Kelantan ambil tindakan tegas isu terminal baharu LTSIP jadi ‘litar mat rempit’

LocalPolitics
6 Apr 2026 • 4:07 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kerajaan Kelantan memandang serius isu penularan aktiviti ‘mat rempit’ di balai perlepasan di terminal baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan memandang serius isu penularan aktiviti ‘mat rempit’ di balai perlepasan di terminal baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa di sini yang tular di media sosial, dengan memberi jaminan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak terlibat.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, sebarang perlakuan yang membahayakan keselamatan perlu ditangani melalui penguatkuasaan berterusan oleh pihak berkuasa tanpa sebarang kompromi.

Menurut beliau, kerajaan negeri akan bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bagi mempergiat operasi di kawasan berisiko termasuk LTSIP.

"Pemantauan berkala juga akan dilaksanakan bagi memastikan keselamatan awam sentiasa terjamin, khususnya di lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan aktiviti tidak sihat ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam masa sama, beliau menegaskan isu tersebut tidak wajar digeneralisasikan sehingga mencerminkan keseluruhan anak muda di Kelantan.

Ujarnya, majoriti golongan belia di negeri ini sebenarnya aktif dalam pelbagai bidang positif seperti pendidikan, sukan, keusahawanan dan program pembangunan diri.

Mengulas lanjut, Zamakhshari memberitahu, kerajaan negeri mengguna pakai pendekatan menyeluruh yang merangkumi aspek penguatkuasaan, pembangunan belia serta penyediaan kemudahan alternatif bagi menangani isu berkenaan secara berkesan.

Jelas beliau, dari sudut pembangunan belia, pelbagai program akan terus diperkasa termasuk inisiatif di bawah Kelantan Future Leaders Institute (KFLI), Anak Muda Rakan Al-Quran (AMRAQ) serta program anjuran Urusetia Belia dan Sukan (UBES).

Selain itu katanya, kerajaan negeri turut merancang menyediakan ruang aktiviti permotoran lebih selamat dan terkawal termasuk pewartaan tanah kerajaan sebagai tapak sukan motocross di Mukim Sokor, Tanah Merah.

"Langkah ini penting bagi memberi alternatif kepada anak muda yang meminati aktiviti permotoran supaya mereka dapat menyalurkan minat di tempat yang sesuai dan selamat," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apam Putra itu berkata, kerajaan negeri juga akan terus menyokong penganjuran program pemotoran sihat seperti RXZ Forever Legend dan Mat Motor Day sebagai platform positif untuk golongan tersebut.

Dalam pada itu, Zamakhshari menegaskan bahawa isu sosial seperti aktiviti rempit memerlukan kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa, institusi pendidikan dan komuniti.

"Pembinaan nilai, disiplin dan tanggungjawab dalam kalangan anak muda perlu diperkukuh supaya mereka memahami batas kebebasan serta menghormati keselamatan awam," katanya.

Tegas beliau, kerajaan negeri kekal komited memastikan keselamatan awam terpelihara, memperkasa pembangunan belia secara holistik serta menyediakan ruang dan peluang yang konstruktif kepada generasi muda.