UMS Temu Spesies Baharu Kulat Di INFAPRO, Serlah Potensi Biodiversiti

Environment
7 Sep 2026 • 7:33 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

UMS Temu Spesies Baharu Kulat Di INFAPRO, Serlah Potensi Biodiversiti

KOTA KINABALU, 7 Sept (Bernama) -- Sekumpulan penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya mengenal pasti dan menghuraikan spesies baharu kulat entomopatogenik, Akanthomyces infaproensis sp. nov., di kawasan Projek Pemulihan Hutan Hujan INFAPRO berhampiran Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum, Lahad Datu.

UMS dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan penemuan itu sekali gus menyerlahkan potensi kawasan hutan yang dipulihkan sebagai habitat penting kepada spesies biodiversiti yang masih belum diketahui secara saintifik.

Menurut kenyataan itu, spesies berkenaan ditemukan menjangkiti rama-rama dewasa yang melekat pada bahagian bawah daun di kawasan INFAPRO, dengan dua spesimen dikumpulkan pada 12 Mac 2024.

“Kedua-dua spesimen kemudian menjalani penelitian morfologi serta analisis filogenetik molekul menggunakan lima penanda genetik yang menunjukkan ia membentuk garis keturunan tersendiri, sekali gus menyokong pengiktirafannya sebagai spesies baharu,” menurut kenyataan itu.

UMS memaklumkan nama infaproensis diberi bersempena dengan Projek Rehabilitasi Hutan Hujan INFAPRO, lokasi spesies itu ditemukan dan setakat ini, kulat itu hanya diketahui terdapat di kawasan berkenaan.

Kajian itu diterbitkan dalam jurnal taksonomi antarabangsa Phytotaxa pada 28 Ogos lepas, melibatkan penyelidik UMS Muhammad Shahbaz, Chong Chuan Cheak dan Profesor Madya Dr Jaya Seelan Sathiya Seelan, bersama dengan Ibrahem Ghani Wasti daripada Kolej Universiti Yayasan Sabah serta Dr Yap Sau Wai daripada Yayasan Sabah.

Sementara itu, Pengarah Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) UMS Profesor Madya Dr Fiffy Hanisdah Saikim dalam kenyataan yang sama berkata penemuan itu memperlihatkan kepentingan penyelidikan biodiversiti dalam menghasilkan pengetahuan yang bukan sahaja bernilai kepada bidang sains, malah berpotensi menyumbang kepada pemuliharaan dan inovasi pada masa hadapan.

“Setiap spesies baharu yang kita temukan ialah peringatan bahawa kita masih belum mengenali sepenuhnya kekayaan biodiversiti yang ada di Sabah, dan lebih penting penemuan ini berlaku di sebuah hutan yang dipulihkan.

“Ini memberikan mesej yang sangat kuat bahawa pelaburan dalam pemulihan ekosistem bukan sekadar memulihkan pokok dan landskap, tetapi mengembalikan ruang kehidupan, proses ekologi dan peluang untuk biodiversiti berkembang semula,” katanya.

Baca juga:

Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Kasim Mansor pula berkata penemuan itu signifikan kerana berlaku ketika IBTP meraikan ulang tahun ke-30 penubuhannya tahun ini, sekali gus mencerminkan sumbangan tiga dekad institut berkenaan dalam penyelidikan dan pemuliharaan biodiversiti Borneo.

“Penemuan Akanthomyces infaproensis membuktikan bahawa perjalanan ini terus menghasilkan ilmu baharu yang bukan sahaja penting kepada Sabah dan Malaysia, tetapi turut menyumbang kepada sains dunia.

“Untuk itu, UMS akan terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju ilmu biodiversiti Borneo, membawa ilmu dari Borneo untuk dunia dan memastikan khazanah ini terus dipelihara untuk generasi akan datang,” katanya.

Spesimen holotip Akanthomyces infaproensis bernombor BORH(EF)00008 kini disimpan di Koleksi BORNEENSIS, IBTP UMS sebagai rujukan bagi penyelidikan taksonomi dan biodiversiti pada masa hadapan.


Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved