[VIDEO] Krisis Negeri Sembilan: 14 ADUN BN umum hilang kepercayaan, tarik sokongan terhadap Aminuddin- Jalaluddin

LocalPolitics
27 Apr 2026 • 10:53 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: [VIDEO] Krisis Negeri Sembilan: 14 ADUN BN umum hilang kepercayaan, tarik sokongan terhadap Aminuddin- Jalaluddin
Image from: [VIDEO] Krisis Negeri Sembilan: 14 ADUN BN umum hilang kepercayaan, tarik sokongan terhadap Aminuddin- Jalaluddin
Sidang media khas UMNO Negeri Sembilan pada Isnin.

SEREMBAN - [KEMAS KINI] Kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan sebulat suara mengumumkankan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, keputusan itu dibuat susulan krisis yang membabitkan institusi adat dan perlembagaan negeri.

"Kesemua 14 ADUN UMNO-BN Negeri Sembilan dengan ini sebulat suara hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar dan menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinannya.

"Pemakluman rasmi akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri dan juga Setiausaha Dewan Undangan Negeri selepas selesai sidang media ini," katanya dalam sidang media khas di sini pada Isnin.

Krisis adat di Negeri Sembilan mencuri tumpuan susulan tindakan undang luak mengisytihar menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balai Undang Luak Sungei Ujong. 

Sebelum itu, Aminuddin dalam kenyataannya memaklumkan, Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan menasihatkan Luak Sungei Ujong agar menerima pemberhentian Datuk Mubarak Dohak sebagai penyandang pesaka Dato' Klana Petra luak berkenaan.

Berikutan krisis berkenaan juga, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang sepatutnya berlangsung selama empat hari terpaksa ditangguhkan ke suatu tarikh yang belum ditetapkan walaupun istiadat pembukaan sidang berkenaan telah disempurnakan oleh Tuanku Muhriz pada Khamis lalu

Dalam pada itu, Jalaluddin menegaskan, UMNO-BN memberikan sokongan penuh dan mempertahankan institusi adat dan perlembagaan serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan selain keperluan kerajaan negeri yang stabil.

Menurutnya, ADUN UMNO-BN menzahirkan kekecewaan selain barisan exco daripada gabungan parti itu tidak pernah dimaklumkan dalam sebarang perbincangan di peringkat kerajaan negeri susulan krisis berkenaan.

"Kami hanya mengetahui krisis tersebut apabila keadaan sudah berada pada tahap kritikal sehingga menjadi perdebatan umum. 

"Sebagai sebuah parti yang sangat menghormati institusi adat dan perlembagaan, kami tidak akan sesekali mengambil pendirian untuk mencampuri urusan yang berkaitan. 

"Menteri besar sewajarnya memainkan peranan dan menggunakan kebijaksanaan beliau sebagai menteri besar dalam krisis ini," katanya.

Menurutnya, krisis yang berlaku itu dilihat bakal menjejaskan pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan dan secara tidak langsung memberi kesan mendalam kepada kestabilan kerajaan serta keharmonian rakyat.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023, Pakatan Harapan (PH) memenangi 17 kerusi membabitkan DAP (11), Parti Keadilan Rakyat (PKR) (5) dan Amanah (1), UMNO BN menyumbang 14 kerusi, manakala Pas (3) dan Bersatu (2).