SEREMBAN – UMNO tidak terkesan dengan kritikan mana-mana pihak termasuk Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung inisiatif Rumah Bangsa oleh parti itu.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara paling penting yang sedang diberi perhatian oleh UMNO ketika ini adalah untuk bangkit semula selepas ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum(PRU)14 dan PRU15.
Malah ujarnya, UMNO juga kini dalam keadaan lebih stabil dan merupakan satu-satunya parti yang paling harmoni berbanding parti lain.
"Sekarang UMNO dalam proses untuk bangkit semula dan kita mahu supaya parti ini bermula daripada dalam serta satu-satunya parti dalam negara kita yang harmoni.
"Kita nak membina kekuatan kita di atas asas keharmonian itu. Jadi kita tak kisahlah orang nak label kita rumah hantu ke apa ke, terpulanglah," katanya ditemui pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa UMNO Parlimen Rembau di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian mengulas kritikan Abdul Hadi terhadap Rumah Bangsa yang disifatkannya sebagai struktur politik yang tidak selamat dan yang dimasuki hantu menjadi penunggu sehingga membahayakan penghuninya.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata, banyak perkara 'flip-flop' yang sering dilakukan oleh Abdul Hadi selain selalu bercakap tidak serupa bikin.
"Jadi, membazir dan membuang masa saya untuk memberi komen terhadap apa yang beliau cakap," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan bahawa UMNO telah pun membincangkan tentang kesiapsiagaan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri(PRN) Melaka dan Johor.
Bagaimanapun ujarnya, setakat ini masih tiada sebarang keputusan bila PRN bagi kedua-dua negeri terbabit akan diadakan.
"Sama ada nak buat Melaka dulu, Johor kemudian atau pun buat secara serentak, itu belum diputuskan lagi oleh parti.
"Sekarang ini kita telah pun mengarahkan Cawangan UMNO untuk bermesyuarat awal bulan April sehingga bulan Mei dan Bahagian UMNO daripada bulan Jun sampai Julai supaya nanti kita dapat menumpukan untuk membantu rakan-rakan di Melaka dan juga di Johor," katanya.
Ditanya kemungkinan PRU akan diadakan secara serentak dengan PRN, beliau memberitahu, tidak mahu membuat spekulasi yang boleh mendatangkan keadaan tidak tenteram dalam kalangan rakyat kerana ia adalah kuasa prerogatif Perdana Menteri.
Tambahnya, usaha kerajaan dan UMNO/Barisan Nasional ketika ini adalah untuk memastikan momentum baik perkembangan ekonomi termasuklah persediaan bagi menghadapi kesan peperangan di Asia Barat kepada negara.
