Umur 61 tahun, warga emas terus duduki SPM sejak 2022

1 Apr 2026 • 10:33 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

KANGAR – Seorang warga emas membuktikan semangat menuntut ilmu tidak pernah mengenal usia apabila terus menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sejak 2022 sebagai calon persendirian.

Hamidan Yahaya, 61, dari Kampung Bohor Tui, Kuala Perlis berkata, keputusan itu dibuat bukan kerana tuntutan kerjaya, sebaliknya minat mendalam terhadap pembelajaran serta keinginan mencabar keupayaan diri.

Bekas pemandu di Kem Rejimen 504 Askar Wataniah yang berkhidmat selama 27 tahun itu berkata, pencapaiannya sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan peningkatan dan perubahan mengikut tahap kesihatan serta persediaan.

Antara keputusan yang diperoleh termasuk A bagi Matematik pada 2022, diikuti B+ bagi Sains (2023), C Matematik (2024) serta B Matematik dan C+ Sains pada 2025.

“Saya seronok hendak mencuba, nak uji tahap kemampuan diri. Walaupun sudah berumur, saya rasa masih mampu belajar macam orang muda,” katanya selepas pengumuman keputusan SPM 2025 di Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.

Menurutnya, dia belajar secara kendiri menggunakan buku rujukan dan menganggap perubahan format soalan setiap tahun sebagai satu cabaran yang menyeronokkan.

Bapa kepada lima anak dan datuk kepada tiga cucu itu turut berkongsi pengalaman berdepan cabaran apabila terlibat dalam kemalangan kecil beberapa hari sebelum peperiksaan tahun lalu.

“Ketika itu banjir, saya terjatuh motosikal selepas terlanggar lopak. Saya jawab peperiksaan dalam keadaan sakit, jadi jangka keputusan mungkin sederhana sahaja,” ujarnya.

Tambahnya, latar belakang sebagai anak yatim sejak Tingkatan Satu serta kesukaran ke sekolah pada masa lalu menjadi pendorong untuk tidak mensia-siakan peluang menimba ilmu pada usia sekarang.

“Dulu saya kayuh basikal ke sekolah, banyak hari tak dapat pergi sebab susah. Sekarang ada peluang, saya nak cuba,” katanya yang antara calon paling berusia menduduki SPM di negeri itu.

Hamidan turut berharap golongan muda menghargai peluang pendidikan yang ada dan berusaha bersungguh-sungguh demi masa depan. – MYBERITA