UMNO Sungai Siput sumbang RM30,000 untuk Najib

LocalPolitics
21 Sep 2026 • 5:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: UMNO Sungai Siput sumbang RM30,000 untuk Najib
Mohd Zolkafly (empat dari kanan) menyerahkan cek bernilai RM30,000 sebagai sumbangan UMNO Bahagian Sungai Siput kepada Tabung Solidariti Najib sempena Majlis Pelancaran Tabung Solidariti Najib Razak Peringkat UMNO Bahagian Sungai Siput di Wisma UMNO Sungai Siput pada Isnin.

SUNGAI SIPUT – UMNO Bahagian Sungai Siput menyumbang sebanyak RM30,000 kepada Tabung Solidariti Najib Razak sebagai sokongan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sumbangan tersebut diberikan sempena Majlis Pelancaran Tabung Solidariti Najib Razak Peringkat UMNO Bahagian Sungai Siput di Wisma UMNO Sungai Siput pada Isnin.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Siput, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, pelancaran tabung berkenaan sebagai tanda keprihatinan dan semangat setiakawan ahli parti terhadap bekas Presiden UMNO itu.

“Solidariti ini bukan sekadar dizahirkan melalui kata-kata, malah diterjemahkan melalui tindakan yang nyata.

“Selain sumbangan rasmi RM30,000 daripada UMNO Bahagian Sungai Siput, sumbangan tambahan daripada ahli dan penyokong mencerminkan keikhlasan serta kebersamaan keluarga besar UMNO dalam menyatakan solidariti kepada Datuk Seri Najib,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Majlis pelancaran dihadiri Setiausaha UMNO Perak, Datuk Dr Aminuddin Md Hanafiah dan Setiausaha Eksekutif UMNO Perak, Datuk Mohd Salleh Disa serta kepimpinan UMNO Bahagian Sungai Siput.

Pada 19 September lalu media melaporkan Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan bagi membantu bekas Perdana Menteri itu melunaskan denda RM50 juta kini mencecah RM1 juta.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jumlah berkenaan dicatatkan pada jam 9.30 pagi Sabtu selepas tabung tersebut dilancarkan pada Jumaat.

Sementara itu, Mohd Zolkafly turut merafak sembah dan menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar atas perkenan pengampunan bersyarat yang dikurniakan kepada Najib.

Beliau pada masa sama merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta semua pihak yang mengemukakan rayuan bagi pihak bekas Perdana Menteri itu.

Katanya, setiap sumbangan yang diberikan amat bermakna dan mencerminkan semangat perpaduan dalam kalangan ahli UMNO Bahagian Sungai Siput.

Tabung Solidariti Najib Razak tersebut dilancarkan UMNO bagi membantu meringankan beban Najib dalam melunaskan denda RM50 juta susulan keputusan membenarkannya menjalani baki hukuman secara tahanan rumah.

Sebelum ini Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan membenarkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu menjalani baki hukuman secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Bagaimanapun, pengampunan bersyarat tersebut tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta syarat yang ditetapkan.

Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang bersidang pada 18 September lalu.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved