'UMNO yang ceraikan saya’ - Aminuddin

LocalPolitics
27 Apr 2026 • 7:38 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'UMNO yang ceraikan saya’ - Aminuddin
Aminuddin (tengah) bersama Anthony (kiri) dan MK Ibrahim pada sidang akhbar krisis Negeri Sembilan di Seremban pada Isnin.

SEREMBAN - “Bukan saya cerai, UMNO yang ceraikan saya, nampak macam talak tiga.”

Demikian seloroh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berhubung krisis di Negeri Sembilan ketika ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya media berhubung kerjasama dengan BN selepas kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu sebulat suara mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinannya.

Aminuddin berkata, walaupun terkejut dengan situasi itu namun menerima krisis terbabit dengan hati terbuka.

“Saya boleh senyum, insya-ALLAH boleh tidur. Kita berserah kepada ALLAH SWT. Semua yang berlaku ini pasti ada sebab dan telah diatur oleh ALLAH SWT.

“Saya kena terima apa pun keputusan selepas ini dan yang mendatang. Tak ada masalah, saya boleh tidur. Saya pun lapar.

“Ahli keluarga pun okey, Alhamdulillah mereka terima walaupun pada awalnya terperanjat,” katanya ditemui pada sidang akhbar di kediaman rasmi Menteri Besar pada Isnin.

Turut hadir Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman

Aminuddin berkata, beliau akan terus menumpukan perkhidmatan di peringkat negeri seperti biasa, sementara menyerahkan kepada pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk tindakan seterusnya.

“Masih-masing ada pucuk pimpinan di peringkat atasan. Saya rasa itu terpulang kepada pucuk pimpinan PH.

“Jadi, saya serahkan kepada pimpinan di peringkat atasan. Saya di peringkat negeri akan jalankan tugas seperti biasa. Saya akan pastikan negeri berjalan dengan baik.

“Laporan akan terus dibuat kepada kerajaan negeri. Kita dalam keadaan yang sesuai untuk mentadbir. Itu sahaja. Insya-ALLAH saya akan bekerja lebih kuat lagi,” katanya.