UMPSA terus cemerlang tersenarai Shanghai Ranking’s Global Ranking of Academic Subjects 2026

15 Sep 2026 • 4:12 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: UMPSA terus cemerlang tersenarai Shanghai Ranking’s Global Ranking of Academic Subjects 2026

PEKAN: Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus cemerlang dalam bidang akademik dan penyelidikan apabila buat pertama kalinya tersenarai dalam Shanghai Ranking’s Global Ranking of Academic Subjects (GRAS) 2026 bagi subjek Energy Science & Engineering yang diumum hari ini.

Dalam penarafan Shanghai Ranking’s Global Ranking of Academic Subjects (GRAS) 2026 menyaksikan Subjek Energy Science & Engineering UMPSA berada pada kedudukan 301-400 terbaik dunia.

GRAS menilai prestasi universiti di seluruh dunia berdasarkan beberapa indikator utama meliputi World-Class Faculty, World-Class Output, High-Quality Research, Research Impact dan International Collaboration.

Pencapaian ini mengekalkan kedudukan UMPSA sebagai universiti teknologi nombor 1 terbaik dalam kalangan Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

UMPSA turut berada antara tujuh terbaik di Malaysia bagi bidang berkenaan, sekali gus mencerminkan kecemerlangan universiti dalam memperkukuh penyelidikan berkaitan tenaga dan teknologi mampan dan penyelesaian berorientasikan masa depan.

Naib Canselor UMPSA, Prof Ts Dr Yatimah Alias berkata, pencapaian tersebut merupakan pengiktirafan terhadap usaha kolektif seluruh warga universiti yang sentiasa berusaha meningkatkan kualiti pendidikan, memperkasa inovasi dan melahirkan graduan berdaya saing di peringkat global.

Lebih membanggakan, UMPSA turut menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dalam indikator utama penilaian GRAS bagi bidang berkenaan.

Bagi indikator International Collaboration, UMPSA berada pada kedudukan ke-74 dunia, manakala World-Class Faculty menyaksikan universiti berada pada kedudukan 140-147 dunia.

Ujarnya , kerjasama strategik UMPSA dengan rakan strategik antarabangsa dan industri banyak menyumbang dan membantu kepakaran termasuk program mobiliti staf dalam mempertingkatkan kualiti akademik dan penyelidikan.

Ini termasuklah program kerjasama Ijazah dual antara UMPSA dan Beijing Jiaotong University (BJTU) yang telah terjalin sejak 2021.

“Program Ijazah Dual UMPSA-BJTU yang memasuki kohort ke-5 telah melahirkan graduan yang kini menyumbang kepada pembangunan industri rel di Malaysia.

Lain-lain termasuklah program kerjasama dengan Tianjin University, Hebei University (HBU) dan Ningxia University,” katanya.

Sehingga kini UMPSA satu-satunya universiti awam yang melaksanakan 13 Program Ijazah Dual, membabitkan rakan strategik dari Jerman, China, Korea Selatan dan Kazakhstan. Pelajar memperoleh dua ijazah daripada dua institusi berbeza, sekali gus meningkatkan daya saing global pelajar.

Sementara itu, bagi indikator Research Impact, UMPSA menduduki tempat ke-231 dunia yang memperlihatkan kekuatan hasil penyelidikan universiti dalam bidang Energy Science & Engineering.

Kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan UMPSA dalam memperkukuh kecemerlangan akademik, penyelidikan berimpak tinggi, pengantarabangsaan serta hubungan strategik dengan industri, selaras dengan aspirasi universiti untuk menjadi Hab TVET Termaju menjelang 2030.

Ujarnya, sebagai universiti terbaik MTUN, pencapaian ini yang amat membanggakan dan mencerminkan kekuatan ekosistem pendidikan, penyelidikan dan kolaborasi industri yang dibangunkan UMPSA.

Dalam pada itu, UMPSA juga bekerjasama dengan industri strategik dan kerajaan negeri yang bakal menjadi pemangkin kepada lebih banyak penyelidikan bersama, pertukaran kepakaran, pembangunan bakat, penerbitan serta peluang mendapatkan geran kompetitif antarabangsa.

“Kejayaan ini turut menjadi pemangkin untuk UMPSA terus memperkukuh reputasi sebagai universiti teknologi dan kejuruteraan bertaraf dunia dalam menyumbang kepada pembangunan negara melalui pendidikan TVET termaju,” katanya.

Kejayaan ini amat bermakna tatkala universiti ini bakal meraikan Sambutan Jubli Perak UMPSA menjelang Ulang Tahun UMPSA ke-25 pada tahun depan.

Kejayaan UMPSA dalam bidang Energy Science & Engineering ini turut memperlihatkan kekuatan universiti dalam menggabungkan kepakaran akademik, penyelidikan dan kerjasama industri bagi menghasilkan teknologi yang menyokong peralihan ke arah tenaga lebih bersih dan mampan yang semakin penting dalam mendepani cabaran global berkaitan sekuriti tenaga, perubahan iklim, kecekapan tenaga serta pembangunan teknologi hijau.

Tambah beliau, UMPSA kini beraspirasi menjadi Hab TVET Termaju Asia Pasifik menjelang 2030 dan universiti teknologi terunggul menjelang 2050.

Justeru, bagi mencapai hasrat ini, UMPSA akan terus memperkukuh jaringan antarabangsa khususnya dengan institusi yang berkongsi komitmen terhadap pendidikan praktikal, relevan dan selari dengan keperluan industri serta agenda kelestarian. – UTUSAN

The post UMPSA terus cemerlang tersenarai Shanghai Ranking’s Global Ranking of Academic Subjects 2026 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved