UMT berkayak 22km semarak semangat merdeka

14 Sep 2026 • 9:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: UMT berkayak 22km semarak semangat merdeka

Seramai 69 peserta termasuk pelajar dan kakitangan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menghayati semangat kemerdekaan dengan berkayak sejauh 22 kilometer (km) dari Pantai UMT ke Pantai Pasir Tenggara, Pulau Bidong, Kuala Nerus baru-baru ini.

Ekspedisi Kayak Merdeka UMT 2026 itu dianjurkan oleh UMT melalui Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69 dan ulang tahun ke-25 penubuhan universiti berkenaan.

Program selama tiga hari dua malam itu turut menghimpunkan warga institusi pendidikan tinggi (IPT), alumni UMT, pelajar antarabangsa dan komuniti setempat.

Lebih menarik, penyampai radio dan pengacara televisyen, Mohamad Kareef Daniel Abdullah atau lebih dikenali sebagai Mat Dan turut menyertai ekspedisi berkenaan bersama peserta lain.

Majlis pelepasan Kayak Merdeka UMT 2026 di Pantai Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) UMT telah disempurnakan Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia, Pejabat Perdana Menteri Negeri Terengganu, Norzilam Mohamed.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof. Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain berkata, peningkatan penyertaan dalam Kayak Merdeka UMT pada tahun ini menunjukkan program berkenaan semakin mendapat tempat dalam kalangan warga IPT.

Menurutnya, pemilihan 69 peserta bukan sekadar angka penyertaan, malah membawa signifikan tersendiri bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69.

“Angka 69 ini menjadi simbol semangat kebersamaan kita dalam meraikan kemerdekaan menerusi aktiviti yang sihat, mencabar dan bermakna.

“Program ini juga menjadi ruang untuk menyemarakkan semangat patriotisme dan membentuk jati diri dalam kalangan peserta,” katanya.

Image from: UMT berkayak 22km semarak semangat merdeka
Sebahagian daripada 69 warga UTM yang terlibat dalam aktiviti berkayak dari Pantai UMT ke Pantai Pasir Tenggara, Pulau Bidong, Kuala Nerus baru-baru ini.

Beliau berkata, Kayak Merdeka UMT bukan sekadar aktiviti rekreasi, sebaliknya menjadi wadah pembentukan ketahanan diri, disiplin, kerja berpasukan, keyakinan diri dan kepimpinan.

Katanya, peserta perlu berdepan cabaran fizikal dan mental sepanjang ekspedisi yang menuntut perancangan, komunikasi, kerjasama serta keupayaan membuat keputusan secara bersama.

“Semangat kemerdekaan bukan hanya diterjemahkan melalui sambutan dan acara rasmi, tetapi menerusi usaha membentuk generasi yang berdaya tahan, mampu bekerjasama dan mempunyai rasa tanggungjawab terhadap negara.

“Nilai ini yang cuba diterapkan menerusi Kayak Merdeka supaya peserta membawa pulang pengalaman dan pengajaran yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan,” katanya.

Ekspedisi itu merupakan penganjuran kali kedua selepas edisi sulung berlangsung dari pada tahun lalu.

Bagi peserta kali kedua, Nurul Afifah Mohd. Kamal Rufadzil, pengalaman menyertai ekspedisi tersebut memberi peluang kepadanya menguji kemampuan diri, selain menghayati sambutan kemerdekaan dengan cara berbeza.

Pelajar semester lima program Sarjana Sains Mikrobiologi itu berkata, pengalaman menyertai Kayak Merdeka pada tahun lalu mendorongnya untuk kembali menyertainya untuk kali ini.

“Bagi saya, Kayak Merdeka bukan sekadar aktiviti berkayak, bahkan memberi satu pengalaman untuk kita menghargai kemerdekaan dan kebebasan yang dinikmati pada hari ini.

“Ketika berkayak bersama peserta lain menuju Pulau Bidong, saya dapat merasai semangat kebersamaan dan kerjasama yang sangat kuat,” katanya.

Nurul Afifah berkata, cabaran sepanjang perjalanan turut mengajarnya supaya tidak mudah berputus asa apabila berdepan keletihan atau keadaan yang mencabar.

