Umpan RM5 & Mi Goreng, Warga Emas 73 Tahun Disyaki Cabul Dua Budak Perempuan Dalam Stor Masjid

25 Jun 2026 • 6:29 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Umpan RM5 & Mi Goreng, Warga Emas 73 Tahun Disyaki Cabul Dua Budak Perempuan Dalam Stor Masjid

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Seorang warga emas berusia 73 tahun hari ini (25 Jun) ditahan polis selepas dia disyaki mencabul dua murid perempuan yang masing-masing berusia lapan dan 10 tahun.

Warga emas yang merupakan kariah masjid itu dipercayai melakukan perbuatan keji berkenaan dalam sebuah stor masjid di Semabok, Melaka.

Warga Emas Didakwa Umpan Mangsa RM5 & Mi Goreng Sebelum Cabul Kedua-Dua Mangsa

Menurut Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, insiden berkenaan berlaku pada 16 Jun lalu dan kedua-dua mangsa merupakan pelajar sekolah yang terletak berhampiran masjid tersebut.

Jelas Dzulkhairi, kedua-dua mangsa dipercayai berada di kawasan masjid sementara menunggu ibu bapa datang menjemput mereka selepas waktu persekolahan.

“Suspek yang merupakan seorang kariah tetap masjid berkenaan dipercayai telah mengumpan mangsa dengan wang tunai RM5 dan mi goreng segera sebelum membawa mereka ke dalam stor masjid.

“Di dalam stor tersebut, suspek dipercayai menyentuh dan mencium mangsa,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.

Insiden Didakwa Berlaku Berulang Kali, Minta Mangsa Tidak Memberitahu Sesiapa

Terang Dzulkhairi lagi, perbuatan keji itu didakwa berlaku berulang kali dalam tempoh dua minggu melibatkan mangsa yang sama.

Lebih mengejutkan, kedua-dua mangsa turut diminta untuk tidak menceritakan tentang kejadian tersebut kepada sesiapa.

Pihak Sekolah Perubahan Tingkah Laku Kepada Mangsa, Jadi Lebih Pendiam

Walau bagaimanapun, pihak sekolah menyedari perubahan tingkah laku mangsa yang berubah menjadi pendiam sebelum kedua-duanya dipanggil untuk sesi kaunseling.

“Dalam sesi kaunseling itu, mangsa telah menceritakan kejadian yang berlaku. Pihak sekolah kemudian memaklumkan kepada penjaga sebelum laporan polis dibuat,” jelasnya.

Suspek Tiada Rekod Kesalahan Lampau, Direman 7 Hari Bagi Membantu Siasatan

Jelas Dzulkhairi, suspek kini telah ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini (25 Jun) bagi membantu siasatan.

Tambahnya, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan ini merupakan kes pertama yang dikaitkan dengannya.

“Setakat ini tiada unsur rogol dikenal pasti dan siasatan masih diteruskan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” ujarnya.

Pada masa sama, Dzulkhairi turut menasihati ibu bapa serta penjaga agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak dan memastikan mereka tidak dibiarkan bersendirian atau berkeliaran tanpa pengawasan di mana sahaja mereka berada.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved