
UMNO Malaysia Hormati Pendirian 14 ADUN, Tapi Kekal Sokong Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan
Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) menegaskan pendirian untuk terus mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu sebagai tonggak kedaulatan negara, susulan perkembangan terkini yang mencetuskan polemik dan salah faham serius di Negeri Sembilan.
Menerusi kenyataan Dr Asyraf Wajdi Dusuki di Facebook, mesyuarat Biro Politik UMNO yang berlangsung telah membincangkan secara mendalam isu melibatkan krisis Institusi Raja dan Adat di negeri berkenaan.
Menurut beliau, UMNO kekal berpegang teguh kepada Perlembagaan parti, khususnya Fasal 3.1, yang menekankan kepentingan mempertahankan institusi beraja sebagai asas utama negara.
“UMNO memandang serius perkembangan mutakhir yang bukan sahaja mencetuskan polemik besar, malah menimbulkan salah faham dalam kalangan anggota parti komponen Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya turut mengambil maklum penjelasan daripada pimpinan UMNO Negeri Sembilan berhubung tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional yang didakwa hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar negeri itu.
UMNO hormati pendirian wakil rakyat BN kekal dengan keputusan mereka
Situasi berkenaan dikaitkan dengan dakwaan sikap pentadbiran negeri yang dilihat membelakangkan Institusi Adat dan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan.
Dalam masa sama, UMNO menyatakan pendirian untuk menghormati keputusan wakil rakyat Barisan Nasional yang masih kekal dengan pendirian tersebut, namun menegaskan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan perlu diteruskan demi kestabilan dan kesejahteraan rakyat.
Sehubungan itu, UMNO menggesa agar satu pertemuan segera diadakan antara Biro Politik parti itu dan Pakatan Harapan bagi merungkai isu yang timbul.
Menurut kenyataan tersebut, langkah itu selaras dengan peruntukan dalam perjanjian persefahaman Kerajaan Perpaduan yang menetapkan sebarang pertikaian dasar perlu diselesaikan melalui saluran rundingan rasmi.
UMNO turut menegaskan komitmennya untuk memastikan segala isu diselesaikan secara harmoni tanpa menjejaskan kestabilan politik negara.
"Satu pertemuan segera antara Biro Politik UMNO dan Biro Politik Pakatan Harapan harus diadakan segera bagi merungkai beberapa isu yang melibatkan prinsip-prinsip perjuangan parti masing-masing
"Ini seiring dengan Klausa 5(c) Perjanjian Persefahaman dalam membentuk Kerajaan Perpaduan yang menuntut segala isu dasar yang diperselisihkan diselesaikan dalam Majlis Perundingan," kata hantaran itu lagi.







