liza30/07/2026 - 14:54 Kincir angin CEFORE UMT di Pantai Tok Jembal, Terengganu Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR,30 Julai – Pemilihan Pusat Tenaga Boleh Baharu Luar Pesisir (CEFORE) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk menyertai Makmal Inovasi Pembiayaan Iklim (CFIL) akan mempercepatkan lagi pembangunan teknologi tenaga boleh baharu luar pesisir di Malaysia.
Ia juga akan membuka akses kepada pembiayaan, pelaburan dan pengkomersialan inovasi yang menyokong agenda peralihan tenaga negara.
Penyertaan itu meletakkan CEFORE dalam kalangan projek berpotensi tinggi di negara ini yang akan dibimbing untuk membangunkan model pembiayaan mampan bagi mempercepat pelaksanaan teknologi tenaga hijau, sekali gus membantu Malaysia mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih serta memperkukuh ekonomi rendah karbon.
Program berkenaan diterajui oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dengan sokongan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mempercepatkan pembangunan penyelesaian pembiayaan iklim yang inovatif melalui kerjasama antara institusi kewangan, agensi kerajaan, pelabur dan pemain industri.
Dilancarkan sempena Simposium Sasana 2026 di BNM, program selama 12 bulan itu menghimpunkan projek berimpak tinggi dari seluruh negara untuk dibimbing dalam aspek pembangunan model perniagaan, strategi pembiayaan, kebolehpasaran dan pengkomersialan teknologi.

Bagi CEFORE, penyertaan itu bukan sekadar pengiktirafan terhadap keupayaan penyelidik UMT, malah membuka peluang mempercepat pembangunan teknologi tenaga boleh baharu luar pesisir yang sedang dibangunkan universiti tersebut agar dapat dimanfaatkan oleh industri.
CEFORE sebelum ini ditubuhkan hasil kerjasama UMT dan PETRONAS sebagai pusat penyelidikan serta tapak pembangunan teknologi tenaga boleh baharu luar pesisir yang memberi tumpuan kepada tenaga angin, ombak, arus pasang surut, solar terapung, hidrogen hijau, sistem penyimpanan tenaga dan pengurusan tenaga bersepadu.
Ia dibangunkan sebagai platform untuk menguji dan membuktikan keberkesanan teknologi dalam persekitaran sebenar sebelum diperluaskan kepada penggunaan komersial, sekali gus mengurangkan jurang antara hasil penyelidikan dengan keperluan industri.
Perkukuh Industri Tenaga Boleh Baharu Luar Pesisir
Pengarah CEFORE UMT, Profesor Madya Dr Mohd Asamudin A Rahman berkata, pemilihan tersebut membuktikan penyelidikan dan inovasi yang dihasilkan universiti mempunyai potensi besar untuk diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar bagi industri tenaga.
"Pemilihan CEFORE ke dalam program ini merupakan satu pengiktirafan terhadap keupayaan penyelidik UMT menghasilkan teknologi tenaga boleh baharu luar pesisir yang berdaya saing serta memenuhi keperluan agenda kelestarian negara.
“Ia membuktikan penyelidikan universiti mampu menjadi pemacu kepada pembangunan ekonomi hijau melalui pendekatan inovasi yang boleh dikomersialkan," katanya dalam satu kenyataan.


Beliau berkata, penyertaan itu turut membolehkan CEFORE mengakses ekosistem pembiayaan iklim yang lebih kukuh selain memperluaskan kerjasama dengan institusi kewangan, agensi kerajaan, pelabur dan syarikat industri bagi mempercepat pembangunan projek tenaga boleh baharu luar pesisir.
Menurut beliau, tumpuan selepas ini adalah mempercepat pengkomersialan teknologi, memperkukuh kerjasama rentas sektor serta membangunkan model pembiayaan yang mampan supaya inovasi yang dihasilkan dapat memberi impak kepada masyarakat, industri dan negara.
Kejayaan CEFORE menyertai Program Pemecut Pembiayaan Iklim turut mengukuhkan peranan UMT sebagai antara institusi penyelidikan utama negara dalam pembangunan teknologi tenaga boleh baharu, selain menyokong usaha Malaysia memperluaskan penggunaan tenaga bersih, menarik pelaburan dalam teknologi hijau dan membangunkan industri tenaga luar pesisir untuk pemacu pertumbuhan ekonomi pada masa hadapan. - DagangNews.com


