UMS pandang serius isu salah guna logo universiti-NC UMS

LocalPolitics
6 Apr 2026 • 7:46 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
UMS memandang serius isu penyalahgunaan logo dan nama institusi itu. Gambar kecil: Dr Kasim Mansor

KOTA KINABALU - Universiti Malaysia Sabah (UMS) memandang serius isu penyalahgunaan logo dan nama institusi itu yang boleh memberi impak negatif kepada reputasinya sebagai institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) di negeri ini.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor berkata, pihak universiti tidak mahu dikaitkan dengan sebarang isu sensitif khususnya yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

"UMS memandang sangat serius terhadap penyalahgunaan logo universiti kerana ia boleh mengaitkan institusi ini dengan isu-isu sensitif yang memberi persepsi negatif kepada masyarakat.

"Kita tidak mahu UMS terlibat atau dilihat terlibat dalam perkara sedemikian, apatah lagi UMS merupakan sebuah institusi pendidikan dan gedung ilmu. Lebih membimbangkan apabila terdapat pihak yang cuba mengaitkan universiti ini dengan isu-isu berkaitan politik, sedangkan UMS adalah institusi yang bebas dan tidak terlibat dengan mana-mana kepartian.

"Tindakan menggunakan logo universiti untuk membawa isu tertentu sehingga menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat adalah satu kesalahan," katanya ketika ditemui pemberita pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu penyalahgunaan logo universiti itu daripada sebuah entiti yang dikenali sebagai 'Suara Mahasiswa UMS' baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan pihak universiti tidak akan berdiam diri dan sedang meneliti tindakan sewajarnya termasuk dari sudut perundangan.

"Pada peringkat ini, UMS telah mengambil pendekatan dengan meneliti kaedah yang membolehkan tindakan undang-undang diambil mengikut peruntukan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Proses ini sedang dilaksanakan oleh bahagian perundangan universiti.

"Kita mahu melindungi nama baik universiti agar tidak tercemar dan terus kekal sebagai pusat kecemerlangan ilmu yang dihormati serta bebas daripada sebarang isu yang boleh memberi gambaran negatif kepada masyarakat," tegasnya.

UMS dalam kenyataan sebelum ini menegaskan bahawa entiti tersebut bukan berdaftar di bawah UMS dan sekali gus tidak mewakili suara rasmi institusi pengajian tinggi itu.

Penjelasan itu susulan beberapa hantaran tular di media sosial oleh 'Suara Mahasiswa UMS', termasuk dakwaan berkaitan dengan perkhidmatan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Sabah.