Umur 45 tahun paling ramai, orang muda kurang

LocalHealth & Fitness
10 Aug 2026 • 11:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Umur 45 tahun paling ramai, orang muda kurang

KUALA LUMPUR – Golongan muda dikesan kurang terlibat untuk menjadi penderma darah, sekali gus menyebabkan kebergantungan negara kepada golo­ngan berusia yang menjadi antara penyumbang kepada ke­seluruhan kumpulan penderma darah di Malaysia.

Pengarah Pusat Darah Negara (PDN), Dr. Noor Nazahah Mahmud berkata, dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, golongan muda hanya menyumbang sekitar 21 peratus daripada keselu­ruhan penderma darah.

Katanya, Malaysia kini merekodkan kadar pendermaan sekitar 2.3 peratus atau bersamaan kira-kira 782,000 orang daripada populasi negara dan ia memerlukan usaha berterusan ­untuk meningkatkan kadar pendermaan darah.

“Golongan berusia antara 45 hingga 60 tahun kini menjadi antara kumpulan umur paling ramai tampil menderma darah dan ini membuktikan penyertaan golongan muda masih perlu dipertingkatkan.

“Peningkatan penglibatan golongan muda ketika ini amat penting bagi memastikan negara mempunyai pelapis penderma darah yang berterusan apabila penderma sedia ada semakin berusia,” katanya kepada Kosmo! selepas Majlis Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat PDN 2026, di sini kelmarin.

Katanya, kadar pendermaan­ darah utuh di Malaysia ketika ini masih berada di bawah sasaran lima peratus daripada jumlah keseluruhan populasi penduduk.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tahap kesedaran dan kefahaman terhadap kepentingan menderma darah yang masih rendah dan tidak meluas menjadi antara punca golongan muda kurang terlibat sebagai penderma darah.

“Pihak PDN sentiasa berusaha dalam meningkatkan tahap kefahaman rakyat terutamanya dalam kalangan generasi muda.

“Antara yang dilakukan ialah menjalin kerjasama bersama pihak institut pengajian tinggi awam dan swasta serta pihak Kementerian Pendidikan Tinggi bagi melahirkan lebih ramai penderma muda untuk menjadi pelapis legasi sedia ada,” katanya.

Image from: Umur 45 tahun paling ramai, orang muda kurang
Dr. Noor Na­zahah

Dalam pada itu, Dr. Noor Na­zahah berkata, semua kumpulan darah amat diperlukan bagi memenuhi keperluan pesakit yang semakin meningkat.

“Berdasarkan stok semasa, darah kumpulan A merupakan antara kumpulan darah yang berada pada paras paling rendah.

“Oleh itu, penderma daripada semua kumpulan darah amat dialu-alukan untuk tampil menderma,” katanya.

Katanya, kira-kira 65 hingga 70 peratus daripada pendermaan darah ketika ini disumbangkan oleh penderma darah tetap.

“Walaupun peratusan penderma baharu tahun ini me­nunjukkan trend penurunan berbanding tahun lalu, usaha merekrut penderma baharu ­terus dipergiatkan bagi memastikan kesinambungan bekalan darah pada masa hadapan.

“Secara keseluruhannya, sasaran pertengahan tahun KPI bagi tahun 2026 telah berjaya dicapai. Namun begitu, dengan peningkatan keperluan terhadap darah utuh dan plasma, usaha untuk merekrut penderma baharu serta menggalakkan penderma sedia ada melakukan pendermaan secara berkala amat digalakkan.

“Kerjasama berterusan daripada masyarakat amat penting bagi memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi dan selamat untuk memenuhi keperluan pesakit,” katanya.

Pada majlis semalam, seramai 52 penerima melibatkan lapan kategori berserta tujuh penganjur mendapat anugerah penghargaan terhadap sumbangan dan komitmen mereka dalam pen­dermaan darah.

Di peringkat PDN, sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2026 diadakan pada 8 Ogos sebagai tanda penghargaan kepada semua penderma darah sukarela yang telah menyumbang kepada kelangsungan bekalan darah negara dan menyelamatkan nyawa ribuan pesakit setiap tahun.

Menurut PDN, sebanyak 2,200 hingga 2,400 beg darah diperlukan setiap hari bagi menampung keperluan perkhidmatan kesihatan di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, kira-kira 600 hingga 700 beg darah digunakan setiap hari di hospital Kementerian Kesihatan, manakala selebihnya digunakan oleh hospital universiti, hospital tentera dan hospital swasta.

The post Umur 45 tahun paling ramai, orang muda kurang appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved