak lagi memadai sekiranya UMNO benar-benar mahu dilihat sebagai sebuah parti yang sedang melalui proses pembaharuan.
“Saya tidak mengharapkan mereka mengambil pendirian seperti saya ketika kempen pilihan raya. Mungkin ketika itu kita perlu mempertahankan bahawa tiada penyelewengan, hibah lebih tinggi diberikan dan subsidi haji kepada jemaah muassasah dikekalkan.
“Tetapi sekarang, mungkin menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) minggu depan, sudah tiba masanya UMNO berterus terang dan mengakui wujud kelemahan dalam tadbir urus.
“Jika kita mengambil pendirian itu, sekurang-kurangnya rakyat akan melihat UMNO menunjukkan perubahan dan kesungguhan untuk memulihkan parti kerana sanggup mengakui kelemahan sendiri.
“Kita faham ketika kempen PRN Negeri Sembilan perkara itu sukar diperkatakan, namun sekurang-kurangnya di PAU perlu ada suara yang menyatakan isu ini tidak boleh lagi disapu ke bawah karpet. Apa juga kelemahan, kegagalan atau kesilapan perlu diakui,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengendalikan podcast Keluar Sekejap seperti dilaporkan Berita Harian.
Laporan RCI Tabung Haji yang dinyahklasifikasikan minggu lalu mendedahkan kedudukan kewangan TH berada pada tahap kritikal pada 2017 apabila kerugian terkumpul mencecah RM10 bilion.
Laporan itu turut menyatakan kerajaan ketika itu terpaksa melaksanakan pelan pemulihan segera bagi menstabilkan institusi yang menguruskan simpanan dan urusan ibadah haji umat Islam di negara ini.
Sementara itu, bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan yang turut mengendalikan podcast berkenaan berkata, isu tersebut memberi peluang kepada UMNO untuk membuktikan kematangan politik dengan mengakui kelemahan sendiri, terutama ketika parti itu dilihat kembali mendapat sokongan rakyat.
Menurutnya, UMNO tidak boleh menganggap peningkatan sokongan semasa sebagai alasan untuk mengelakkan proses pembaharuan, permohonan maaf dan penambahbaikan, sebaliknya perlu menjadikannya sebagai asas untuk mengekalkan momentum politik parti. - Getaran, 5 Ogos 2026






