RESPA lancar laman sesawang, platform penghubung PDRM

LocalPolitics
19 Aug 2026 • 7:39 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: RESPA lancar laman sesawang, platform penghubung PDRM

KUALA LUMPUR: Persatuan Bekas Pegawai Kanan Polis (RESPA) melancarkan laman sesawang rasmi yang menjadi platform penghubung antara masyarakat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya dalam menyalurkan maklumat berkaitan perkembangan semasa pasukan keselamatan itu.

Presiden RESPA, Datuk Meor Chek Hussein Mahayuddin berkata, inisiatif berkenaan selaras dengan usaha persatuan memastikan ia kekal progresif dan relevan seiring perkembangan teknologi, termasuk dalam mendepani cabaran era kecerdasan buatan (AI).

Menurutnya, kewujudan laman sesawang itu dapat menjadi medium yang memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat terkini berkaitan PDRM dengan lebih pantas dan berkesan.

“Kita mahu RESPA bergerak seiring dengan perkembangan teknologi terkini dan tidak ketinggalan walaupun sudah bersara.

“Dengan adanya laman sesawang ini, penyaluran dan penerimaan maklumat akan menjadi lebih pantas serta efisien,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Laman Sesawang RESPA di sini, hari ini.

Turut hadir merasmikan pelancaran laman sesawang itu ialah Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid.

Mengulas lanjut mengenai peranan RESPA, Meor Chek Hussein berkata, persatuan itu turut berfungsi sebagai ‘jambatan’ atau pengantara yang menghubungkan pasukan keselamatan negara dengan masyarakat.

Katanya, pengalaman luas yang dimiliki ahli RESPA yang terdiri daripada pesara pegawai kanan polis membolehkan mereka membantu menjelaskan kepada masyarakat mengenai prosedur atau tindakan tertentu yang dilaksanakan PDRM, terutama perkara yang mungkin sukar difahami orang awam.

“Memandangkan ahli RESPA terdiri daripada pesara pegawai kanan polis yang masih memiliki ‘jiwa kepolisan’, mereka mampu memberikan penjelasan kepada orang ramai mengenai prosedur atau tindakan tertentu yang diambil PDRM.

“Selain menjaga kebajikan ahli, kami juga bertindak sebagai mata dan telinga kepada PDRM. Kita mahu masyarakat memahami bahawa tugas polis bukan mudah dan banyak cabaran perlu diatasi,” katanya.

Tambahnya, laman sesawang berkenaan turut membolehkan orang ramai mengikuti maklumat serta perkembangan terkini yang dilaksanakan PDRM.

Bagaimanapun, katanya, setiap maklumat yang disalurkan akan ditapis terlebih dahulu bagi memastikan perkara berkaitan keselamatan dan kepentingan siasatan tidak didedahkan kepada umum.

“Kita akan tapis maklumat tersebut. Ada perkara yang perlu dirahsiakan dan tidak boleh dikongsi kerana ia boleh menjejaskan proses siasatan.

“Ini adalah aspek yang perlu difahami oleh orang awam,” katanya.-UTUSAN

The post RESPA lancar laman sesawang, platform penghubung PDRM appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved