Umpan RM5, mi goreng: Warga emas ditahan kes cabul dua kanak-kanak

25 Jun 2026 • 4:45 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Umpan RM5, mi goreng: Warga emas ditahan kes cabul dua kanak-kanak

SHAH ALAM, 25 JUN: Tindakan seorang warga emas yang didakwa mengumpan dua murid perempuan dengan wang RM5 dan mi goreng sebelum mencabul mereka di sebuah stor masjid di Semabok, Melaka, terbongkar selepas kedua-dua mangsa menceritakan kejadian itu kepada guru kaunseling.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek berusia 73 tahun dipercayai melakukan perbuatan itu terhadap kanak-kanak berusia lapan dan 10 tahun beberapa kali dalam tempoh kira-kira dua minggu sejak 16 Jun lalu.

Beliau berkata, lelaki yang tidak berkahwin dan merupakan kariah masjid berkenaan turut meminta kedua-dua mangsa merahsiakan kejadian itu, namun guru mula mengesyaki sesuatu selepas melihat perubahan tingkah laku mereka yang menjadi lebih pendiam.

"Mangsa dipanggil untuk sesi kaunseling oleh guru sebelum menceritakan hal berkenaan.

"Penjaga murid itu kemudian dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan sebelum membuat laporan polis semalam dan kedua-dua mangsa masih diberikan kaunseling," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang hari ini seperti dilaporkan BH.

Dzulkhairi berkata, kejadian dipercayai berlaku pada waktu tengah hari selepas tamat sesi persekolahan ketika kedua-dua mangsa menunggu ibu bapa mereka di kawasan masjid berhampiran sekolah.

"Dari situ mangsa diumpan suspek yang kemudian membawa mereka ke stor sebelum didakwa melakukan perbuatan cabul, namun tidak berlaku kejadian rogol," katanya.

Beliau berkata, susulan laporan polis yang dibuat oleh penjaga mangsa, suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau ditahan untuk membantu siasatan.

"Suspek direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved