UMW Toyota sumbang RM170,000 kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia

27 Oct 2023 • 4:33 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

UMW Toyota sumbang RM170,000 kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia

zulfadli

27/10/2023 - 16:33

KUALA LUMPUR 27 Okt - UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) menyumbang sebanyak RM170,000 kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), hasil kutipan acara 'Toyota Outrun 2023' sempena kempen 'Start Your Impossible (SYI)' baru-baru ini.

Presiden UMW Toyota, Datuk Ravindran K berkata, sumbangan itu diharapkan dapat membantu NCSM, sebuah pertubuhan kanser bukan keuntungan yang menjadi pelopor dalam penjagaan kanser di Malaysia.

Beliau berkata, pihaknya yakin bahawa sumbangan itu akan membantu NCSM mengembangkan dan menambah baik perkhidmatan dan programnya.

"Di UMWT, kami percaya kepada kuasa transformasi yang dijayakan menerusi kerjasama. Menjadi sebuah syarikat mobiliti yang inovatif, misi kami bukan sahaja terhad kepada segmen automotif.

"Ia melibatkan usaha kami untuk memberi impak mendalam dan bererti kepada kehidupan semua seterusnya membentuk masa depan lebih cerah dan bermakna untuk semua. Ini seiring dengan slogan UMWT, 'Move Your World’, yang mendorong komitmen kami untuk memastikan UMWT terus maju ke hadapan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Menurut Ravindran, kerjasama dengan NCSM membuktikan dedikasi pihaknya untuk mencipta perubahan positif.

"Hasrat kami adalah untuk meningkatkan kesedaran, pendidikan dan sokongan kepada masyarakat dan menyakinkan mereka bahawa mereka mempunyai sistem sokongan yang utuh dalam melawan penyakit kanser," katanya.

image is not available

Sejak penubuhannya pada 1966, NCSM menyediakan perkhidmatan pendidikan, penjagaan dan sokongan kepada pesakit kanser dan orang awam.

Dana yang terkumpul dari Toyota Outrun akan disalurkan bagi tujuan memperkasakan perkhidmatan NCSM, membolehkan inisiatif penting seperti Program Saringan Kanser dan Pemeriksaan Kesihatan Komuniti termasuk Jejak Kanser dan Kempen Vaksinasi dapat diteruskan.

Selain itu, sumbangan itu juga akan digunakan untuk tujuan pengangkutan harian bagi pesakit yang tinggal di rumah kanak-kanak dan warga emas untuk mendapatkan rawatan perubatan.

image is not available

Dalam pada itu, SYI adalah kempen penjenamaan Toyota Motor Corporation (TMC) yang dilancarkan sempena Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Selaras dengan kempen ini, UMWT memperkenalkan acara tahunan Toyota Outrun yang diadakan bukan sahaja mempromosikan imej jenama lebih dinamik, tetapi juga mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah syarikat mobiliti inovatif. - DagangNews.com