
UMNO menggesa pihak bertanggungjawab memberikan penjelasan rasmi berhubung status penyahklasifikasian minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang berkaitan dengan pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, gesaan itu dibuat susulan kenyataan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua yang mendakwa minit mesyuarat berkenaan telah dinyahklasifikasikan.
Menurutnya, Tony turut berkongsi beberapa halaman dokumen yang dikatakan merupakan sebahagian daripada minit mesyuarat tersebut.
Azalina berkata, pada 12 November lalu, Menteri Dalam Negeri memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa beliau bersedia membawa cadangan penyahklasifikasian dokumen berkenaan kepada Jemaah Menteri.
Bagaimanapun, selepas mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 November, Jurucakap Kerajaan menjelaskan cadangan tersebut belum dibangkitkan secara langsung dalam mesyuarat berkenaan dan prosesnya masih diatur dengan mengambil kira keperluan undang-undang.
“Bagi dokumen yang berstatus rahsia rasmi, keputusan untuk mengelaskan semula hendaklah dibuat oleh pihak yang berkuasa di bawah Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 [Akta 88] mengikut tatacara yang terpakai,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, Azalina berkata, UMNO menuntut penjelasan sama ada minit mesyuarat tersebut telah dikelaskan semula secara rasmi, termasuk tarikh keputusan dibuat dan pihak yang mempunyai kuasa melaksanakannya.
Selain itu, UMNO turut meminta penjelasan mengenai asas kuasa, tatacara serta tujuan penyahklasifikasian dokumen berkenaan.
Katanya, pihak bertanggungjawab juga perlu mengesahkan sama ada salinan dokumen yang kini beredar sepadan dengan rekod rasmi serta menjelaskan sama ada penyahklasifikasian itu melibatkan keseluruhan minit mesyuarat, termasuk lampiran berkaitan atau hanya bahagian tertentu.
Dalam pada itu, Azalina menegaskan bahawa ketelusan dalam pengendalian rekod Lembaga Pengampunan perlu dilaksanakan selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“UMNO menghormati kedudukan Lembaga Pengampunan dan menjunjung kuasa pengampunan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
The post UMNO tuntut penjelasan status minit Lembaga Pengampunan Najib appeared first on The Reporter.






