UMWT Serah Barisan Model xEV Kepada MoT

LocalCars
1 May 2025 • 6:15 PM MYT
Carz Automedia
Carz Automedia

Latest automotive news & review in one place.

image is not available

image is not available

UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) menyerahkan lima kenderaan elektrifikasi berteknologi tinggi kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) sebagai sokongan terhadap kementerian itu dalam usaha mencapai inisiatif mobiliti hijau negara.

Penyerahan kereta itu membabitkan tiga kenderaan Hibrid Elektrik (HEV) Toyota Alphard, Camry dan Corolla Cross serta dua Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) iaitu Toyota bZ4X dan Lexus RZ.

image is not availableimage is not available

Penyerahan ini bertujuan untuk membolehkan MOT menilai keupayaan sebenar teknologi elektrifikasi dalam penggunaan harian, sekali gus membantu dalam pembentukan dasar berkaitan mobiliti mampan di negara ini menerusi pendekatan elektrifikasi multipathway.

Presiden UMWT Datuk Ravindran K, berkata langkah itu adalah sebahagian daripada usaha kolektif ke arah mencapai aspirasi pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

"Ia bukanlah sekadar visi kosong, tetapi satu misi bersama yang menuntut kerjasama erat dari segenap sektor. Komitmen kami disertai dengan tindakan yang memberi makna, nilai dan impak sebenar. Ia membolehkan pembuat dasar menyelami dan merasai sendiri keupayaan teknologi elektrifikasi," katanya.

image is not available

Sementara itu, Pengarah Eksekutif UMWT, Mohd Shamsor Mohd Zain berkata, teknologi hibrid terus menjadi nadi utama dalam pelan elektrifikasi Toyota, khususnya dalam konteks pasaran seperti Malaysia.

"Teknologi hibrid mampu mengurangkan pelepasan karbon tanpa memerlukan perubahan besar kepada ekosistem sokongan menjadikannya pilihan paling ideal.

"Ia bukan sekadar menawarkan penyelesaian praktikal, malah membina keyakinan dalam kalangan pengguna arus perdana sambil membuka jalan yang lebih lancar dan progresif menuju masa depan mobiliti elektrik sepenuhnya,” ujarnya.

Kerjasama strategik ini merupakan manifestasi sokongan padu terhadap Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon 2021–2030, yang menyasarkan peningkatan penggunaan kenderaan elektrifikasi (xEV) sebanyak 15% menjelang 2030 dan melonjak ke 38% menjelang 2040.