
Umno tangguh pemilihan parti sehingga selepas PRU16 bagi tumpu kekuatan dalaman hadapi pilihan raya negeri dan umum, kata Asyraf Wajdi.
KUALA LUMPUR: Penangguhan pemilihan Umno adalah bagi memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Setiausaha Agung Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata parti itu juga memerlukan kekuatan dalaman bagi berdepan Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor serta PRU16.
“Fokus kita pilihan raya dulu. Kalau kita sibuk dengan pemilihan nanti, macam-macam cerita pula,“ katanya.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam bahawa parti hanya akan mengadakan pemilihan selepas PRU16.
Penangguhan itu dilaksanakan berdasarkan pindaan perlembagaan parti yang diluluskan Perhimpunan Agung Khas Umno pada 2022.
Pindaan itu membenarkan penangguhan pemilihan tidak melebihi 18 bulan dari tarikh asal atau tidak lebih enam bulan selepas sesuatu Pilihan Raya Umum.
Kali terakhir pemilihan Umno dibuat pada 2023 dengan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi mengesahkan Umno belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin untuk menyertai semula parti itu. – Bernama