Katanya, pengalaman tersebut secara tidak langsung mengingatkannya bahawa kemerdekaan perlu dihayati dengan mempunyai ketahanan diri dan semangat untuk terus maju.

“Semangat kemerdekaan bagi saya adalah apabila kita mampu mencabar diri, saling menyokong dan tidak mudah menyerah kalah.

“Saya berharap, program seperti ini dapat diteruskan kerana ia memberi pengalaman yang sukar dilupakan kepada peserta,” katanya.

Image from: UMT berkayak 22km semarak semangat merdeka
PARA peserta Ekspedisi Kayak Merdeka UMT 2026 cukup bersemangat, biarpun perlu berkayak selama enam jam.

Sementara itu, peserta kali pertama, Muhamad Sufendi Suharto berkata, peluang menyertai Kayak Merdeka UMT menjadi pengalaman baharu yang cukup bermakna buat dirinya.

Pelajar semester dua Sarjana Muda Sains Nautika dan Pengangkutan Maritim itu berkata, pada awalnya, dia melihat ekspedisi berkenaan sebagai aktiviti yang memerlukan kekuatan fizikal.

“Pada mulanya saya agak risau kerana ini merupakan kali pertama saya menyertai ekspedisi kayak sejauh ini.

“Namun, apabila melihat semangat peserta lain dan merasai sendiri pengalaman mengayuh bersama-sama, saya sedar bahawa kekuatan pasukan sangat penting untuk memastikan semua orang sampai ke destinasi,” katanya.

Menurutnya, pengalaman mengharungi laut bersama peserta daripada latar belakang berbeza turut mengajarnya mengenai kepentingan toleransi, disiplin dan kerjasama.

“Bagi saya, semangat patriotisme bukan hanya ditunjukkan melalui sambutan atau perbarisan, sebaliknya boleh dizahirkan melalui usaha kita bekerjasama dan menghargai negara.

“Ekspedisi ini membuatkan saya lebih menghargai keindahan laut Terengganu dan khazanah marin yang menjadi sebahagian daripada kekayaan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Mat Dan berkata, penyertaannya dalam ekspedisi berkenaan menjadi pengalaman berbeza dalam menghayati sambutan kemerdekaan kerana dapat merasai sendiri cabaran mengayuh di laut bersama peserta lain.

“Bagi saya, ini bukan sekadar berkayak sejauh 22km, tetapi satu pengalaman untuk kita menghayati semangat kemerdekaan melalui cabaran dilakukan bersama-sama.

“Walaupun penat dan mencabar, namun semangat peserta untuk terus mengayuh dan saling memberi sokongan membuatkan perjalanan ini sangat bermakna,” katanya.

Menurutnya, aktiviti sebegitu wajar diperbanyakkan kerana dapat mendekatkan golongan muda dengan khazanah marin negara, selain memupuk semangat cintakan tanah air.

“Kita selalu meraikan kemerdekaan dengan acara di darat, tetapi kali ini kita bawa semangat itu ke laut. Pengalaman seperti ini membuatkan kita lebih menghargai apa yang kita ada dan bersyukur menjadi rakyat Malaysia,” katanya.

Ekspedisi sejauh 22km itu bermula kira-kira pukul 9 pagi dan mengambil masa sehingga enam jam sebelum peserta tiba di Pulau Bidong pada sebelah petang.

Sepanjang perjalanan, peserta perlu mengayuh secara berkumpulan dan saling memastikan keselamatan serta kebajikan antara satu sama lain.

Cabaran tersebut menguji stamina peserta yang perlu bertahan selama beberapa jam di laut sebelum meneruskan pengisian program sepanjang tiga hari dua malam.

Pemilihan Pulau Bidong sebagai destinasi turut memberi nilai tambah kepada ekspedisi kerana pulau berkenaan mempunyai sejarah tersendiri, selain terkenal dengan keindahan ekosistem marin.

Para peserta turut berpeluang mendekati khazanah marin negara secara lebih dekat, sekali gus meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan memelihara alam sekitar.

The post UMT berkayak 22km semarak semangat merdeka appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved