
KUALA LUMPUR - UMNO akan menaja seramai 10,000 mahasiswa dari keluarga golongan berpendapatan rendah (B40) bagi membantu mereka melanjutkan pelajaran secara percuma.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, mereka akan dikecualikan bayaran pengajian sepenuhnya.
"Saya ucapkan tahniah atas pelancaran Tabung Pendidikan UMNO sempena persidangan kita pada kali ini. Sehubungan itu, saya maklumkan mengenai program sulung yang diperkenalkan oleh bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
"Bagi tahun 2023 dan seterusnya kita akan mantapkan lagi di mana kita akan taja seramai 10,000 mahasiswa yang merupakan wakil pertama dari keluarga B40 berjaya masuk ke universiti awam, mereka semua akan dikecualikan bayaran yuran pengajian sepenuhnya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika Ucapan Penggulungan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) pada Sabtu.
Justeru, Menteri Pengajian Tinggi tersebut meminta kerjasama daripada pemimpin di kawasan masing-masing untuk mengenal pasti pelajar dari golongan B40 untuk menyertai program tersebut.
"Oleh itu, saya berharap pemimpin dan ahli UMNO sama-sama mengesan anak-anak B40 di kawasan masing-masing yang pertama dapat masuk ke institut pengajian tinggi awam (IPTA) supaya mereka layak menyertai program sulung ini.
"Maknanya mereka akan dikecualikan bayaran di universiti awam sepenuhnya," jelasnya.


