SHAH ALAM - UMNO Selangor menegaskan pendirian parti itu kekal konsisten menjunjung dan mempertahankan institusi Raja Berperlembagaan daripada sebarang bentuk penghinaan, fitnah serta cubaan memperlekehkan martabat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Pengerusinya, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, pihaknya menyokong penuh kenyataan rasmi Ahli-Ahli Dewan Diraja Selangor pada Rabu berhubung peranan dan tanggungjawab Sultan Selangor sebagai Raja Berperlembagaan.
Menurutnya, kenyataan itu penting bagi memperjelaskan kepada rakyat bahawa setiap titah, nasihat, teguran dan peringatan Sultan Selangor adalah selari dengan semangat Raja Berperlembagaan serta demi kepentingan rakyat dan kestabilan negeri.
"Institusi Raja bukan sekadar simbol semata-mata, tetapi sebahagian penting dalam sistem semak dan imbang bagi memastikan pentadbiran negeri berjalan dengan penuh tanggungjawab, berintegriti dan berpaksikan kepentingan rakyat.
"Semua pihak sewajarnya menghormati serta memahami kedudukan dan peranan Sultan Selangor menurut lunas Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor tanpa cuba mempolitikkan atau menimbulkan persepsi negatif terhadap titah baginda," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Megat Zulkarnain berkata, UMNO Selangor sebelum ini turut konsisten mempertahankan titah Sultan Selangor berkaitan isu penternakan babi di negeri itu yang didakwa cuba diputarbelitkan pihak tertentu.
Katanya, parti itu juga mengecam tindakan biadab menyunting serta menghina imej Sultan Selangor yang disifatkan melampaui batas adab, budaya dan prinsip menghormati institusi Raja.
"Bagi UMNO Selangor, institusi Raja Melayu adalah payung negeri, lambang perpaduan rakyat serta benteng kestabilan yang wajib dipelihara dan dihormati semua pihak tanpa mengira latar politik," tambah beliau.
Dalam pada itu, beliau menyeru semua pihak supaya lebih matang, berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan berkaitan institusi Kesultanan serta tidak menjadikan perkara melibatkan Sultan Selangor sebagai polemik politik sempit.
"Tumpuan utama semua pihak seharusnya terarah kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat, memperkukuh kestabilan negeri dan memastikan pentadbiran berjalan berkesan selaras dengan semangat Raja Berperlembagaan," jelas beliau.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan, Ahli-Ahli Dewan Diraja Selangor menyangkal dakwaan segelintir pemimpin politik yang mendakwa titah Sultan Selangor mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri.
Menerusi satu kenyataan rasmi, Dewan Diraja Selangor menegaskan titah baginda sempena pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 20 April lalu adalah selari dengan konsep Raja Berperlembagaan diamalkan di negara ini.




