Undang-undang sedia ada belum mampu tangani scammer

LocalPolitics
10 Sep 2026 • 3:29 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Undang-undang sedia ada belum mampu tangani scammer

PETALING JAYA: Peruntukan dalam Akta Keterangan 1950 perlu dipinda, khususnya berkaitan tahap relevan, boleh terima dan beban pembuktian bagi memudahkan proses penyiasatan serta pendakwaan melibatkan jenayah penipuan dalam talian.

Presiden Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara (RESPA) Malaysia, Datuk Meor Chek Hussien Mahayudin berkata, kerajaan juga perlu mempercepatkan pindaan Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) yang disifatkan sebagai pelengkap kepada Kanun Keseksaan.

Katanya, pindaan tersebut selari dan wajar dipertimbangkan berdasarkan peruntukan  Akta Jenayah Komputer 1997 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selaras dengan cadangan sebelum ini.

“Selain itu, RESPA menggesa kerajaan mempercepatkan pindaan Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) yang disifatkan sebagai pelengkap kepada Kanun Keseksaan.

“Selepas lebih 70 tahun, akta berkenaan masih mempunyai peruntukan tertentu dengan kadar denda yang tidak lagi munasabah mengikut peredaran masa dan belum dikaji secara menyeluruh. Akta ini jelas tidak lagi relevan dari segi aspek punitif kerana gagal mempunyai nilai pencegahan yang munasabah pada masa ini.

“Lebih membimbangkan, berdasarkan rekod RESPA, cadangan PDRM untuk menyemak akta berkenaan telah dikemukakan hampir 10 tahun lalu. Selepas lebih sedekad, persoalannya mengapa reformasi undang-undang yang penting kepada keberkesanan penguatkuasaan mengambil masa begitu lama?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan kerajaan meminda undang-undang lapuk serta mengenakan hukuman yang jauh lebih berat, termasuk hukuman sebat terhadap penjenayah penipuan dalam talian (scammer).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, berkata hukuman berunsur pencegahan amat kritikal bagi membendung jenayah siber yang kian berleluasa dan meragut ketenteraman masyarakat.

Dalam pada itu, Meor Chek Hussien berkata, pengalaman dalam aspek penyiasatan dan penguatkuasaan menunjukkan undang-undang hanya berkesan sekiranya hukuman mempunyai nilai pencegahan, selain kuasa penyiasatan yang mencukupi serta peruntukan undang-undang yang berkembang seiring perubahan modus operandi jenayah.

Katanya, jenayah siber kini bukan lagi berbentuk penipuan konvensional, sebaliknya membabitkan penggunaan teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), akaun keldai serta rangkaian sindiket rentas sempadan.

“Lazimnya sindiket ini mempunyai hierarki serta rangkaian yang sukar dikesan, selain berupaya mengaburi dan menyukarkan pihak penguat kuasa.

“Justeru, undang-undang yang dibentuk untuk menghadapi realiti beberapa dekad lalu tidak boleh terus menjadi instrumen utama dalam menangani penjenayah abad ke-21,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, jenayah scam pada asasnya membabitkan unsur penipuan menerusi talian dan lazimnya disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

The post Undang-undang sedia ada belum mampu tangani scammer appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved