'Umur 16 tahun ada kerjaya, pelajaran hampir ditinggalkan, mujur ibu...' – Zaki Yamani

EntertainmentLifestyle
3 Sep 2025 • 9:12 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

BERGELAR artis, pelakon atau influencer bukan alasan untuk berhenti menimba ilmu.

Bagi penyanyi muda Zaki Yamani, belajar adalah kunci untuk mengurus kerjaya dan masa depan dengan lebih bijak.

“Dulu, masa Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima, saya pun seperti pelajar lain di luar sana..

“Apatah lagi waktu itu, walaupun baru berumur 16 tahun, saya sudah ada kerjaya seni, jadi pelajaran ditinggalkan.

"Mujurlah mak dan keluarga selalu ingatkan saya yang ilmu itu sangat penting dan membuatkan saya kembali tersedar,” ujarnya.

image is not available

Justeru, dia menganggap kehadirannya dalam dunia seni bukan sekadar menghibur, tetapi juga memberi inspirasi kepada pelajar lain, terutama mereka yang kurang fokus atau mempunyai komitmen lain.

“Saya nak beri inspirasi kepada mereka untuk terus belajar. Kadang-kadang, awak nak jadi penyanyi atau pelakon, betul?

"Kalau nak jadi influencer pun, awak kena bijak,” jelasnya.

Dia turut menekankan kepentingan ilmu dalam mengurus kerjaya dengan memberi contoh kepada bakal influencer.

image is not available

“Ilmu asas perniagaan penting supaya tidak mengalami kerugian.

“Kalau nak jual produk tapi tiada ilmu, nanti tengah seronok berniaga, tiba-tiba muflis. Orang pun tak beli,” katanya.

Selain itu, jejaka tinggi lampai tersebut turut mengaitkan proses pembelajaran dengan disiplin kerja dalam industri seni.

“Berlakon pun sama. Kita kena hafal skrip, hafal ini, hafal itu. Sama macam belajar, kita kena menghafal. Kalau tak hafal, macam mana nak bekerja?

"Macam baca skrip juga, kita kena hafal dan faham. Itu yang boleh membantu kita," kongsinya lagi.

image is not available

CABARAN MASA DEPAN

Bagi Zaki, ilmu adalah asas yang bukan sahaja menyokong kerjaya seni, tetapi juga membina keyakinan menghadapi cabaran masa depan.

Tidak hairanlah dia menjadi inspirasi kepada generasi muda yang mahu mengejar impian sambil mengekalkan fokus pada pendidikan.

Anak kepada penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah itu berkata demikian ketika ditemu bual eksklusif bersama SinarPlus, selepas majlis pelancaran PTTI di cawangan ketiga Shah Alam.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, PTTI menganjurkan Program Jelajah Skor A+ SPM di Beluran, Sabah, dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Pejabat Pendidikan Daerah Beluran dan Kelab Nuri Bank Rakyat.

Seramai 500 calon SPM dari lima sekolah mendapat latihan intensif dalam Matematik dan Sejarah, selain sesi literasi kewangan oleh Kelab Nuri.

image is not available

Semua peserta ditaja pembukaan akaun bank dan diberikan modul percuma untuk persediaan peperiksaan.

Dr Muhammad Faizul dari PTTI berkata, “Kami mahu setiap murid, di mana pun, mendapat teknik pembelajaran efektif untuk melangkah ke dewan peperiksaan dengan yakin.”

Dr Nancy dari Pejabat Pendidikan Beluran dan Puan Azilla dari Bank Rakyat menekankan program itu turut mengajar kemahiran kewangan yang penting untuk masa depan murid.

View Original Article